Wan Nurliyana percaya kebolehan diri.
KAGUM tatkala melangkah masuk ke ruang pejabat wanita ini. Bukan
calang-calang orang mampu memiliki lebih dari satu syarikat untuk
diuruskan dalam satu-satu masa. Apalagi jika diri sudah memiliki kerjaya
dengan pendapatan bulanan yang stabil.
Namun kepuasan setiap
individu berbeza. Kata
Wan Nurliyana Abdul Rahman, 30, dia seronok
menguruskan lima syarikat yang diusahakan hasil titik peluhnya sendiri
sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya mula mengenal alam
pekerjaan seawal usia 16 tahun. Walaupun ibu mempunyai latar belakang
keluarga berada, realitinya dia hanya suri rumah, sementara ayah pula
dulu berkhidmat sebagai pegawai kastam.
“Jadi untuk mendapatkan
duit sendiri, saya mula bekerja di McDonalds. Kemudian tamat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) saya bekerja di kedai serbaneka 24 jam sebelum
melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya.
Menurut
anak ketiga daripada lima beradik ini, dia memang mempunyai minat
mendalam untuk berniaga sejak usia muda. Bagaimanapun keinginannya
terpaksa diletak ke tepi demi mencapai hasrat ibu yang mahu melihat
salah seorang anaknya bergelar peguam.
“Selepas dua tahun menjadi
peguam, saya ditawarkan untuk menjadi rakan kongsi. Begitupun, setahun
saja saya kekal di syarikat terbabit sebelum membuka firma guaman
sendiri pada 2017.
“Dari situlah saya mula belajar mengurus
perniagaan demi perniagaan. Wang simpanan sepanjang menjadi peguam di
syarikat orang dijadikan modal untuk menguruskan firma sendiri.
“Kebetulan
saya bertemu seorang pelanggan yang cuba mendapatkan khidmat nasihat
perundangan berkaitan ancaman siber, dari situ munculnya idea untuk
mengembangkan lagi potensi diri dalam perniagaan yang lebih besar dan
mencabar,” katanya.
SELESAIKAN MASALAH ORANG
Sambil
menyambung bicara, Wan Nurliyana berkata, meneroka bidang di luar
kepakaran diri bukanlah perkara mudah. Dia perlu banyak membaca, membuat
rujukan dan mengikuti perkembangan semasa untuk mempersiapkan diri
dengan pengetahuan.
“Sebenarnya, tidak banyak pesaing dalam bidang
keselamatan siber. Saya sendiri terpaksa bergelut dengan kemampuan diri
untuk meyakinkan pemain industri mengenai pentingnya isu ini diberi
perhatian.
“Itu belum mengambil kira hal berkaitan tempahan,
prosedur membawa masuk produk dan sebagainya. Sekali pun permulaannya
sukar, hasilnya kini memberangsangkan,” katanya.
Tidak menunggu
lama, wanita ini meneruskan langkah lebih jauh ke depan. Baginya,
kata-kata ahli perniagaan Amerika Syarikat Warren Buffet cukup memberi
inspirasi besar kepada dirinya.
“Dalam buku beliau menyebut, “Do
not put all eggs in one basket.” Maksudnya, jangan letak semua wang yang
kita ada dalam satu tempat. Pelbagaikan kerana kita tidak tahu arah
mana yang mungkin membawa keuntungan atau kerugian dalam perniagaan.
Sekurang-kurangnya kalau kita jatuh, masih ada sumber yang boleh memberi
sokongan.
“Justeru, saya ambil keputusan membuka kafe iLapar di
Ara Damansara. Pada awalnya, sambutan diterima memang menggalakkan.
Tetapi lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan samseng memeras wang
perlindungan. Sekalipun laporan polis dibuat, kejadian tetap berulang.
“Melihat
keadaan itu, saya membuat keputusan untuk berpindah ke Publika Shopping
Gallery. Di sini cabarannya besar. Selain kadar sewa yang tinggi, saya
juga harus bijak mencari idea kreatif untuk mengurangkan kos dan
meningkatkan nilai keuntungan.
“Selepas berbincang dengan ayah dan
adik-beradik yang lain, saya mengambil keputusan mengeluarkan pes
masakan. Saya percaya pes sebegini mempunyai permintaan tinggi terutama
dalam kalangan wanita berkerjaya.
“Mereka hanya perlu siapkan
bahan utama, masukkan pes dan biarkan di dapur. Ini semua inisiatif
untuk kaum ibu menjimatkan masa di dapur. Jadi, mereka akan mempunyai
lebih ruang untuk bersama anak dan keluarga. Selain itu, pes sebegini
juga sesuai untuk mereka yang hendak mengembara, mendaki mahupun
melancong ke luar negara,” katanya.
Belum puas dengan apa yang
diusahakan, Wan Nurliyana gigih mencari masalah ‘terbaik’ yang boleh
dibantu urus menerusi perniagaan. Bisnes wangian yang dulunya sekadar
dibuat kecil-kecilan mula diberi perhatian khusus.
“Bermula dengan
proses penjenamaan semula, penukaran bungkusan, peningkatan kualiti
hinggalah pengukuhan pemasaran, saya laburkan sejumlah wang untuk
mendapatkan hasil terbaik.
“Jadi, apabila wangian ini kembali ke
pasaran, sambutan diterima jauh lebih bagus. Ramai yang mengatakan
baunya setanding wangian jenama asli. Ramai yang bertanya peluang
menjadi ejen dan stokis.
“Saya fikir, mungkin dengan cara ini
boleh membantu lebih ramai wanita menjana sumber kewangan sendiri.
Alhamdulillah, setakat ini saya memiliki sembilan stokis di seluruh
negara dan masing-masing seorang di Brunei, Singapura dan Indonesia,”
katanya.
WAN Nurliyana turut mengeluarkan pes masakan sendiri dan bisnes wangian.
BANTU KAUM IBU KEMBALI CERGAS
Tidak segan membuka
kisah di balik tabir hidupnya, kata Wan Nurliyana, dia sebenarnya
menyandang status ibu tunggal yang memiliki seorang anak lelaki berusia
lapan tahun.
Sama seperti ibu lain, dia juga berdepan waktu sukar
apabila terpaksa meninggalkan anak dalam jagaan keluarga untuk
menguruskan perniagaan. Ada waktunya, dia sendiri kecewa kerana banyak
perancangan bersama anak terpaksa ditunda atas komitmen kerja.
“Apa
yang boleh dilakukan adalah mencari seberapa banyak ruang dan masa
untuk kami habiskan waktu bersama. Kalau setiap hari pun sibuk, hujung
minggu pula bekas suami mengambil giliran menjaga anak, memang langsung
tak berjumpalah. Mahu atau tidak, saya perlu rancang percutian untuk
kami habiskan masa bersama.
“Begitupun, saya tetap bernasib baik
kerana adik-beradik dan ayah masih tinggal bersama. Jika saya sibuk,
Dzayan Amin Zyad akan dijaga ahli keluarga yang lain. Tidaklah dia bosan
keseorangan.
“Lagipun, saya masih ada komitmen di pusat
kecergasan. Gimnasium yang ada khidmat estetika ini saya wujudkan khusus
untuk kaum wanita yang mahu tampil cergas dan cantik, terutama selepas
melahirkan anak.
“Kita boleh lihat betapa ramai wanita hari ini
mengeluh sukar untuk mendapatkan bentuk tubuh yang asal. Kadangkala
mereka gigih melakukan senaman, tetapi gagal mengempiskan kembali perut.
Paling penting, saya mahu wanita kembali cergas, bersemangat dan sihat
dalam menjalani rutin harian,” katanya.
Jelas Wan Nurliyana, dia
selalu bersyukur kerana memilih untuk mengikut kehendak dan cita-cita
ibunya satu masa dulu. Dia percaya kegembiraan ibunya memiliki anak
seorang peguam sedikit sebanyak mempermudahkan perjalanan kariernya
kini.
“Walaupun ibu dan ayah masing-masing sudah membawa haluan
hidup sendiri, mereka sentiasa berada di belakang, menyokong
perkembangan kerjaya serta perniagaan yang saya usahakan. Adik-beradik
juga banyak membantu.
“Selain akur dengan impian ibu, saya juga
banyak mengambil kata-kata ayah. Dia selalu berpesan bahawa hidup ini
terlalu singkat. Jadi, kalau mahu melakukan sesuatu, buatlah sehabis
baik.
“Secara peribadi, saya percaya bahawa pengetahuan dan kajian
mengenai sesuatu bidang itu perlu sebelum kita mengambil keputusan
mengembangkannya menjadi sumber perniagaan. Rancanglah dengan baik dan
sentiasa dapatkan doa serta restu ibu ayah. Pasti semuanya mudah,”
katanya.