MERIAH… Tidak sampai sebulan Malaysia meraikan stesen televisyen swasta percuma baharu dikenali Awesome TV sejak 3 Ogos lalu, kini pengguna siaran digital teresterial bertambah ceria!
Ia susulan empat saluran radio swasta popular milik Media Prima Berhad (MPB) telah pun boleh ‘didengar’ melalui dekoder MYTV, yang sebelum ini cuma dapat diikuti menerusi gelombang FM.
Saluran itu ke udara mulai pukul 12.01 tengah malam 28 Ogos dan berita gembira ini turut tular dikongsi ramai pengguna media sosial tempatan yang teruja kemunculan siaran stesen tersebut.
MPB begitu popular menerusi dua saluran radio berbahasa Melayu iaitu Hot FM dan Kool FM selain masing-masing satu saluran berbahasa Inggeris, Fly FM dan berbahasa Cina, One FM.
Terdahulu, desas-desus penyertaan empat stesen radio itu ‘memeriahkan’ MYTV mula jadi topik perbincangan hangat netizen ‘kaki sembang’ arena penyiaran tanah air sejak awal bulan ini lagi.
Malah, lawatan Ketua Pengawai Eksekutif MYTV Broadcasting Sdn. Bhd., Mazlan Mahdi ke ibu pejabat MPB di Sri Pentas, Selangor pada 10 Ogos lalu turut menguatkan spekulasi berkenaan.
Semasa ditemuramah DJ AG Azmeer, Haiza Hanafi dan Muaz Mohamed dalam slot pagi di Kool FM secara eksklusif, beliau membayangkan empat stesen radio MPB itu dapat ‘masuk’ MYTV.
Terdahulu, penyedia platform penyiaran digital percuma tersebut sudah pun ada enam saluran radio awam milik RTM iaitu Nasional FM, Traxx FM, Ai FM, Minnal FM, Klasik FM dan Asyik FM.
Mazlan semasa diwawancara itu juga jangka banyak lagi saluran radio tempatan boleh didengar melalui MYTV seperti IKIM FM, Suria FM, Best FM selain stesen-stesen negeri di bawah RTM.
Ia sekali gus bantu lonjak lagi liputan siaran saluran berkenaan merangkumi 98 peratus daripada kawasan daratan di Malaysia berbanding sebelum ini yang agak terhad di lokasi tertentu sahaja.
Bahkan, Mazlan dedah perancangan jangka panjang MYTV untuk pengguna ikuti saluran radio dan televisyen melalui aplikasi khas di tablet, telefon pintar waima papan pemuka dalam kereta.
Peluang keemasan ini ‘direbut’ baik pihak MPB ekoran aduan ramai peminat tegar stesen radio kendaliannya luah perasaan kecewa gagal dapat siaran jika berada di luar zon pemancar FM.
Situasi terbaharu ini bakal beri saingan kepada stesen berbayar Astro yang ada 27 saluran radio, tetapi didakwa ‘tidak buka’ peluang untuk stesen swasta lain dek risau hilang dominasi pasaran.
MPB turut mempunyai tujuh saluran televisyen disiar melalui MYTV iaitu TV3, ntv7, 8TV, TV9, Drama Sangat serta dua saluran CJ Wow Shop masing-masing dalam bahasa Melayu dan Cina.
Ketika ini, MYTV telah pun ada 16 saluran televisyen termasuk TV1, TV2, TV Okey, RTM Sports, Berita RTM, TV AlHijrah, Bernama TV, Astro Go Shop dan paling ‘bongsu’ iaitu Awesome TV.
Projek pendigitalan penyiaran nasional yang dilancarkan oleh bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2016 itu dirancang bagi wujud 80 saluran televisyen dan 40 saluran radio.
Ia diwujudkan susulan pemansuhan gelombang analog pada 31 Oktober 2019 demi rapat jurang digital rakyat miskin yang tidak mampu langgan siaran berbayar satelit Astro dan kabel UnifiTV.
Apa yang pasti, penyertaan empat saluran radio MPB itu ternyata
‘hadiah’ bermakna untuk 6.2 juta isirumah dengan peranti MYTV menjelang
sambutan Hari Kebangsaan 2020 pada 31 Ogos.
P/S: Nampaknya Jumaat minggu ini antara Jumaat yang paling mengujakan apabila kesemua empat saluran radio kelolaan MPB masuk MYTV.
No comments:
Post a Comment