Fasa kemuncak penutupan siaran analog di Malaysia.
Semalam (31 Oktober 2019) merupakan hari terakhir siaran TV percuma dalam format analog bersiaran di Malaysia. Sabah, Sarawak dan Labuan dipilih sebagai fasa kemuncak penutupan siaran analog (ASO) di Malaysia, sekaligus menandakan berakhirnya siaran TV analog di Malaysia setelah 56 tahun ia bersiaran sejak 28 Disember 1963 sehingga semalam. Ini bermakna, bermula hari ini (1 November 2019), kesemua saluran TV yang sebelum ini bersiaran dalam format analog hanya boleh diikuti menerusi platform digital MYTV khusus untuk semua pengguna dekoder DVB-T2 selain platform Astro dan UniFi TV. Syukur alhamdulillah, tercapai juga hajat saya untuk melihat siaran analog berkubur mulai hari ini.
Penamatan siaran analog di Malaysia bermula dengan makluman ini.
Mujurlah saya adalah antara yang terawal di daerah Sandakan, Sabah menikmati siaran digital MYTV (masa itu siaran ujian DTT) bermula 7 April 2016 lalu. Sejak tarikh itu, saya dapat menonton saluran-saluran TV yang signal analognya tidak boleh diterima di Sandakan, Sabah. Tiga tahun lepas, saya dapat menonton cerita drama dan telefilem di saluran TV9 sebaik sahaja dapat signal digital MYTV. Sejak dari tarikh itu juga saya tak nak menonton siaran RTM dan TV3 dalam format analog lagi, itupun jika ada cerita dan acara yang mustahak.
Banyak juga perkara penting dalam hidup saya sepanjang tempoh 7 April 2016 sehingga semalam, antaranya saluran TV3 yang bersiaran dalam format HD, RTM HD (kini saluran sukan dalam format HD) menjelang musim bola sepak Piala Dunia dan Hari Raya, saluran infoberita naungan RTM (saluran 123 MYTV) mula bersiaran selepas sambutan Krismas tahun lalu dan ulangtahun ke-73 RTM yang menyaksikan kesemua saluran di bawah naungannya dalam format HD.
Semua sudah tahu siaran analog kadangkala ada bintik-bintik dan dari segi jumlah siaran ianya terhad, sedangkan siaran digital (selain terang dan jelas) berkemungkinan besar akan ada penambahan saluran baru, termasuk yang bersifat khusus mengikut kategori/kumpulan rancangan.
Hari ini dengan rasminya bermulanya era siaran TV digital dan berkuburnya siaran TV analog di Malaysia. Yang masih belum ada dekoder DVB-T2, silakan membeli dan yang sudah ada dekoder DVB-T2 teruskan menikmatinya secara percuma. Tiada bayaran bulanan dikenakan.
Semoga dengan berkuburnya siaran analog yang bermula hari ini akan direstui oleh setiap pengguna dekoder DVB-T2. Amin..
No comments:
Post a Comment