Tentang Diri Saya: Televisyen Terestrial Digital

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!
Showing posts with label Televisyen Terestrial Digital. Show all posts
Showing posts with label Televisyen Terestrial Digital. Show all posts

Friday, November 1

Tiada lagi siaran TV analog di Malaysia!

Fasa kemuncak penutupan siaran analog di Malaysia.


Semalam (31 Oktober 2019) merupakan hari terakhir siaran TV percuma dalam format analog bersiaran di Malaysia. Sabah, Sarawak dan Labuan dipilih sebagai fasa kemuncak penutupan siaran analog (ASO) di Malaysia, sekaligus menandakan berakhirnya siaran TV analog di Malaysia setelah 56 tahun ia bersiaran sejak 28 Disember 1963 sehingga semalam. Ini bermakna, bermula hari ini (1 November 2019), kesemua saluran TV yang sebelum ini bersiaran dalam format analog hanya boleh diikuti menerusi platform digital MYTV khusus untuk semua pengguna dekoder DVB-T2 selain platform Astro dan UniFi TV. Syukur alhamdulillah, tercapai juga hajat saya untuk melihat siaran analog berkubur mulai hari ini.

Penamatan siaran analog di Malaysia bermula dengan makluman ini.


Mujurlah saya adalah antara yang terawal di daerah Sandakan, Sabah menikmati siaran digital MYTV (masa itu siaran ujian DTT) bermula 7 April 2016 lalu. Sejak tarikh itu, saya dapat menonton saluran-saluran TV yang signal analognya tidak boleh diterima di Sandakan, Sabah. Tiga tahun lepas, saya dapat menonton cerita drama dan telefilem di saluran TV9 sebaik sahaja dapat signal digital MYTV. Sejak dari tarikh itu juga saya tak nak menonton siaran RTM dan TV3 dalam format analog lagi, itupun jika ada cerita dan acara yang mustahak.

Banyak juga perkara penting dalam hidup saya sepanjang tempoh 7 April 2016 sehingga semalam, antaranya saluran TV3 yang bersiaran dalam format HD, RTM HD (kini saluran sukan dalam format HD) menjelang musim bola sepak Piala Dunia dan Hari Raya, saluran infoberita naungan RTM (saluran 123 MYTV) mula bersiaran selepas sambutan Krismas tahun lalu dan ulangtahun ke-73 RTM yang menyaksikan kesemua saluran di bawah naungannya dalam format HD.

Semua sudah tahu siaran analog kadangkala ada bintik-bintik dan dari segi jumlah siaran ianya terhad, sedangkan siaran digital (selain terang dan jelas) berkemungkinan besar akan ada penambahan saluran baru, termasuk yang bersifat khusus mengikut kategori/kumpulan rancangan.

Hari ini dengan rasminya bermulanya era siaran TV digital dan berkuburnya siaran TV analog di Malaysia. Yang masih belum ada dekoder DVB-T2, silakan membeli dan yang sudah ada dekoder DVB-T2 teruskan menikmatinya secara percuma. Tiada bayaran bulanan dikenakan.

Semoga dengan berkuburnya siaran analog yang bermula hari ini akan direstui oleh setiap pengguna dekoder DVB-T2. Amin..

Friday, October 25

Siaran TV analog Malaysia bakal berakhir awal November ini

Mesej penutupan siaran analog di Sabah dan Sarawak.

Tanggal 31 Oktober ini merupakan fasa kemuncak penutupan siaran analog (ASO) di Malaysia, yang mana Sabah dan Sarawak serta Labuan akan menamatkan siaran analog pada awal bulan hadapan. Ini bermakna tiada lagi siaran analog di Malaysia bermula 1November ini. Bagi yang sudahpun membeli dekoder DVB-T2 teruskan menonton secara percuma selepas ASO di Malaysia kelak.

Fasa pengenalan ASO di Malaysia.

Untuk makluman, fasa pengenalan ASO di Malaysia adalah pada 21 Julai yang lalu di Pulau Langkawi dan siaran analog di Semenanjung Malaysia telah berakhir pada tengah malam 15 Oktober lalu. Siaran analog di Sabah dan Sarawak serta Labuan masih lagi bersiaran dan akan menamatkan riwayatnya selepas sambutan Deepavali ini. Sebab utama warga Sabah dan Sarawak memasang dekoder MYTV adalah sesetengah saluran yang bersiaran secara analog seperti TV9 dan 8TV kelolaan Media Prima (MPB) tidak diterima di Sabah dan Sarawak. Mujurlah saya adalah antara yang terawal dari Sandakan menikmati siaran digital MYTV sejak tiga tahun yang lalu, iaitu pada 7 April 2016 (Khamis). Sejak dari itu, saya dapat menonton saluran TV9 dan ntv7 sehingga kini.

Akhir kata, semoga penutupan siaran analog sepenuhnya akan direstui setiap penduduk Malaysia yang sudahpun bosan dengan siaran analog yang berbintik-bintik itu. Nikmatilah siaran digital dengan aman damai bermula sekarang juga!

Thursday, July 31

Transformasi penyiaran bawa penonton ke era baru

MASIHKAH ingat lagi sewaktu mula-mula menonton siaran televisyen warna pada akhir dekad 1970-an dahulu? Seisi kampung meriah berkumpul di rumah jiran untuk menumpang menonton program Puspawarna, rancangan pertama yang disiarkan dalam bentuk warna pada 28 Disember 1978.

Dunia waktu itu terasa bertambah ceria, apabila drama kesukaan tidak lagi ditonton sekadar hitam putih.

Tidak lama selepas itu, satu lagi sejarah dilakar apabila stesen swasta pertama dilancarkan. Dengan tema Berita Terkini, Hiburan Sensasi, pada 1984, saluran TV3 mula dipancarkan di Lembah Klang dan disiarkan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Pada ketika itu, menjadi satu agenda bagi mereka yang di luar Kuala Lumpur untuk menonton TV3 apabila tiba di ibu negara. Ini adalah satu lagi kemajuan bidang penyiaran yang meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan seharian masyarakat pada waktu itu.

Kini, akan tiba satu lagi transformasi yang bakal membawa perubahan besar bagi televisyen terestrial negara kita, apabila apa yang dipaparkan ke kaca televisyen bagi siaran ke udara percuma (free to air broadcasting) bukan lagi dalam bentuk analog, tetapi ditambah baik kepada sistem digital. Arial televisyen tidak lagi perlu dinaikkan di atas bumbung atau diubah kedudukannya bagi mendapatkan siaran yang jelas.

Sebaliknya, transformasi baru ini akan memudahkan kehidupan, apabila arial hanya perlu diletakkan di sebelah televisyen untuk mendapatkan kualiti gambar dan suara dalam bentuk digital yang jauh lebih baik dari apa yang ditonton sekarang.

Pelbagai lagi ciri baru akan diperkenalkan bagi membuatkan pengalaman menonton televisyen menjadi lebih menarik, antaranya ialah pengaturcaraan pelbagai saluran, panduan program elektronik (EPG) dan sistem audio pelbagai bahasa yang kini tiada di kaca televisyen penonton siaran tanpa bayaran.

Adalah dijangkakan dalam tempoh lima tahun lagi, sebanyak 80 saluran boleh dipilih oleh penonton, hasil usaha transformasi dalam Penyiaran Terestial Televisyen Digital atau Digital Terrestial Television Broadcasting (DTTB). Melalui teknologi digital, lebih banyak saluran pendidikan, hiburan dan maklumat disediakan, tanpa mengabaikan nilai-nilai budaya masyarakat pelbagai etnik kita.

Yang lebih penting, DTTB akan mengubah gaya kehidupan masyarakat dengan kemudahan interaktif yang mampu ditawarkan. Pengalaman baru akan dirasai apabila televisyen di rumah bukan sahaja digunakan sebagai alat menonton berita atau drama, tetapi boleh digunakan untuk menyenangkan kehidupan mereka.

Contohnya, DTTB akan membolehkan penonton, dari ruang tamu atau bilik tidur mereka, dengan mudahnya menggunakan alat kawalan jauh televisyen mendapatkan perkhidmatan internet terpilih, memuat turun lagu atau aplikasi pilihan, membeli-belah dari rumah (home shopping), membayar bil, bermain permainan video, mengikuti e-pembelajaran dan pelbagai lagi aplikasi interaktif yang sebelum ini tidak pernah ada di kaca televisyen.

Kesemua ini boleh dilakukan tanpa perlu menggunakan kombinasi telefon. Penonton juga tidak perlu terikat dengan jadual penyiaran rancangan kegemaran, sebaliknya boleh memilih masa menonton mengikut kesesuaian masing-masing.

DTTB adalah satu agenda transformasi kerajaan bagi sistem penyiaran pendigitalan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kawalan selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dan dibantu oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd sebagai penyedia infrastruktur.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah pun mengumumkan pelaksanaan DTTB ini akan dilakukan secara berperingkat, bermula dari Pantai Timur pada April 2015. Kerajaan juga menyasarkan bahawa 98 peratus penduduk negara ini akan menerima siaran terestrial digital percuma pada 2016.

Pelbagai sebab mendorong kerajaan untuk membawa siaran digital ke seluruh pelosok negara, antaranya adalah keupayaan untuk merapatkan jurang digital di luar dan dalam bandar. Sebagai contoh, teknologi siaran digital akan membolehkan televisyen digunakan sebagai satu perantaraan untuk mendapatkan informasi atau pembelajaran, apabila pelbagai saluran khas, seperti pendidikan, kesihatan, pertanian dan kewangan boleh dibawa kepada penonton di seluruh ceruk negara secara percuma.

Ahmad Shabery juga berkata, RTM yang sekarang ini hanya memiliki dua saluran sedang mempertimbangkan menambah sekurang-kurangnya lima saluran, contohnya saluran khas berita, sukan dan kanak-kanak. Pastinya, ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat Malaysia, terutamanya bagi yang kurang berkemampuan untuk melanggan siaran televisyen berbayar.

Pada masa sama, sektor DTTB yang dinamik juga akan mempertingkat daya inovasi, reka bentuk, hasil cipta dan pasaran produk baharu untuk menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara. Antara lainnya, penambahan saluran akan menggalakkan lebih banyak lagi pembekal kandungan (content provider) untuk siaran televisyen yang akan bersaing menyajikan hanya yang terbaik.

Kualiti program tempatan yang dihasilkan sudah tentunya akan dapat dipertingkatkan dan berpeluang untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa dan menjadi satu hasil eksport negara. Kebolehan penonton berinteraksi dan memberi respons terhadap rancangan yang ditonton secara spontan dengan hanya menggunakan alat kawalan jauh televisyen tanpa perlu terikat dengan langganan bayaran bulanan adalah simbol kuasa pilihan penonton yang sebenar; dan inilah yang akan mendorong peningkatan kualiti kandungan penyiaran di Malaysia.

Semua ini bukanlah perkara baru di dunia. Teknologi televisyen digital adalah satu evolusi dalam bidang penyiaran yang bermula seawal 1980-an lagi di negara maju.

Peralihan dari analog ke digital buat kali pertamanya berjaya dilaksanakan secara sepenuhnya di Belanda pada 2006. Sejak itu, kebanyakan negara di seluruh dunia bertukar ke siaran terestrial digital dan menutup penyiaran analog. Sebagai contoh, di benua Eropah, rangkaian DTTB kini menawarkan lebih 2,000 saluran televisyen yang ditonton oleh lebih kurang 250 juta penduduk di sana.

Melihat pula kepada negara-negara yang lebih berdekatan dengan Malaysia berbanding dengan benua Eropah, banyak yang telah menutup siaran analog seperti Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia yang kini menumpukan usaha menyediakan bukan hanya kandungan siaran digital tetapi juga berdefinisi tinggi (HD).

Ada pula negara yang sudah pun memulakan proses untuk bertukar dari siaran analog ke terestrial digital melalui peralihan menyeluruh atau sebahagian, antaranya Thailand, Myanmar, Singapura, Indonesia, Vietnam, Filipina, Cambodia, China, Iran, Mesir, India, Qatar, Brunei dan Arab Saudi.

Ini semua sudah pastinya akan menjadi titik perubahan dalam masyarakat, dan akan terciptanya satu lagi lanskap penyiaran baharu yang bakal menjadi anjakan paradigma bagi sektor penyiaran di negara kita.

PENULIS ialah Ketua Pegawai Komersial, MYTV Broadcasting Sdn. Bhd.

Monday, June 9

Projek DTT lahir TV masa depan

Kuala Lumpur: Malaysia bakal menerima pembangunan prasarana pembangunan teknologi televisyen terestrial digital (DTT) menjelang 2016, sekali gus menjadi negara paling ke depan mengguna pakai teknologi berkenaan dalam kalangan negara ASEAN.

Projek pembangunan prasarana teknologi DTT adalah transformasi sistem analog televisyen ke teknologi digital yang laksanakan Puncak Semangat Sdn Bhd (PSSB) untuk membina, mengendali dan menguruskan infrastruktur dalam tempoh 15 tahun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, projek berkenaan diberikan kementeriannya kepada PSSB menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak lapan minggu lalu.

Beliau berkata, pengenalan televisyen digital membolehkan rakyat mendapat faedah dari segi penambahan saluran siaran, membantu meluaskan ruang perniagaan di televisyen, kualiti audio dan visual dipertingkatkan serta menggalakkan perkembangan industri kandungan di Malaysia.

“Projek DTT adalah salah satu projek dirancang kerajaan bagi mencapai status negara maju menjelang 2020 memandangkan ia termasuk di dalam usaha meningkatkan penggunaan teknologi industri.

“Saya difahamkan dengan adanya DTT, saluran siaran mampu bertambah kepada 80 saluran dan ini memberi faedah kepada kita semua untuk menikmati maklumat dan hiburan,” katanya pada majlis pelancaran projek televisyen digital di sini, baru-baru ini.

Friday, June 6

Malaysia jadi perintis perkhidmatan penyiaran DTT



Malaysia bakal mempunyai perkhidmatan penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTT) menjelang tahun 2016 dan sekaligus menjadi negara Asean yang menerajui bidang ini menurut kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata saluran TV percuma yang dikenali sebagai MYTV merupakan sebahagian daripada agenda transformasi kerajaan bagi keperluan sistem penyiaran digital.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"DTT yang berasas kepada teknologi baru bukan sahaja merangkumi liputan menyeluruh tetapi juga dapat meningkatkan kualiti industri kandungan dengan lebih maju," katanya seperti yang dipetik daripada laporan media tempatan.

DTT bakal dilaksana melalui empat fasa bermula Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Januari 2015, fasa 2 merangkumi Sabah dan Sarawak dan fasa 3 bermula di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala fasa terakhir bakal meliputi Selangor, Lembah Klang, Putrajaya serta semua kawasan bandar.

Selain itu, projek ini juga akan dimulakan di kawasan pendalaman kerana ingin menyediakan kemudahan terkini kepada rakyat bawahan berikutan modul itu lebih mudah memandangkan cabaran teknikal untuk bertukar daripada sistem analog kepada digital adalah besar.

"Kami berharap untuk memiliki 100 hingga 200 saluran dalam pasaran dan boleh membangunkan lebih banyak saluran pada masa akan datang," katanya.

Merujuk kepada United Kingdom yang mengambil masa selama 12 tahun untuk memiliki saluran penyiaran digital sendiri, beliau optimis terhadap projek DTT negara dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun seperti yang dirancang dengan memperlihatkan pengalaman Malaysia yang pernah melalui proses itu.

Tuesday, June 3

Percuma 2 juta set isyarat TV

Kuala Lumpur: Puncak Semangat Sdn Bhd (Puncak Semangat), penyedia kemudahan rangkaian dan infrastruktur TV teresterial digital (DTT) negara akan menawarkan dua juta set kekotak penerima isyarat (set-top box) untuk diagihkan secara percuma kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Projeknya, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob berkata, tawaran terbabit adalah sebahagian syarat yang perlu dipenuhi syarikat apabila berjaya memperoleh konsesi untuk membangunkan DTT daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 16 April lalu.

“Pemilihan bagi individu yang bakal menerima set kekotak ini akan dilakukan melalui senarai individu daripada program e-Kasih dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya pada majlis sidang media mengenai DTT di sini, semalam.

Puncak Semangat adalah syarikat yang berjaya memperoleh konsesi selama 15 tahun bagi membangunkan kemudahan rangkaian dan infrastruktur DTT daripada tiga syarikat yang disenarai pendek oleh SKMM pada bulan lalu.

Beliau berkata, individu yang tidak terpilih untuk menerima kekotak penerima isyarat perlu membeli sendiri peralatan terbabit bagi mendapatkan siaran televisyen digital yang memiliki kualiti gambar dan bunyi lebih baik.

Menurutnya, syarikat tidak menetapkan harga bagi set kekotak itu kerana ia masih berada pada peringkat perbincangan.

di mana mereka sedang meneliti kertas kerja dan permohonan daripada 200 syarikat tempatan dan antarabangsa yang berminat untuk menghasilkan dan mengedarkan peralatan terbabit.

“Apa yang pasti, harganya akan berada pada tahap mampu milik, sekali gus memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menikmati dan memanfaatkan kemudahan siaran TV digital,” katanya.

Puncak Semangat akan memulakan pelaksanaan perkhidmatan DTT dalam empat fasa bermula Januari 2015 dan ia dijangka menawarkan siaran pertama seawal 17 April 2015.

Syarikat itu dijangka melengkapkan peralihan siaran televisyen daripada sistem analog kepada digital bagi seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang seperti yang ditetapkan SKMM, sekali gus memenuhi sasaran untuk memastikan 98 peratus daripada populasi rakyat di Malaysia akan menerima siaran terbabit menjelang Jun 2016.

Dalam perkembangan sama, Puncak Semangat memperuntukkan perbelanjaan modal melebihi RM2 bilion bagi melaksanakan pembangunan DTT di negara ini sepanjang tempoh konsesi terbabit.

Friday, January 10

PSSB dipilih bina prasarana siaran DTTB

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memilih Puncak Semangat Sdn Bhd (PSSB) sebagai pembida yang berjaya untuk membina, mengendali dan menguruskan prasarana bagi perkhidmatan penyiaran televisyen terestrial digital (DTTB) di Malaysia.

PSSB mengalahkan i-Media Broadcasting Solutions Sdn Bhd dan Redtone Network Sdn Bhd untuk memenangi bida itu.
“Cadangan dikemukakan PSSB mengatasi (pembida) lain dari segi strategi keseluruhan berdasarkan pelan komprehensif dan terperinci serta dilihat sebagai model perniagaan mampan,” kata SKMM dalam kenyataan, semalam.
PSSB berkewajipan membangunkan prasarana DTTB terdiri daripada hab digital multimedia dan rangkaian pemancar televisyen digital berkuasa tinggi, sederhana dan rendah di seluruh negara berkeupayaan bawa hingga 45 saluran TV digital definisi standard atau 15 saluran TV digital definisi tinggi sebagai permulaan. - BERNAMA