Memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu, usahawan dan pemimpin
bukanlah sesuatu yang mudah, namun bagi Nurul’Ain Balqis Munir setiap amanah menjadi ruang untuk terus belajar, memimpin dan menyumbang kepada masyarakat.Galas amanah tanpa abai tanggungjawab
Ramai beranggapan dunia kepimpinan khususnya dalam arena politik menuntut komitmen yang tinggi sehingga sukar untuk diseimbangkan dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri, ibu dan wanita bekerjaya.
Kesibukan menghadiri pelbagai program, berinteraksi dengan masyarakat serta memikul amanah sebagai pemimpin sering dilihat memerlukan pengorbanan masa dan tenaga yang besar sekali gus membuatkan tidak ramai wanita berani melangkah ke hadapan untuk memikul tanggungjawab tersebut.
Keadaan itu secara tidak langsung mewujudkan tanggapan tanggungjawab sebagai pemimpin sukar digalas oleh wanita yang pada masa sama perlu mengimbangi pelbagai komitmen dalam kehidupan peribadi dan kerjaya.
Hakikatnya, ia menyebabkan tidak ramai wanita muda berani melangkah ke hadapan untuk memikul amanah sebagai pemimpin kerana perlu berdepan pelbagai cabaran serta persepsi masyarakat.
Namun bagi Ketua Srikandi Muda Bersatu Bahagian Ampang, Nurul’Ain Balqis Munir berkata, setiap cabaran itu tidak pernah dianggap sebagai alasan untuk membataskan potensi dirinya sebaliknya dia percaya wanita mampu memainkan peranan besar dalam pembangunan masyarakat jika diberi peluang, sokongan dan ruang untuk berkembang sebagai pemimpin.
Di sebalik tanggungjawab mengurus keluarga dan membesarkan tiga orang puteri, dia turut mengusahakan perniagaan dalam bidang kecantikan selain membantu suaminya yang merupakan seorang jurulatih kecergasan sekali gus menjadikan kehidupannya sentiasa dipenuhi dengan pelbagai amanah.
Baginya, setiap peranan yang dipikul mempunyai nilai tersendiri dalam membentuk dirinya sebagai seorang wanita yang lebih memahami realiti kehidupan masyarakat. Malah, pengalamannya sebagai seorang ibu, usahawan dan individu yang aktif di organisasi menjadikan beliau lebih peka terhadap cabaran yang dihadapi oleh wanita hari ini.
“Walaupun kehidupan saya dipenuhi dengan pelbagai komitmen, penglibatan saya dalam dunia politik sebenarnya bermula secara tidak dirancang. Ia bermula apabila saya mendapat dorongan daripada insan yang paling rapat dengan saya yang percaya akan kemampuan saya untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya kepada Seri.
Bermula daripada penglibatan tersebut, Nurul’Ain mula melihat kepimpinan bukan sekadar mengenai jawatan atau kedudukan sebaliknya satu tanggungjawab untuk mendengar, memahami dan membantu masyarakat mengikut kemampuan yang ada.
Dia percaya setiap individu mempunyai ruang untuk memberi impak yang positif kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang atau pengalaman. Apa yang lebih penting ialah kesanggupan untuk belajar, mendengar pandangan orang lain serta berusaha memberikan manfaat kepada komuniti.
Pengalaman mengurus keluarga pula banyak mengajar dia mengenai erti
kesabaran, toleransi dan tanggungjawab justeru nilai-nilai tersebut
menurutnya menjadi asas penting dalam membentuk seorang pemimpin yang
mampu memahami keperluan masyarakat daripada pelbagai sudut.
Memahami Keperluan Masyarakat Dari Akar Umbi
Pengalaman hidup yang dilalui setiap hari menjadi asas kepada caranya
melihat pelbagai isu dalam masyarakat. Baginya, seseorang pemimpin yang
benar-benar memahami denyut nadi rakyat ialah mereka yang pernah
melalui sendiri cabaran kehidupan bukannya sekadar mendengar daripada
orang lain.
Sebagai seorang ibu yang membesarkan anak-anak di kawasan bandar, dia
akui kehidupan hari ini semakin mencabar berikutan peningkatan kos sara
hidup yang memberi kesan kepada hampir setiap keluarga. Oleh itu,
realiti tersebut menjadikan dia lebih memahami kebimbangan yang dirasai
oleh ramai wanita dan ibu muda.
“Saya merasai sendiri tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Kenaikan harga barangan keperluan dan pelbagai kos lain memberi kesan
langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya golongan wanita muda dan
keluarga muda,” katanya.
Pengalaman tersebut turut membuka matanya yang suara wanita perlu
terus diketengahkan dalam pelbagai ruang kepimpinan kerana merekalah
yang sering berhadapan secara langsung dengan pelbagai cabaran kehidupan
seharian.
Baginya, pengalaman mengurus keluarga memberi perspektif yang berbeza dalam melihat isu dari perspektif akar umbi.
Dia berpandangan wanita bukan lagi sekadar penyokong di belakang
tabir sebaliknya mampu menjadi pemimpin yang membawa idea, menyumbang
penyelesaian dan membantu membina masyarakat yang lebih sejahtera.
Baginya, kekuatan seorang wanita bukan hanya diukur melalui kemampuan
mengurus rumah tangga tetapi juga melalui keberanian memikul amanah,
membuat keputusan dan terus memberi manfaat kepada orang sekeliling.
Pandangan itu menjadi asas kepada cara dia melihat peranan wanita dalam
masyarakat hari ini yang semakin mencabar dan kompleks.
Cabaran, Keyakinan Sebagai Pemimpin Muda
Bagi Nurul’Ain, cabaran terbesar dalam memimpin golongan wanita muda
terletak pada dua aspek utama iaitu kekangan masa dan keyakinan diri.
Katanya, peranan sebagai pemimpin dalam sayap organisasi bukanlah
sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi apabila pada peringkat awal perlu
membina kepercayaan masyarakat secara berperingkat dan berterusan.
Dia menjelaskan proses meyakinkan masyarakat tidak boleh dicapai
dalam tempoh yang singkat sebaliknya memerlukan konsistensi, usaha yang
berterusan serta kesungguhan dalam setiap program dan aktiviti yang
dijalankan.
Perubahan ini menurutnya menuntut pendekatan yang lebih segar dalam
merangka setiap inisiatif agar ia bukan sahaja mampu menarik penyertaan
malah memberi nilai tambah kepada pembangunan diri wanita muda secara
menyeluruh.
Dia juga melihat perubahan minat dalam kalangan wanita muda hari ini
yang tidak lagi cenderung kepada pendekatan tradisional namun lebih
tertarik kepada program yang bersifat pembangunan diri, peningkatan
kemahiran dan memberi manfaat secara langsung kepada kehidupan seharian
mereka.
“Jadi, saya akan pastikan setiap program yang dijalankan lebih
relevan dan memenuhi keperluan mereka serta tidak bersifat terlalu
formal atau hanya satu hala sehingga gagal menarik minat wanita muda.
“Sebaliknya, ia perlu dirangka dengan lebih kreatif, praktikal dan
memberi impak terus kepada kehidupan seharian mereka dan dalam masa yang
sama dapat meningkatkan jumlah penyertaan mereka dalam
aktiviti-aktiviti komuniti yang dijalankan,” ujarnya.
Nurul’Ain tidak menafikan terdapat situasi apabila kemampuan wanita
sebagai pemimpin masih dipersoalkan oleh sesetengah pihak khususnya
dalam bidang yang memerlukan ketegasan dan membuat keputusan pantas.
Baginya, situasi itu bukan sesuatu yang melemahkan semangat
sebaliknya menjadi sebahagian daripada proses pembuktian diri dalam
dunia kepimpinan yang memerlukan ketahanan mental, kesabaran dan
kecekalan yang tinggi untuk terus melangkah walaupun berdepan dengan
pelbagai persepsi serta cabaran yang datang silih berganti.
Oleh itu, dia bersyukur kerana berada dalam kalangan individu yang
sentiasa memberi ruang, bimbingan serta sokongan kepada wanita untuk
terus berkembang dan memainkan peranan masing-masing.
“Sokongan keluarga khususnya suami saya yang juga turut menjadi
sumber kekuatan utama yang membantu untuk terus konsisten dalam
perjuangan yang diceburi selain saya juga turut bersyukur kerana
mempunyai keluarga yang sentiasa memahami dan tidak lokek memberikan
sokongan,” katanya.
Nurul’Ain tidak pernah menjadikan cabaran sebagai alasan untuk
berhenti tetapi ia menjadi dorongan yang kuat untuk dia perbaiki diri
selain turut meningkatkan kualiti kepimpinan dari semasa ke semasa.
Katanya, dalam menghadapi segala kritikan dan keraguan dia memilih
pendekatan untuk membuktikan kemampuan melalui tindakan yang nyata dan
hasil kerja yang konsisten bukan sekadar tin kosong.
Dia percaya komitmen terhadap tangunggjawab perlu sentiasa berada
pada tahap yang terbaik tanpa mengambil kira terhadap tekanan atau
cabaran yang dihadapi sepanjang perjalanannya mengemudi tampuk
kepimpinan dalam politik.
Wanita Bukan Pelengkap Tetapi Penggerak Utama
Nurul’Ain berpandangan wanita muda memainkan peranan yang sangat
signifikan dalam pembangunan masyarakat dan negara kerana mereka bukan
sekadar kelompok sokongan tetapi merupakan antara penggerak utama yang
membawa perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan.
Dia juga menekankan kepentingan keseimbangan antara komitmen sebagai
pemimpin, kerjaya dan kehidupan peribadi agar setiap tangunggjawab dapat
dilaksanakan dengan baik.
Peranan sebagai isteri dan ibu tetap menjadi keutamaan di samping
tanggungjawab sebagai usahawan serta pemimpin organisasi juga perlu
diuruskan dengan bijak dan teratur.
Dalam menjalani kehidupan sebagai seorang pemimpin muda, dia
berpegang teguh kepada prinsip melakukan sesuatu dengan
bersungguh-sungguh sehingga selesai.
“Prinsip saya ialah setiap perkara yang dimulakan perlu dilakukan
dengan sepenuh hati, penuh komitmen dan tanggungjawab sehingga
benar-benar selesai serta mencapai hasil yang diharapkan, bukan sekadar
melepaskan batuk di tangga,” katanya.
Dia juga berharap dapat melihat lebih ramai wanita muda tampil
sebagai pemimpin kerana generasi muda hari ini mempunyai cara berfikir
lebih segar dan progresif.








No comments:
Post a Comment