Marianny Ismail
“Usah peduli apa orang nak kata. Yakin dengan diri sendiri dan teruskan usaha untuk mengejar cita-cita yang kita impikan.
Itu antara kata-kata yang menjadi pegangan
kepada seorang wanita yang mempunyai hati kental apabila dia nekad
melibatkan diri dalam kerjaya cari gali minyak di lautan yang penuh
mencabar.
Meskipun seringkali dipandang serong oleh
masyarakat, wanita manis tinggi lampai ini tidak mahu mengambil peduli
mengenai tanggapan yang dilemparkan kepadanya.
Biarlah segala cemuhan dikeluarkan. Apa yang
penting, dia tahu ke mana hala tuju kehidupan yang bakal dibina untuk
menggapai impian dan cita-citanya.
Pujangga itulah yang disemat rapi oleh Marianny
Ismail, 33, sepanjang terlibat dalam kerjaya industri petroleum.
Menurutnya, kerjaya sebagai ahli geologi itu termasuk dalam bidang cari
gali minyak dan gas.
“Memang mencabar bagi seorang wanita menceburi
bidang ini. Cabarannya sangat besar, namun sekiranya mempunyai minat
yang mendalam, insya-Allah segala kesukaran boleh diatasi.
“Persiapan mental perlu dilakukan kerana hidup
sebagai seorang ahli geologi cari gali minyak ini kadangkala memerlukan
kita bekerja selama tiga hari di atas pelantar tanpa tidur yang cukup
bagi mengelak risiko kesilapan,” katanya kepada Mega Rona.
Mengulas lanjut, Marianny yang mempunyai
perwatakan lemah-lembut itu tidak kekok untuk berkongsi pengalaman
sepanjang terlibat dalam industri petroleum sejak mula bekerja sehingga
sekarang.
“Meskipun pendapatan sebagai seorang ahli
geologi cari gali minyak lumayan sehingga mencecah berpuluh ribu ringgit
sebulan, namun harus diingat bahawa tanggungjawabnya juga sangat besar.
“Sedikit sahaja kesilapan yang dilakukan, sudah
cukup membahayakan nyawa seluruh pekerja di atas pelantar cari gali
minyak. Malah, kesilapan juga boleh menyebabkan letupan berlaku di atas
pelantar,” katanya.
Tambahnya, bekerja di atas pelantar minyak di
tengah lautan memaksanya tidur dalam keadaan kurang selesa kerana
persekitaran dan keberadaan di tengah lautan selama seminggu atau lebih.
“Semasa bekerja di atas pelantar, saya perlu
merentas jambatan ke platform lain untuk masuk ke ruang tidur dan
berehat. Ini kerana ruang bekerja dan berehat berada di platform yang
berasingan,”tambahnya.
CARI GALI PETROLEUM
Namun katanya, apa yang paling mencabar semasa
bekerja adalah 80 peratus pekerja di dalam bidang ini adalah lelaki dan
beliau satu-satunya wanita yang bertugas di atas platform tersebut.
Mengulas lanjut, Marianny turut memberitahu
bahawa di dalam bidang industri cari gali petroleum, sebarang kesilapan
yang berlaku boleh menyebabkan kerugian mencecah berpuluh juta ringgit
dalam masa sehari.
“Disebabkan perkara itu, ahli geologi perlu
sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas, sama ada memantau sistem
cari gali minyak dan sebagainya.
“Kerugian seharusnya dielakkan, dengan memastikan tiada kesilapan di dalam data dan prosedur tugas yang dilakukan,” katanya.
Marianny turut mempunyai sebuah butik pakaian di
bawah jenama rekaannya sendiri. Katanya, butik itu lahir hasil titik
peluh yang diusahakan sejak dua tahun lalu.
Meskipun melibatkan diri dalam bidang yang
mencabar, namun Marianny tidak pernah melupakan rasa cinta terhadap
bidang fesyen yang diminatinya sejak kecil.
“Saya mengambil kelas fesyen selama setahun
sebelum membuka sebuah butik pakaian di Titiwangsa. Ini saya lakukan
untuk meneruskan minat saya dalam bidang fesyen.
“Perancangan
membuka butik pakaian ini adalah untuk masa depan. Sekiranya saya tidak
lagi berada di dalam industri petroleum dan minyak, saya mungkin akan
melibatkan diri dalam perniagaan pakaian,” katanya.
Tambahnya, dia turut aktif menganjurkan
pertunjukan fesyen pakaian di pentas peragaan untuk memperkenalkan
jenama pakaian sendiri.
“Menerusi industri fesyen ini, saya berpeluang
berjumpa dengan ramai kawan dari pelbagai industri, sekali gus
memberikan tunjuk ajar dan galakan kepada saya,”ujarnya.
Ibu tunggal ini menambah, dia turut berjaya
membuktikan kepada orang ramai apabila berjaya muncul sebagai pemenang
kedua Miss Universe Malaysia 2018.
“Semua orang perlu yakin dengan diri mereka sendiri, kejar cita-cita mereka selagi mampu dan jangan pernah mengalah,” katanya.
No comments:
Post a Comment