Tentang Diri Saya: Seronok urus lima syarikat

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Tuesday, April 30

Seronok urus lima syarikat

Wan Nurliyana percaya kebolehan diri.


KAGUM tatkala melangkah masuk ke ruang pejabat wanita ini. Bukan calang-calang orang mampu memiliki lebih dari satu syarikat untuk diuruskan dalam satu-satu masa. Apalagi jika diri sudah memiliki kerjaya dengan pendapatan bulanan yang stabil.

Namun kepuasan setiap individu berbeza. Kata Wan Nurliyana Abdul Rahman, 30, dia seronok menguruskan lima syarikat yang diusahakan hasil titik peluhnya sendiri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya mula mengenal alam pekerjaan seawal usia 16 tahun. Walaupun ibu mempunyai latar belakang keluarga berada, realitinya dia hanya suri rumah, sementara ayah pula dulu berkhidmat sebagai pegawai kastam.

“Jadi untuk mendapatkan duit sendiri, saya mula bekerja di McDonalds. Kemudian tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya bekerja di kedai serbaneka 24 jam sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya.


Menurut anak ketiga daripada lima beradik ini, dia memang mempunyai minat mendalam untuk berniaga sejak usia muda. Bagaimanapun keinginannya terpaksa diletak ke tepi demi mencapai hasrat ibu yang mahu melihat salah seorang anaknya bergelar peguam.

“Selepas dua tahun menjadi peguam, saya ditawarkan untuk menjadi rakan kongsi. Begitupun, setahun saja saya kekal di syarikat terbabit sebelum membuka firma guaman sendiri pada 2017.

“Dari situlah saya mula belajar mengurus perniagaan demi perniagaan. Wang simpanan sepanjang menjadi peguam di syarikat orang dijadikan modal untuk menguruskan firma sendiri.

“Kebetulan saya bertemu seorang pelanggan yang cuba mendapatkan khidmat nasihat perundangan berkaitan ancaman siber, dari situ munculnya idea untuk mengembangkan lagi potensi diri dalam perniagaan yang lebih besar dan mencabar,” katanya.


SELESAIKAN MASALAH ORANG 

Sambil menyambung bicara, Wan Nurliyana berkata, meneroka bidang di luar kepakaran diri bukanlah perkara mudah. Dia perlu banyak membaca, membuat rujukan dan mengikuti perkembangan semasa untuk mempersiapkan diri dengan pengetahuan.

“Sebenarnya, tidak banyak pesaing dalam bidang keselamatan siber. Saya sendiri terpaksa bergelut dengan kemampuan diri untuk meyakinkan pemain industri mengenai pentingnya isu ini diberi perhatian.

“Itu belum mengambil kira hal berkaitan tempahan, prosedur membawa masuk produk dan sebagainya. Sekali pun permulaannya sukar, hasilnya kini memberangsangkan,” katanya.

Tidak menunggu lama, wanita ini meneruskan langkah lebih jauh ke depan. Baginya, kata-kata ahli perniagaan Amerika Syarikat Warren Buffet cukup memberi inspirasi besar kepada dirinya.

“Dalam buku beliau menyebut, “Do not put all eggs in one basket.” Maksudnya, jangan letak semua wang yang kita ada dalam satu tempat. Pelbagaikan kerana kita tidak tahu arah mana yang mungkin membawa keuntungan atau kerugian dalam perniagaan. Sekurang-kurangnya kalau kita jatuh, masih ada sumber yang boleh memberi sokongan.

“Justeru, saya ambil keputusan membuka kafe iLapar di Ara Damansara. Pada awalnya, sambutan diterima memang menggalakkan. Tetapi lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan samseng memeras wang perlindungan. Sekalipun laporan polis dibuat, kejadian tetap berulang.

“Melihat keadaan itu, saya membuat keputusan untuk berpindah ke Publika Shopping Gallery. Di sini cabarannya besar. Selain kadar sewa yang tinggi, saya juga harus bijak mencari idea kreatif untuk mengurangkan kos dan meningkatkan nilai keuntungan.

“Selepas berbincang dengan ayah dan adik-beradik yang lain, saya mengambil keputusan mengeluarkan pes masakan. Saya percaya pes sebegini mempunyai permintaan tinggi terutama dalam kalangan wanita berkerjaya.

“Mereka hanya perlu siapkan bahan utama, masukkan pes dan biarkan di dapur. Ini semua inisiatif untuk kaum ibu menjimatkan masa di dapur. Jadi, mereka akan mempunyai lebih ruang untuk bersama anak dan keluarga. Selain itu, pes sebegini juga sesuai untuk mereka yang hendak mengembara, mendaki mahupun melancong ke luar negara,” katanya.

Belum puas dengan apa yang diusahakan, Wan Nurliyana gigih mencari masalah ‘terbaik’ yang boleh dibantu urus menerusi perniagaan. Bisnes wangian yang dulunya sekadar dibuat kecil-kecilan mula diberi perhatian khusus.

“Bermula dengan proses penjenamaan semula, penukaran bungkusan, peningkatan kualiti hinggalah pengukuhan pemasaran, saya laburkan sejumlah wang untuk mendapatkan hasil terbaik.

“Jadi, apabila wangian ini kembali ke pasaran, sambutan diterima jauh lebih bagus. Ramai yang mengatakan baunya setanding wangian jenama asli. Ramai yang bertanya peluang menjadi ejen dan stokis.

“Saya fikir, mungkin dengan cara ini boleh membantu lebih ramai wanita menjana sumber kewangan sendiri. Alhamdulillah, setakat ini saya memiliki sembilan stokis di seluruh negara dan masing-masing seorang di Brunei, Singapura dan Indonesia,” katanya.

WAN Nurliyana turut mengeluarkan pes masakan sendiri dan bisnes wangian.


BANTU KAUM IBU KEMBALI CERGAS 
 
Tidak segan membuka kisah di balik tabir hidupnya, kata Wan Nurliyana, dia sebenarnya menyandang status ibu tunggal yang memiliki seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Sama seperti ibu lain, dia juga berdepan waktu sukar apabila terpaksa meninggalkan anak dalam jagaan keluarga untuk menguruskan perniagaan. Ada waktunya, dia sendiri kecewa kerana banyak perancangan bersama anak terpaksa ditunda atas komitmen kerja.

“Apa yang boleh dilakukan adalah mencari seberapa banyak ruang dan masa untuk kami habiskan waktu bersama. Kalau setiap hari pun sibuk, hujung minggu pula bekas suami mengambil giliran menjaga anak, memang langsung tak berjumpalah. Mahu atau tidak, saya perlu rancang percutian untuk kami habiskan masa bersama.

“Begitupun, saya tetap bernasib baik kerana adik-beradik dan ayah masih tinggal bersama. Jika saya sibuk, Dzayan Amin Zyad akan dijaga ahli keluarga yang lain. Tidaklah dia bosan keseorangan.

“Lagipun, saya masih ada komitmen di pusat kecergasan. Gimnasium yang ada khidmat estetika ini saya wujudkan khusus untuk kaum wanita yang mahu tampil cergas dan cantik, terutama selepas melahirkan anak.

“Kita boleh lihat betapa ramai wanita hari ini mengeluh sukar untuk mendapatkan bentuk tubuh yang asal. Kadangkala mereka gigih melakukan senaman, tetapi gagal mengempiskan kembali perut. Paling penting, saya mahu wanita kembali cergas, bersemangat dan sihat dalam menjalani rutin harian,” katanya.

Jelas Wan Nurliyana, dia selalu bersyukur kerana memilih untuk mengikut kehendak dan cita-cita ibunya satu masa dulu. Dia percaya kegembiraan ibunya memiliki anak seorang peguam sedikit sebanyak mempermudahkan perjalanan kariernya kini.

“Walaupun ibu dan ayah masing-masing sudah membawa haluan hidup sendiri, mereka sentiasa berada di belakang, menyokong perkembangan kerjaya serta perniagaan yang saya usahakan. Adik-beradik juga banyak membantu.

“Selain akur dengan impian ibu, saya juga banyak mengambil kata-kata ayah. Dia selalu berpesan bahawa hidup ini terlalu singkat. Jadi, kalau mahu melakukan sesuatu, buatlah sehabis baik.

“Secara peribadi, saya percaya bahawa pengetahuan dan kajian mengenai sesuatu bidang itu perlu sebelum kita mengambil keputusan mengembangkannya menjadi sumber perniagaan. Rancanglah dengan baik dan sentiasa dapatkan doa serta restu ibu ayah. Pasti semuanya mudah,” katanya.

No comments:

Post a Comment