Tentang Diri Saya

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Thursday, July 19

Bak anak dara

Nurzarina Zakaria


Mengimbau zaman remaja ibu kepada dua anak ini, Nurzarina Zakaria, 34, memang seorang yang mempunyai disiplin tinggi dalam menjaga kecantikan dan kesihatan diri. Bayangkan, ketika pada usia sekolah menengah, wanita ini sudah memiliki rutin penjagaan wajah yang diamalkan setiap hari. Sedangkan zaman itu, kebanyakan gadis remaja masih ‘buta’ berkenaan rutin kecantikan, apatah lagi memiliki disiplin untuk tampil bersih dan menawan.

Bertemu kembali baru-baru ini, Nurzarina masih kekal awet muda bak anak dara. Kerap tampil berkebaya manis di televisyen, pengasas jenama kosmetik ini tidak pernah lokek melontar senyum biarpun saat rancak bercerita.

Selain cerita berkenaan empayar perniagaan dimiliki, Hati turut mengajak Nurzarina berkongsi petua cantik yang diamalkan dari dulu sampai kini. Sudah pasti, ramai wanita mahu mencedok sedikit sebanyak amalan yang dilakukan untuk tampil cantik persis wanita 20-an bukan?

Kata Nurzarina, sejak dulu lagi dia memang sukakan amalan penjagaan wajah secara tradisional kerana bahannya senang diperoleh dan harganya lebih murah. Bahkan, dia juga menanam sendiri tumbuh-tumbuhan seperti kunyit, kencur, lengkuas, lidah buaya dan pelbagai jenis herba kecantikan.

“Bagaimanapun, kecenderungan itu juga berubah seiring peredaran zaman. Kebelakangan ini saya lebih suka menggunakan ramuan tradisional yang ditanam secara organik kerana selamat dan tiada bahan kimia berbahaya.

“Corak pemakanan saya juga sudah bertukar kepada 100 peratus organik. Saya akan pastikan semua barang dapur adalah organik tidak kira sama ada garam, gula, mee, kicap dan sos. Semua barang ini saya beli dari kedai yang menawarkan produk organik dan memasak sendiri di rumah.

“Jadi, kalau ditanya kepada saya sama ada cara moden atau tradisional, saya percaya bahan organik lebih dekat dengan ciri tradisional. Harga memang sedikit mahal, tetapi segar, organik dan berkhasiat,” katanya.

Rawat diri di rumah

Bercerita lanjut, kata Nurzarina, dia mula mengamalkan rutin penjagaan wajah seawal usia 12 tahun. Ketika itu, dia menggunakan set penjagaan lengkap termasuk pencuci muka, penyegar dan pelembap.

“Sejak umur 12 tahun juga saya sudah mula menjaga diet. Saya tidak suka makanan berminyak dan hanya makan dalam kuantiti sangat sedikit. Mungkin kerana terikut-ikut cara mama menjaga pemakanan di rumah, memang tiada makanan segera langsung di dalam peti ais. Lucunya saya mula makan makanan segera ketika umur 18 tahun. Itu pun ketika rakan mempelawa ke restoran makanan segera untuk meraikan hari lahir,” katanya ketawa.

Menurutnya, sepanjang tempoh membesar, dia lebih percayakan bahan semula jadi berbanding produk penjagaan diri di pasaran. Jika kulit ditumbuhi jerawat umpamanya, Nurzarina akan memetik pucuk jambu, digumpal dan disapu pada jerawat.


 NURZARINA Zakaria amal petua tradisional.

 “Kalau ada ruam, saya hanya menggunakan daun sirih yang diletakkan sedikit garam. Daun ini saya gumpal hingga mengeluarkan air sebelum disapu pada ruam wajah. Ajaibnya, ruam akan sembuh tidak sampai tiga hari.

“Untuk rutin setiap pagi, saya akan minum air halia yang dimasak bersama serai, asam keping, lada hitam dan sedikit gula melaka. Air rebusan ini bagus sangat untuk membuang angin dalam badan dan membantu melancarkan peredaran darah. Kemudian, sebelum dan selepas bangun tidur, saya biasanya minum segelas air kosong untuk menyegarkan tubuh,” katanya.

Siapa sangka masih ada pengasas kosmetik pada zaman serba moden ini rajin membancuh pelbagai ramuan tradisional untuk merawat serta mencantikkan setiap inci tubuh di rumah.

“Seperti kebanyakan orang, saya juga berusaha mencukupkan waktu tidur, bersenam dan menjaga pemakanan. Tetapi ramai yang tidak tahu saya sangat sukakan rawatan spa di rumah. Seminggu sekali, saya akan buat skrub muka sendiri menggunakan nanas dan madu.

“Untuk rambut, saya hanya gunakan kuning telur, pucuk manis bersama santan. Kalau tak ada pucuk manis, saya gantikan dengan daun bunga raya. Hasilnya, rambut memang berkilat dan lebat!

“Sesekali, saya juga senang memanjakan diri dengan mandi susu di rumah. Buat sendiri di rumah tentu sekali lebih murah dan jimat berbanding ke spa. Saya hanya gunakan dua kotak susu segar yang kosnya sekitar RM10.

“Paling penting, seminggu sekali juga saya akan minum sup ayam kampung yang direneh selama dua jam menggunakan herba Cina seperti Goji Berry, ginseng, kurma merah dan halia kering. Andai diamalkan selalu, badan akan berasa ringan dan kulit jadi lebih halus kemerahan,” katanya.

Jelas Nurzarina, dia juga tidak ke salun untuk mencantikkan kuku, sebaliknya merendam hujung jari dalam sir suam bersama cuka epal. Dengan cara itu, kuku akan bersih berkilat. Menguatkan kuku supaya tidak patah, dia menggunakan seulas bawang putih dan menekan kuku ke bahagian dalam bawang sebelum dibilas bersih.

“Ramai orang tahu perlunya minum air yang cukup, tapi gagal berbuat demikian. Saya sendiri akan membawa bekal dua liter air setiap hari sebelum keluar rumah dan pastikan ia habis sebelum pulang pada sebelah petang. Apabila air dalam badan mencukupi, kulit kekal sihat dan badan akan bertenaga sepanjang hari.

“Sebagai usahawan kosmetik, saya cukup mementingkan asas dalam solekan. Setiap kali sebelum bersolek, saya akan oleskan pelindung matahari terlebih dahulu. Saya juga akan pastikan alat solek seperti berus dan span muka dalam keadaan bersih serta kering. Semua peralatan ini perlu dicuci dua kali seminggu untuk mengelakkan risiko pembiakan bakteria yang akhirnya mengakibatkan jerawat,” katanya.


Tip Mudah
1. Rebus kurma merah dan minum airnya setiap malam untuk mendapatkan kulit halus kemerahan.
2. Elakkan makan ubat ketika sakit kepala. Kisar timun dan minum airnya untuk menghilangkan rasa sakit kepala.
3. Untuk membuang toksin dalam badan, rendam tiga keping asam gelugor dalam air panas dan minum perlahan-lahan.
4. Rawat bibir kering dan menggelupas dengan skrub bibir. Campurkan gula bersama madu dan sental sekali seminggu.
5. Makan buah sebelum makanan berat.
6. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
7. Banyakkan sayur dalam hidangan.
8. Amalkan mandi dengan memulakan siraman di kaki dahulu.

Monday, July 16

Perancis juara Piala Dunia ke-21!

Akhirnya Perancis memenangi Piala Dunia buat kali kedua selepas menewaskan Croatia dengan jaringan 4-2 sebentar tadi. Kejuaraan tersebut mengulangi kejayaan Piala Dunia ke-16 pada 1998 ketika menjadi tuan rumah untuk kali kedua selepas Piala Dunia ke-3 Perancis 1938.

Impian Croatia untuk merangkul kejuaraan sulung akhirnya lebur selepas tumbang di tangan Perancis dan akhirnya negara Balkan itu muncul naib juara buat kali pertama dalam rekod Piala Dunia sejak 1998 di mana sebelum ini Craotia memenangi tempat ketiga selepas tersungkur di tangan tuan rumah Perancis yang akhirnya memenangi Piala Dunia 1998 di halaman sendiri.

Tahniah buat kedua-dua pasukan ini. Jumpa lagi di Piala Dunia ke-22 Qatar 2022!

Sunday, July 15

Piala Dunia ke-21 dah nak habis!

Tinggal beberapa jam sahaja lagi temasya bola sepak terpenting di dunia iaitu Piala Dunia ke-21 Rusia 2018 akan melabuhkan tirainya malam ini! Pasukan manakah yang akan menjulang trofi Piala Dunia edisi ke-21 kali ini? Adakah Perancis selaku juara dunia 1998 (Piala Dunia ke-16) semasa menjadi tuan rumah ataupun Croatia yang akan merangkul kejuaraan sulung? Sama-sama kita saksikannya di TV1 dan Astro (bagi pelanggan saluran Piala Dunia) pada jam 11.00 malam ini! Sediakan dulu kopi untuk merasai suasana Piala Dunia buat hari yang terakhir ini!

Setelah dua bulan berjaga malam bermula dengan sahur sepanjang Ramadan baru-baru ini maka peminat setia bola sepak tidak kira tegar ataupun bermusim akan berjaga malam buat hari yang terakhir untuk mengikuti perlawanan akhir berkenaan antara Perancis dan Croatia yang akan merebut trofi Piala Dunia buat edisi ke-21. Tempat ketiga dimenangi Belgium setelah menumbangkan bekas juara dunia 1966 (Piala Dunia ke-8) iaitu England dengan jaringan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat malam semalam.

Selamat menikmati Piala Dunia ke-21 buat hari yang terakhir!

Thursday, July 12

Perancis lwn Croatia - Penutup tirai Piala Dunia ke-21

Untuk makluman peminat bola sepak, pasukan Croatia mencatat rekod Piala Dunia apabila layak ke perlawanan akhir buat kali pertama setelah menumbangkan bekas juara dunia 1966 iaitu England dengan jaringan 2-1 dan akan bertemu dengan juara dunia 1998 iaitu Perancis pada 15 Julai ini jam 11.00 malam (siaran langsung di TV1). Tahniah diucapkan buat calon juara dunia, Croatia!

Belgium akan bertemu dengan England untuk merebut tempat ketiga pada 14 Julai ini jam 10.00 malam (siaran langsung di TV1).

Perancis bakal merangkul gelaran dunia kedua sementara Croatia adalah calon juara dunia, iaitu bakal juara Piala Dunia edisi ke-21 kali ini. Selamat berjuang untuk kedua-dua pasukan tersebut!

15 Julai ini merupakan penutup tirai Piala Dunia ke-21 dan demam kejohanan tersebut akan hilang dengan sendirinya sebaik sahaja ia berakhir.

Monday, June 18

Brazil separa longlai, Jerman lagi bangang!

Apa sudah jadi dengan penyandang juara dunia Jerman? Macam mana pula nasib skuad negara samba iaitu Brazil? Jerman memulakan kempen Piala Dunia ke-21 kali ini dengan langkah kiri selepas tersungkur di tangan jiran Uncle Sam iaitu Mexico dengan jaringan 1-0 dan ini memaksa juara dunia empat kali itu meraih dua kemenangan masing-masing dalam perlawanan menentang Sweden dan Korea Selatan. Sementara Brazil selaku juara dunia lima kali terikat seri 1-1 dengan pasukan Switzerland dan nampaknya Switzerland ternyata beraksi lebih baik daripada dulu.

Thursday, June 14

Piala Dunia dan Hari Raya datang lagi!



Piala Dunia datang lagi! Raya datang lagi! Bagi kaki bola beragama Islam nampak gayanya terpaksa menyambut dua keraian tersebut pada tahun ini. Awal pagi tadi merupakan hari terakhir berjaga malam untuk sahur tetapi bukan hari terakhir untuk bersengkang mata di awal pagi dan ini bermakna selepas ini tak payah lagi bersahur, tinggal tengok siaran langsung Piala Dunia dari Rusia bermula hari ini sehingga 15 Julai ini.

Arab Saudi mencatat rekod Piala Dunia sebagai negara Asia pertama beraksi dalam perlawanan pembuka tirai Piala Dunia apabila bertemu tuan rumah Rusia pada jam 11.00 malam ini dan ia akan disiarkan secara langsung oleh TV2 (saluran 102 MYTV) dan RTM HD (saluran 111 MYTV) serta Astro Supersport. Bagi pengguna dekoder DVB-T2, tonton saja di saluran RTM HD.

Semoga pasukan tuan rumah (Rusia) akan mencatat kemenangan ke atas Arab Saudi malam ini.

Kehangatan Piala Dunia bermula

Rusia lawan Arab Saudi pada aksi pembuka tirai di Moscow malam ini

STADIUM Luzhniki yang mampu memuatkan 81,000 penonton bakal menjadi venue aksi pembuka tirai Piala Dunia 2018 menemukan Rusia dan Arab Saudi di Moscow malam ini.


KETIKA umat Islam di Malaysia menyambut kedatangan Syawal malam ini, Stadium Luzhniki, Moscow bakal bergegar dengan aksi pembuka tirai Piala Dunia 2018 di Rusia.

Pasukan tuan rumah akan melayan kunjungan Arab Saudi dalam aksi Kumpulan A pada temasya bola sepak terbesar dunia bagi edisi ke-21 itu.

Rusia yang dibimbing Stanislav Cherchesov sudah pasti mahu meraih kemenangan sulung bagi merealisasikan sekurang-kurangnya mara ke saingan kalah mati dengan mengintai peluang berada dalam dua kelompok teratas kumpulan yang turut disertai Uruguay dan Mesir.

Pasukan tuan rumah mempertaruhkan pemain tengah, Alexsandr Golovin dan penyerang, Fedor Smolov bagi merobek gawang lawan.

“Kami juga perlu lebih kreatif dan ya­kin ketika melakukan serangan. Sentuhan terakhir di dalam kotak penalti sangat penting untuk menggegar jaring lawan,” ujar Cherchesov.

Arab Saudi yang dikendalikan oleh Juan Antonio Pizzi pula mempertaruhkan ketajaman dua penyerang, Mohammad Al-Sahlawi dan Fahad Al-Muwallad bagi merobek gawang pasukan tuan rumah dalam usaha skuad dari Asia Barat itu meraih kemenangan pertama.

“Saya menjangkakan Fahad (Al-Muwallad) akan diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Rusia dan Uruguay sebagai penyerang daripada posisi asalnya iaitu sayap kanan,” ujar Pizzi.

Antara hari raya dan Piala Dunia

Hari ini merupakan hari terakhir Ramadan dan esok, umat Islam di seluruh dunia dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tarikh 14 Jun juga adalah hari pertama kejohanan bola sepak Piala Dunia di Rusia.

Pada malam 1 Syawal, pemain-pemain Arab Saudi akan turun beraksi menentang Rusia diikuti Mesir melawan Uruguay. Kaki bola dari Malaysia juga khabarnya ada yang sudah berada di Rusia untuk menonton bola sekali gus menyambut hari raya di Negara Beruang Merah itu.

Bagi pemain Muslim, Aidilfitri dan mewakili pasukan negara sendiri tentulah ada dilemanya kerana tidak dapat berhari raya bersama keluarga di kampung halaman. Jumlah pemain Muslim pada Piala Dunia 2018 adalah kira-kira 135 orang, lebih ramai berbanding pada Piala Dunia 2014 di Brazil.

Negara-negara Islam yang berentap pada Piala Dunia kali ini ialah Maghribi, Tunisia, Mesir, Senegal, Arab Saudi dan Iran.

Selain enam negara tersebut, beberapa pasukan lain turut diperkuat oleh pemain Muslim, antaranya Mesut Oezil yang mewakili Jerman, Paul Pogba (Perancis), Maraoune Fellaini (Belgium) dan Granit Xhaka (Switzerland).

Begitupun, Aidilfitri bukanlah terlalu asing di Rusia. Negara itu sendiri mempunyai ramai penduduk Islam yang akan merayakannya. Sekitar tujuh peratus daripada 145 juta masyarakat Rusia beragama Islam.

Antara lokasi tumpuan penduduk berhari raya di negara pimpinan Vladimir Putin itu ialah Masjid Katedral Moscow, yang terletak tidak jauh dari Stadium Luzhniki, venue perlawanan pembukaan antara Rusia dan Arab Saudi.

Bagaimanapun, kemeriahan Piala Dunia dan hari raya tidak seharusnya menenggelamkan segala kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan.

Seiring dengan berlalunya Ramadan, banyak pelajaran, hikmah dan kelebihan yang dapat dijadikan pedoman dalam mengharungi kehidupan pada hari-hari mendatang. 

Ramadan boleh diibaratkan sebuah madrasah, yang memberi latihan fizikal dan mental hampir 14 jam sehari bermula dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari. Ramadan menjadikan manusia lebih pemurah untuk bersedekah dan mudah melakukan ibadah lain se­perti membaca al-Quran dan solat malam. 

Begitupun, kejayaan sebenar madrasah Ramadan bukan dinilai dengan kemampuan menahan lapar dan dahaga pada bulan tersebut sahaja, sebaliknya diukur berdasarkan kejayaan mengekalkan amal ibadah berkenaan pada bulan-bulan pasca-Ramadan. 

Malang sekali jika semangat Ramadan tersebut lebur pada hari pertama Syawal lagi. 

Apakah yang menahan kaki kita tidak mahu melangkah ke masjid? Apakah yang menahan kepala segelintir daripada kita sehingga tidak mahu bersujud di hadapan Allah? 

Apakah yang menahan lidah kita sehingga kaku dan kelu mengucapkan zikir sebaliknya lebih gemar me­ngungkapkan kata-kata dusta dan menyakitkan hati? 

Hanya kerana godaan syaitan dan nafsu, ramai manusia kehilangan fitrahnya, berubah menjadi makhluk yang kehilangan cinta, menjadi pembenci, pendengki dan pendendam kepada sesama manusia. 

Kemeriahan hari raya dan Piala Dunia juga jangan sampai menyebabkan kita lupa terhadap saudara se-Islam di Palestin, Syria dan Myanmar yang ditimpa musibah. Kita juga tidak dapat menafikan fakta bahawa masalah kemiskinan masih menghimpit ramai umat Islam di seluruh dunia. 

Hanya segelintir negara Islam yang cukup makmur ekonominya. kemakmuran tersebut pula disebabkan sumber alam seperti minyak, yang lambat laun akan kehabisan. 

Selebihnya, kebanyakan negara Islam lain majoriti penduduknya berada di bawah paras kemiskinan. Ini termasuk Pakistan, Sudan, Mesir, Bangladesh dan Afghanistan. 

Dengan kata lain, apakah kita tergamak bergembira menonton bola Piala Dunia pada hari lebaran ini, sementara saudara-saudara kita di bahagian lain di bumi ini hidup bersimbah darah dan air mata?

Friday, June 8

Ada apa dengan BLACK CLOVER?



Untuk makluman anda, anime Black Clover bukanlah asli kerana anime tersebut merupakan adaptasi daripada manga dengan nama yang sama. Anime tersebut berorientasi aksi + fantasi + pengembaraan. Dia punya manga saya tak pernah baca tetapi anime dia saya ada tonton sejak episod pertama lagi dan kini memasuki episod ke-35. Episod sebelumnya bertambah kuasa penonton untuk menontonnya. Episod kali ini pun sama juga, lagi kuasa. Kadang-kadang anime ini sedap + kuasa untuk ditonton. Manga yang tak kuasa untuk dibaca. Mujur tak menyesal enggan membaca manga dia.

Wednesday, June 6

PIALA DUNIA DATANG LAGI! (2018)



Piala Dunia datang lagi! Tinggal seminggu sahaja lagi kejohanan bola sepak terbesar dunia itu akan membuka tirainya dan dalam masa yang sama umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan berpuasa. Istimewanya, dua keraian tersebut diraikan, iaitu berhari raya (untuk beberapa hari sahaja) sambil merasai suasana Piala Dunia ke-21 yang akan berlangsung di Rusia, iaitu negara bekas Kesatuan Soviet pertama menganjurkan temasya berkenaan. Ia berlangsung dari 14 Jun hingga 15 Julai ini.

Bagi yang masih lagi melanggan Astro dan juga menggunakan MYIPTV, pasti beruntung kerana ada 100% siaran langsung perlawanan berkenaan. Manakala bagi yang tidak melanggan Astro, RTM hanya menyiarkan 27 perlawanan secara langsung. Siaran tertunda dan ulangan tak perlu cerita lagi. Pengguna Astro khasnya bukan pelanggan Pakej Sukan atau Super Pack yang telah melanggan pas Piala Dunia harus juga langgan HD service untuk menonton dengan jelas baru semangat menontonnya.

Bagi pengguna dekoder DVB-T2 yang tinggal berdekatan dengan Sempadan Malaysia-Thailand, pasti beruntung kerana ada siaran langsung 100% percuma dari Negara Gajah Putih itu. Kalau dalam format HD lagi semangat menontonnya.

Antara perlawanan yang mesti tonton adalah semua perlawanan melibatkan tuan rumah termasuk Rusia-Arab Saudi (14 Jun, 11.00 malam), Portugal-Sepanyol (16 Jun, 2.00 pagi), semua perlawanan melibatkan Iceland, Denmark, Brazil, Jerman (penyandang juara) dan Perancis selaku bekas juara dunia 1998 (ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia ke-16).

Tentang sambutan Hari Raya pula, Hari Raya disambut umat Islam seperti biasa cuma kali ini agak berbeza sebab bercanggah dengan tarikh bagi temasya bola sepak terulung dunia berkenaan bagi kali ke-21 dari 14 Jun hingga 15 Julai ini sehingga lagu-lagu raya tidak kira lama ataupun yang baru apabila dimainkan di corong-corong radio bukan lagi makanan untuk raya kali ini.

Sunday, May 6

Selamat tinggal KRU!

Buat kesekian harinya, kumpulan KRU yang berusia 26 tahun pada tahun ini akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni suara Malaysia dan Konsert Gergasi KRU25 yang berlangsung sejak semalam sehingga malam ini merupakan konsert terakhir buat mereka yang bergelar Kumpulan Rap Unik pada awal kemunculannya sebelum kumpulan tersebut dibubarkan sejurus selepas konsert tersebut. Ini bermakna tiada lagi KRU dalam dunia hiburan Malaysia selepas ini. Sedihnya..

Sepanjang KRU berada dalam kancah seni suara tanahair ini anda semua tidak harus lupakan bahawa album pertama mereka iaitu "Canggih" diterbitkan pada tahun 1992, iaitu tahun kumpulan berkenaan ditubuhkan dan lagu-lagu yang terdapat dalam album tersebut adalah"Hanya Kau", "Cherrina" dan sebuah lagu berkaitan dengan Wawasan 2020 iaitu "20/20" ilham bekas Perdana Menteri Malaysia keempat iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Untuk makluman anda semua, konsert KRU Mega Tour pada tahun 1997 mencatat rekod sebagai satu-satunya konsert kumpulan ini yang ditaja oleh jenama rokok terkemuka (yang juga pernah menaja siaran sukan badminton pada 1994 dan Sukan Olimpik 1996 di Atlanta) iaitu Peter Stuyvesant. Akan tetapi konsert tersebut bukanlah satu-satunya konsert tajaan jenama rokok tersebut, malah jenama rokok popular lain dalam rekod hiburan Malaysia ini. Semua iklan yang menggunakan jenama rokok (walaupun tidak ada kena-mengena dengan tabiat merokok) tidak dibenarkan di kesemua media cetak dan elektronik Malaysia bermula tahun 2003.

Album "The Way We Jam" mencatat rekod sebagai sebagai satu-satunya album studio berbahasa Inggeris bagi kumpulan ini, yang diterbitkan pada 1998 yang mengandungi lagu "Wanita Jelita" iaitu satu-satunya tajuk bahasa Melayu bagi album tersebut. Album berkenaan merupakan album studio keenam bagi KRU.

Datuk Norman merupakan satu-satunya anggota KRU yang mendapat gelaran Datuk setakat ini, selain ketua kumpulan ini.

Semoga dengan pembubaran ini akan meninggalkan sejuta kenangan manis buat semua peminat KRU tidak kiralah peminat lama dan yang baru termasuk dalam kalangan remaja masa kini. Selamat jalan KRU!

Monday, March 12

Di sebalik sejarah Sukan Komanwel

 
Olahraga amat sinonim dengan Sukan Komanwel kerana ia menjadi acara yang tidak pernah ketinggalan dipertandingkan sejak edisi pertama sehingga sekarang.

SUKAN Komanwel dianjurkan pada asalnya bertujuan untuk mengingati dan mempertemukan semula kesemua negara bekas jajahan British dari enam buah benua iaitu Afrika, Asia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah dan Oceania.

Dalam erti kata lain, ia bukan sekadar satu temasya sukan sebaliknya lebih dilihat untuk mengiktiraf penjajahan British di seluruh dunia yang pernah berlaku satu ketika dahulu.

Atas nama sukan, nama temasya ini dijaja sebagai yang kedua terpenting selepas Sukan Olimpik walaupun jumlah acara dan atlet yang terbabit jauh lebih rendah berbanding Sukan Asia.

Dianjurkan empat tahun sekali, sebenarnya tidak banyak bekas tanah jajahan British terutama di Asia dan Afrika mampu menjadi tuan rumah, sebaliknya negara yang mempunyai majoriti bangsa Inggeris lebih kerap silih berganti menganjurkan temasya.

Sejak diperkenalkan pada 1930, hanya tiga kali Sukan Komanwel diadakan di luar kepompong negara yang dikuasai bangsa Inggeris iaitu Jamaica (1966), Malaysia (1998) dan India (2010).

Berdasarkan rekod, daripada 20 edisi Sukan Komanwel yang dianjurkan sebelum ini, Kanada sudah empat kali bergelar tuan rumah iaitu edisi pertama (1930) di Hamilton, edisi kelima (1954) di Vancouver, edisi ke-11 (1978) di Edmonton dan edisi ke-15 (1994) di Victoria.

Britain yang diiktiraf kuasa penjajah terbesar di dunia satu ketika dahulu telah menganjurkan sebanyak enam kali iaitu pada edisi kedua (1934) di London, edisi keenam (1958) di Cardiff, Wales, edisi kesembilan (1970) di Edinburgh, Scotland, edisi ke-13 (1986) juga di Edinburgh, edisi ke-17 (2002) di Manchester dan edisi ke-20 (2014) di Glasgow.

Selebihnya di benua Oceania yang membabitkan Australia dan New Zealand iaitu Sydney (1938), Auckland (1950), Perth (1962), Christchurch (1974), Brisbane (1982), Auckland (1990) dan Melbourne (2006).

Dengan Gold Coast bakal menganjurkan temasya itu dari 4-15 April, ini bermakna Oceania akan menjadi tuan rumah buat kali kelapan dan muncul benua terbanyak menjadi tuan rumah.

Bagi Australia, ini merupakan kali kelima negara Kangaroo itu menjadi tuan rumah untuk muncul negara paling banyak menganjurkannya mengatasi negara-negara Komanwel lain yang berjumlah 72 kesemuanya.

Peliknya, mengapa tidak England muncul paling banyak menganjurkan temasya itu sedangkan negara tersebut merupakan tunjang kepada wujudnya Sukan Komanwel yang bertujuan mengingati dan mempertemukan kesemua bekas jajahan British.

Mengimbaskan kembali lahir­nya Sukan Komanwel, inisiatif asal menganjurkan temasya itu melibatkan negara Komanwel dalam skala lebih besar juga bukan datang daripada Britain sebaliknya ia bermula di Kanada.

Seorang yang sangat berpengaruh dalam sukan olahraga di Kanada ketika itu, Bobby Robinson telah memainkan peranannya dengan mewujudkan acara tersebut yang menjadi bahan perbualan orang ramai dalam kalangan negara Komanwel untuk lebih daripada 30 tahun.

Sebelas negara dengan 400 atlet telah menyertai Sukan Komanwel pertama. Bantuan dana sebanyak AS$30,000 telah disediakan oleh Dewan Bandar Raya Hamilton kepada negara yang menyertai Sukan Komanwel pertama bagi menanggung kos perjalanan mereka.

Sejak itu, Sukan Komanwel telah diadakan setiap empat tahun kecuali pada 1942 dan 1946 kerana Perang Dunia Kedua. Bermula tahun 1930 hingga 1950, Sukan Komanwel dikenali sebagai Sukan Empayar British.

Pada tahun 1966 hingga 1974, ia ditukar kepada Sukan Komanwel British dan bermula 1978, sekali lagi namanya ditukar kepada nama yang lebih mudah dan lebih terbuka, Sukan Komanwel dan kekal sehingga ke hari ini.

Suntik inspirasi wanita

Lin (kanan) bertugas di Zayan FM manakala Anna penyampai Gegar FM.


Kalau diukur pengalaman bertugas di konti radio, dua wanita ini boleh dianggap masih hijau. Namun, menariknya mereka ada imej tersendiri.

Bagi Lin Ariffin, tampil berhijab tidak menghalangnya berfesyen. Bertudung membuatkan Lin tampil lebih yakin dan bergaya.

Manakala, Anna Aljuffrey pula berjiwa lasak dan memilih motosikal berkuasa tinggi sebagai pengangkutan hariannya.

Mampu menyuntik inspirasi buat golongan wanita negara ini, tegas Lin dan Anna pilihan di tangan tuan punya badan.

Bertemu mereka baru-baru ini, Lin atau Siti Amalina Ariffin, 30, bertugas di Zayan FM manakala Anna atau nama sebenar Sharifah Nur Farhana Syed Talib Aljuffrey, 27, pula penyampai Gegar FM yang dulunya dikenali sebagai THR Gegar.

Menurut Lin, tidak pernah terlintas di fikiran menceburi dunia penyiaran radio.

“Selepas beberapa bulan bertugas di konti Zayan FM, saya makin selesa.

“Pendengar pun sudah mula mengenali Zayan FM dan saya pula penyampai radio wanita tunggal stesen ini.

“Setakat ini, saya puas dapat berkongsi pelbagai maklumat dengan pendengar merangkumi fesyen Muslimah, aktiviti pelancongan, makanan halal dan riadah.

“Bagi saya, apa yang dikongsikan itu wadah terbaik yang boleh dimanfaatkan masyarakat Islam,” katanya.

Ibu kepada Edruce Adam Muhammad Azreen yang berusia dua tahun ini bersyukur suami memahami kerjayanya.

“Saya beruntung suami dan keluarga merestui keputusan saya menceburi dunia penyiaran radio.

“Berkat sokongan tidak berbelah bahagi itu, saya dapat mengenal pasti bakat lain yang ada dalam diri.

“Kalau sebelum ini, mungkin terlepas pandang tetapi kini masa untuk saya maju dalam karier pilihan,” katanya.

Mengendalikan slot #ZOTD bermula jam 10 pagi hingga 3 petang, Lin berkata, pendengar Zayan FM berusia 18 hingga 35 tahun.

Mengulas fesyen tudungnya yang sering menjadi perhatian peminat, Lin berkata, dia menggayakan ikatan selendang yang mudah.

“Ikatan selendang yang selalu saya gayakan mudah dibentuk. Sesingkat dua minit boleh siap.

“Tidak ambil masa yang lama pun dan itu yang saya suka,’ katanya yang mengagumi gaya Muslimah Datin Vivy Yusof.


Anna kaki motosikal

Wanita menunggang motosikal berkuasa tinggi bukan perkara baru. Apatah lagi, pada zaman moden dan serba pantas.

Anna berkata, dia selesa menunggang motosikal berbanding memandu kereta kerana lebih pantas sampai ke lokasi yang dituju.

“Maklum saja, tugas saya di konti radio Gegar FM bermula seawal jam 6 pagi dan berakhir 10 pagi.

“Jadi, selalunya saya perlu sampai ke tempat sekitar jam 5 pagi. Semestinya menunggang motosikal lebih pantas.

“Saya minat menunggang motosikal sejak remaja lagi. Syukur, keluarga saya sangat memahami,” katanya.

Anna yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki berkata, meskipun tidak perlu berdepan kesesakan jalan raya, dia tetap menekankan aspek keselamatan.

“Orang kata malang tak berbau tetapi saya yakin kecelakaan boleh dielak jika kita mematuhi undang-undang jalan raya.

“Tidak perlu tergesa-gesa kejar masa dan menunggang laju. Keselamatan diri wajar diutamakan,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam dunia penyiaran radio, Anna berkata, semuanya berlandaskan minat.

“Kalau nak tahu bapa pernah halang saya jadi penyampai radio.

“Apa sebab sebenarnya, hanya bapa yang tahu. Bagaimanapun, akhirnya bapa boleh terima dan merestui keputusan saya,” katanya.

Berkhidmat di Gegar FM sejak Mei 2016, Anna berganding dengan Shah mengendalikan segmen Ceria Pagi.

Gegar FM yang berjaya memikat hati pendengar Pantai Timur melakar pengalaman berharga buat si manis ini.

“Pendengar di Pantai Timur kebanyakannya sangat ramah. Mereka (pendengar) juga suka berkaraoke.

“Antara slot yang diisi dalam segmen Ceria Pagi kendalian saya adalah ‘prank’ pendengar, karaoke, juara belit lidah, buletin abe molek, salam Gegar pagi dan Tanya PU Lokman,” katanya.
Sehubungan itu, Anna berkata, kelompok sasaran pendengar Gegar FM berusia dari 15 hingga 40 tahun.

Wednesday, August 30

Tahniah buat kontinjen Malaysia!



Tahniah diucapkan buat seluruh kontinjen Malaysia kerana menjadi juara keseluruhan Sukan SEA (SEAG) buat kali kedua dengan 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa meskipun ada di antara pasukan tuan rumah dalam beberapa acara sukan tersungkur di tangan lawan masing-masing termasuklah acara bola sepak lelaki menerusi perlawanan akhir yang menyaksikan pasukan tuan rumah tersungkur di tangan Thailand dengan jaringan 1-0 angkara kesilapan penjaga gol tuan rumah malam semalam. Meskipun tuan rumah gagal membawa pulang ibu segala pingat emas acara bola sepak lelaki SEAG ke-29 kali ini, hadiah berkenaan merupakan hadiah Hari Kebangsaan ke-60 buat seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kalangan/kaum dan agama serta tanpa had usia untuk sama-sama meraikan Jubli Intan Merdeka. Selamat Hari Kebangsaan ke-60 dan Selamat Hari Raya Aidiladha!

Friday, July 14

'Cukuplah pengalaman pahit semalam'

Bersama anak tercinta, Kasih Mahfudz.


Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my


Wanita muda ini bukan saja bersemangat kental, malah cukup optimis dalam melalui liku hidupnya sebagai ibu. Asal usul dirinya bukan dari kalangan orang berada, malah tidak juga datang daripada keluarga miskin.

Namun, dugaan dalam hidup kedua-dua ibu bapanya empat tahun lalu membawa Ereena Elyza Samsu, 31, ke suatu daerah baru. Wanita ini mula mengenal erti kesempitan hidup dan belajar meng­galas tanggungjawab berat sebagai anak, demi menyenangkan ibu ayah tercinta.

Anak tunggalnya menjadi sumber kekuatan, manakala suami tidak jemu memberi dorongan.

Bermodalkan duit simpanan RM300, Ereena menyusun langkah dan mula berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian.

Bersandarkan pengalaman sebagai ibu yang pernah berdepan tekanan besar selepas gagal menyusukan bayi sendiri, Ereena nekad menghasilkan biskut penggalak susu. Mana tahu, rupanya usaha dan niat murni untuk menyenangkan keluarga­nya membuka pintu rezeki maha luas.

 Biskut penggalak susu Twelve Ounces.

DEMI IBU

Menurut Ereena, dia dibesarkan di Shah Alam dan melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dalam jurusan perniagaan.

“Saya dari keluarga sederhana. Ibu bekerja di syarikat perkapalan, sementara ayah kakitangan bank. Sepanjang membesar, saya banyak melihat kesusahan ibu ayah yang terpaksa bekerja dan mengetepikan kepentingan diri demi membesarkan saya dan adik.

“Mereka keluar awal pagi dan pulang ketika kami sudah tidur. Tidak banyak masa dihabiskan bersama kecuali hari ming­gu. Ayah pula kerap sakit dan dimasukkan ke hospital kerana tekanan kerja serta keletihan. Dari situ, saya mula bertekad untuk bekerja sendiri,” katanya.

Ujian demi ujian datang menduga. Sehingga ibunya kehilangan wang pencen akibat ditipu. Kata Ereena, masa depan kedua-dua ibu bapanya seakan-akan gelap tiba-tiba. Masalah kewangan pula meruncing dari hari ke hari.

“Ketika itu saya hanya berniaga biskut secara kecil-kecilan. Tempahan juga tidak banyak. Suatu hari, ibu menelefon mengajak saya keluar membeli beras dan kami ke pasar raya berdekatan. Saya sangka ibu membawa wang. Tetapi sebaik ditanya, baru ibu beritahu dia tidak mempunyai duit.

“Sebagai anak, saya tidak sanggup menghampakan ibu, apatah lagi membiarkan kedua-dua­nya berlapar di rumah. Berbekalkan duit tempahan awal pelanggan sebanyak RM100, saya belikan ibu beras dan serahkan baki wang kepadanya untuk dibuat belanja.

“Pada sebelah malam­nya, saya ke pasar raya sama sekali lagi. Duit memang tidak ada, tetapi saya pergi juga dengan anak, membawa kad kredit milik suami. Saya begitu yakin bahawa kad berkenaan masih berbaki. Namun rupanya transaksi gagal,” katanya.

Jelas Ereena, dia buntu namun masih meyakinkan diri mempunyai baki simpanan wang dalam akaun miliknya. Tetapi selepas semakan dibuat, dia sekali lagi kecewa.

“Saya pergi semula ke kaunter, memberitahu tidak mempunyai wang dan mahu memulangkan kembali semua barang. Tiba-tiba penggera di kaunter berbunyi dan saya bersama anak terus dibawa pengawal keselamatan turun ke tingkat bawah.

“Malu bukan kepalang. Semua mata di situ seolah-oleh melihat diri saya sebagai pencuri. Hari itu juga saya menangis semahu-mahunya. Saya tidak bekerja. Malah, membeli mainan berharga RM2 untuk anak pun saya tidak mampu.

“Dalam sedih itu saya mengumpul kekuatan diri. Saya jadikan apa yang berlaku sepanjang hari itu sebagai titik perubahan untuk diri. Saya katakan pada diri bahawa cukuplah pengalaman pahit semalam.

“Saya mahu pastikan anak dan ibu bapa merasai kesenangan hidup. Biar mereka minta apa pun, saya mampu tunaikan. Waima rumah dan melancong ke luar negara sekali pun, saya mahu pastikan ia tertunai,” katanya.


Berhari raya di Bukit Fraser bersama keluarga.

MEMBINA KESENANGAN

Sedikit demi sedikit wang lebihan pemberian suami disimpan untuk dijadikan modal permulaan. Pada masa sama, Ereena mencuri masa menaik taraf resipi biskut dan mempelajari selok-belok berniaga di Facebook dan Instagram.

“Pelbagai ilmu digali untuk memastikan resipi biskut ini menjadi. Kalau boleh, saya mahu pastikan biskut ini bukan sekadar membawa rezeki untuk keluarga kami, malah membantu lebih ramai ibu di luar sana menyusukan bayi mereka.

“Jadi, berbekalkan simpanan RM300, saya mula menempah pelekat, membeli balang kuih dan bahan diperlukan. Saya namakan biskut penggalak susu ini sebagai Twelve Ounces Milk Booster. Dari jualan tidak sampai RM2,000 sebulan, saya akhirnya berjaya keluar dari kesukaran hidup dengan pendapatan berganda.

“Alhamdulillah, hasil kajian tiga tahun ini, jenama ini menempa kejayaan dan memenangi hati ramai ibu seluruh negara, Singapura, Brunei dan Filipina. Ternyata saya bukan setakat membantu ibu menyusu, malah mampu menyenangkan ibu sendiri. Kalau dulu, hendak balik kampung sekali-sekala pun tidak cukup wang, hari ini saya boleh bawa ibu dan ayah melancong ke tempat yang jauh.

“Andai dulu saya berkira untuk menghantar anak ke tadika, kini saya dikurniakan rezeki melimpah ruah untuk memantapkan pendidikannya,” katanya yang terpaksa menyewa premis baru tahun lalu untuk dijadikan kilang pembuatan biskut dan ruang pejabat.

Paling utama katanya, dia berupaya membantu lebih ramai wanita untuk menjana pendapatan sampingan dari rumah.

“Kerana saya percaya, mesti ada wanita yang mempunyai cerita sama seperti saya ataupun lagi berat dugaannya berbanding hidup saya. Saya kerap mengingatkan mereka yang mahu menjadi ejen supaya jangan risau jika tidak ada ilmu berniaga atau memiliki modal terhad.

“Saya juga pernah dalam situasi itu dan tiada istilah manusia luar biasa. Asalkan ada kesungguhan dan niat yang betul, semua impian boleh terlaksana,” katanya.

Tuesday, January 10

Faiz Subri pemenang Puskas 2016!


Tahniah diucapkan buat Mohd Faiz Subri kerana menjadi pemain bola sepak pertama dari Malaysia dan juga benua Asia serta rantau Asia Tenggara memenangi Anugerah Puskas FIFA bagi edisi ke-8 ini! Beliau juga merupakan pemain bola sepak pertama dari bumi Nusantara meraih gelaran berkenaan.

Jika kejayaan Harith Iskander meraih gelaran manusia terlawak dunia tempoh hari tidak memberi apa-apa impak kepada sebahagian besar rakyat Malaysia akan tetapi saya yakin kejayaan Mohd Faiz Subri meraih gelaran pemenang Puskas pertama dari Malaysia akan memberi impak yang lebih besar bukan sahaja kepada peminat sukan tanahair tetapi juga kepada penggiat-penggiat sukan (tak kira sukan apapun) Malaysia dan juga selebriti-selebriti Malaysia. Berikut adalah peratusan undian orang awam dari serata dunia:


Semoga dengan kejayaan Faiz Subri membawa pulang gelaran berkenaan akan menyuntik semangat kesukanan kepada penggiat-penggiat sukan yang lain. Majulah sukan untuk negara!

Saturday, January 7

Long Riders vs Minami Kamakura

Untuk pengetahuan anda kaki-kaki anime semua, anime "Long Riders!" baru saja tamat siarannya di Jepun bulan lepas. Anime tersebut bertemakan basikal dan kini sebuah lagi anime yang berkonsepkan sama berjudul "Minami Kamakura High School Girls Cycling Club" atau ringkasnya "Minami Kamakura" yang baru bersiaran bermula minggu ini di Jepun. Bilangan episod bagi anime "long Riders!" setakat ini adalah 12 episod dengan setiap satunya berdurasi setengah jam (termasuk iklan) dan dikelolakan oleh Actas, manakala anime "Minami Kamakura" pula berkemungkinan besar 12-13 episod dan dikelolakan bersama J.C.Staff dan A.C.G.T.



Thursday, September 1

Astro Arena kini dalam format HD!



Semalam warga Malaysia menyambut Hari Kebangsaan buat tahun ke-59 dengan tema 'Sehati Sejiwa'. Tahniah, syabas dan terima kasih diucapkan kepada pihak Astro dan saluran Astro Arena sendiri kerana secara rasminya melancarkan saluran sukan berbahasa Melayu pertama Malaysia ini dalam format definisi tinggi (HD) sepenuhnya bermula hari ini! Sebelum ini saluran Astro Arena HD hanya boleh didapati sempena pelbagai kejohanan sukan terkemuka seperti Sukan SEA dan Sukan Olimpik di Rio baru-baru ini.

Saluran Astro Arena HD ini buat kali pertama dipertontonkan sempena Sukan SEA ke-27 di Myanmar pada 2013 dan ia bersiaran secara sementara (bukan tetap) dan kali terakhir ia bersiaran secara sementara adalah sempena Sukan Olimpik ke-31 di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini.



Akhirnya pada 1 September 2016 (Khamis) maka secara rasminya Astro Arena HD telah dilancarkan dan akan bersiaran sepenuh masa (secara tetap, bukan lagi sementara) dan dalam masa yang sama juga saluran Astro SuperSport 4 telahpun dinaiktaraf kepada HD dan ia bersiaran dalam format HD sepenuh masa. Tahniah dan terima kasih kepada Astro kerana membangkitkan lagi semangat menonton siaran sukan tempatan dan antarabangsa dalam format HD! Majulah sukan untuk negara!

Sunday, August 21

Samba Olimpik dah nak habis!

Hari ini merupakan hari terakhir Sukan Olimpik ke-31 berlangsung di Rio waktu tempatan. Tahniah diucapkan buat Datuk Lee Chong Wei walaupun hanya sekadar meraih pingat perak selepas tewas kepada pemain dari China, Chen Long menerusi jumlah mata yang sama, iaitu 18-21 di set pertama dan kedua dalam perlawanan akhir badminton kategori perseorangan lelaki temasya sukan tertua di dunia ini. Meskipun rakyat Malaysia masih lagi belum merasai nikmat emas Olimpik sejak 60 tahun lalu, iaitu kali pertama negara menyertai Sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956, namun sumbangan tiga butir perak dihadiahkan Lee Chong Wei berhak diberi ucapan terima kasih.

Kontinjen Malaysia akhirnya telahpun memungut empat butir perak dan sebutir gangsa dalam temasya Olimpik pertama di bumi Amerika Selatan ini dan saya ucapkan tahniah buat atlet berkenaan walaupun sekadar memungut pingat berkenaan.

Biarpun Lee Chong Wei gagal mendakap sebutir emas tetapi beliau kekal juara di hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Semoga bertemu lagi di Tokyo pada 2020!

Sunday, August 7

Sukan Olimpik dah mula!



Bahang Sukan Olimpik dah mula! Temasya ini merupakan Sukan Olimpik Musim Panas kali ke-31 dan julung-julung kali acara sukan tertua di dunia ini dilangsungkan di bumi Amerika Selatan, namun ini bukan kali pertama temasya berkenaan diadakan di Benua Amerika kerana sebelum ini ia diadakan di Amerika Syarikat sebanyak 4 kali (St. Louis 1904, Los Angeles 1932 dan 1984 serta Atlanta 1996), Mexico hanya sekali (Mexico City 1968) dan Kanada juga hanya sekali (Montreal 1976). Ini bermakna Sukan Olimpik Musim Panas kali ini merupakan kali ketujuh ia diadakan di Benua Amerika! Acara ini sudah bermula sejak dua hari lalu (waktu Brazil) dan Datuk Lee Chong Wei (pemain badminton Malaysia) selaku pembawa bendera Jalur Gemilang ketika upacara pembukaan Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pagi semalam (waktu Malaysia).

Pelbagai jenis sukan dipertandingkan di Rio sepanjang berlangsungnya Sukan Olimpik kali ini bermula sekitar antara jam 7.00 malam hingga 11.00 pagi keesokannya waktu Malaysia.

Teringat cerita 20 tahun lalu menjelang Sukan Olimpik di Atlanta, Amerika Syarikat pada 1996, selain sambutan 100 tahun kewujudan temasya sukan tertua dunia ini, dua perkara yang tidak harus saya lupakan adalah saya sudah mula pandai belajar sendiri menunggang basikal waktu umur saya 10 tahun serta Peter Stuyvesant selaku jenama rokok popular diangkat sebagai penaja rasmi siaran Sukan Olimpik 1996 di RTM dan TV3 (Media Prima atau MPB tak wujud lagi masa itu), yang mana semua jenis iklan jenama rokok terkemuka termasuk Dunhill masih lagi dibenarkan disiarkan di media massa Malaysia sehingga 2002. Tahun 1996 juga merupakan kali terakhir siaran Sukan Olimpik Musim Panas di TV Malaysia ditaja oleh syarikat rokok.

Semoga dengan berlangsungnya Sukan Olimpik di Rio ini bukan sahaja menyemai semangat kesukanan malah akan menyatupadukan peminat sukan yang berbilang kaum dan agama. Salam Olimpik dan majulah sukan untuk negara!