Nurzarina Zakaria
Mengimbau zaman remaja ibu kepada dua anak ini, Nurzarina Zakaria, 34, memang seorang yang mempunyai disiplin tinggi dalam menjaga kecantikan dan kesihatan diri. Bayangkan, ketika pada usia sekolah menengah, wanita ini sudah memiliki rutin penjagaan wajah yang diamalkan setiap hari. Sedangkan zaman itu, kebanyakan gadis remaja masih ‘buta’ berkenaan rutin kecantikan, apatah lagi memiliki disiplin untuk tampil bersih dan menawan.
Bertemu kembali baru-baru ini, Nurzarina masih kekal awet muda bak anak dara. Kerap tampil berkebaya manis di televisyen, pengasas jenama kosmetik ini tidak pernah lokek melontar senyum biarpun saat rancak bercerita.
Selain cerita berkenaan empayar perniagaan dimiliki, Hati turut mengajak Nurzarina berkongsi petua cantik yang diamalkan dari dulu sampai kini. Sudah pasti, ramai wanita mahu mencedok sedikit sebanyak amalan yang dilakukan untuk tampil cantik persis wanita 20-an bukan?
Kata Nurzarina, sejak dulu lagi dia memang sukakan amalan penjagaan wajah secara tradisional kerana bahannya senang diperoleh dan harganya lebih murah. Bahkan, dia juga menanam sendiri tumbuh-tumbuhan seperti kunyit, kencur, lengkuas, lidah buaya dan pelbagai jenis herba kecantikan.
“Bagaimanapun, kecenderungan itu juga berubah seiring peredaran zaman. Kebelakangan ini saya lebih suka menggunakan ramuan tradisional yang ditanam secara organik kerana selamat dan tiada bahan kimia berbahaya.
“Corak pemakanan saya juga sudah bertukar kepada 100 peratus organik. Saya akan pastikan semua barang dapur adalah organik tidak kira sama ada garam, gula, mee, kicap dan sos. Semua barang ini saya beli dari kedai yang menawarkan produk organik dan memasak sendiri di rumah.
“Jadi, kalau ditanya kepada saya sama ada cara moden atau tradisional, saya percaya bahan organik lebih dekat dengan ciri tradisional. Harga memang sedikit mahal, tetapi segar, organik dan berkhasiat,” katanya.
Rawat diri di rumah
Bercerita lanjut, kata Nurzarina, dia mula mengamalkan rutin penjagaan wajah seawal usia 12 tahun. Ketika itu, dia menggunakan set penjagaan lengkap termasuk pencuci muka, penyegar dan pelembap.
“Sejak umur 12 tahun juga saya sudah mula menjaga diet. Saya tidak suka makanan berminyak dan hanya makan dalam kuantiti sangat sedikit. Mungkin kerana terikut-ikut cara mama menjaga pemakanan di rumah, memang tiada makanan segera langsung di dalam peti ais. Lucunya saya mula makan makanan segera ketika umur 18 tahun. Itu pun ketika rakan mempelawa ke restoran makanan segera untuk meraikan hari lahir,” katanya ketawa.
Menurutnya, sepanjang tempoh membesar, dia lebih percayakan bahan semula jadi berbanding produk penjagaan diri di pasaran. Jika kulit ditumbuhi jerawat umpamanya, Nurzarina akan memetik pucuk jambu, digumpal dan disapu pada jerawat.
NURZARINA Zakaria amal petua tradisional.
“Kalau ada ruam, saya hanya menggunakan daun sirih yang diletakkan
sedikit garam. Daun ini saya gumpal hingga mengeluarkan air sebelum
disapu pada ruam wajah. Ajaibnya, ruam akan sembuh tidak sampai tiga
hari.
“Untuk rutin setiap pagi, saya akan minum air halia yang
dimasak bersama serai, asam keping, lada hitam dan sedikit gula melaka.
Air rebusan ini bagus sangat untuk membuang angin dalam badan dan
membantu melancarkan peredaran darah. Kemudian, sebelum dan selepas
bangun tidur, saya biasanya minum segelas air kosong untuk menyegarkan
tubuh,” katanya.
Siapa sangka masih ada pengasas kosmetik pada
zaman serba moden ini rajin membancuh pelbagai ramuan tradisional untuk
merawat serta mencantikkan setiap inci tubuh di rumah.
“Seperti
kebanyakan orang, saya juga berusaha mencukupkan waktu tidur, bersenam
dan menjaga pemakanan. Tetapi ramai yang tidak tahu saya sangat sukakan
rawatan spa di rumah. Seminggu sekali, saya akan buat skrub muka sendiri
menggunakan nanas dan madu.
“Untuk rambut, saya hanya gunakan
kuning telur, pucuk manis bersama santan. Kalau tak ada pucuk manis,
saya gantikan dengan daun bunga raya. Hasilnya, rambut memang berkilat
dan lebat!
“Sesekali, saya juga senang memanjakan diri dengan
mandi susu di rumah. Buat sendiri di rumah tentu sekali lebih murah dan
jimat berbanding ke spa. Saya hanya gunakan dua kotak susu segar yang
kosnya sekitar RM10.
“Paling penting, seminggu sekali juga saya
akan minum sup ayam kampung yang direneh selama dua jam menggunakan
herba Cina seperti Goji Berry, ginseng, kurma merah dan halia kering.
Andai diamalkan selalu, badan akan berasa ringan dan kulit jadi lebih
halus kemerahan,” katanya.
Jelas Nurzarina, dia juga tidak ke
salun untuk mencantikkan kuku, sebaliknya merendam hujung jari dalam sir
suam bersama cuka epal. Dengan cara itu, kuku akan bersih berkilat.
Menguatkan kuku supaya tidak patah, dia menggunakan seulas bawang putih
dan menekan kuku ke bahagian dalam bawang sebelum dibilas bersih.
“Ramai orang tahu perlunya minum air yang cukup, tapi gagal berbuat
demikian. Saya sendiri akan membawa bekal dua liter air setiap hari
sebelum keluar rumah dan pastikan ia habis sebelum pulang pada sebelah
petang. Apabila air dalam badan mencukupi, kulit kekal sihat dan badan
akan bertenaga sepanjang hari.
“Sebagai usahawan kosmetik, saya
cukup mementingkan asas dalam solekan. Setiap kali sebelum bersolek,
saya akan oleskan pelindung matahari terlebih dahulu. Saya juga akan
pastikan alat solek seperti berus dan span muka dalam keadaan bersih
serta kering. Semua peralatan ini perlu dicuci dua kali seminggu untuk
mengelakkan risiko pembiakan bakteria yang akhirnya mengakibatkan
jerawat,” katanya.
Tip Mudah
1. Rebus kurma merah dan minum airnya setiap malam untuk mendapatkan kulit halus kemerahan.
2. Elakkan makan ubat ketika sakit kepala. Kisar timun dan minum airnya untuk menghilangkan rasa sakit kepala.
3. Untuk membuang toksin dalam badan, rendam tiga keping asam gelugor dalam air panas dan minum perlahan-lahan.
4. Rawat bibir kering dan menggelupas dengan skrub bibir. Campurkan gula bersama madu dan sental sekali seminggu.
5. Makan buah sebelum makanan berat.
6. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
7. Banyakkan sayur dalam hidangan.
8. Amalkan mandi dengan memulakan siraman di kaki dahulu.
No comments:
Post a Comment