Olahraga amat sinonim dengan Sukan Komanwel kerana ia
menjadi acara yang tidak pernah ketinggalan dipertandingkan sejak edisi
pertama sehingga sekarang.
SUKAN Komanwel dianjurkan pada asalnya bertujuan untuk mengingati dan mempertemukan semula kesemua negara bekas jajahan British dari enam buah benua iaitu Afrika, Asia, Amerika Utara, Amerika Selatan, Eropah dan Oceania.
Dalam erti kata lain, ia bukan sekadar
satu temasya sukan sebaliknya lebih dilihat untuk mengiktiraf
penjajahan British di seluruh dunia yang pernah berlaku satu ketika
dahulu.
Atas nama sukan, nama temasya ini dijaja sebagai
yang kedua terpenting selepas Sukan Olimpik walaupun jumlah acara dan
atlet yang terbabit jauh lebih rendah berbanding Sukan Asia.
Dianjurkan
empat tahun sekali, sebenarnya tidak banyak bekas tanah jajahan British
terutama di Asia dan Afrika mampu menjadi tuan rumah, sebaliknya negara
yang mempunyai majoriti bangsa Inggeris lebih kerap silih berganti
menganjurkan temasya.
Sejak diperkenalkan
pada 1930, hanya tiga kali Sukan Komanwel diadakan di luar kepompong
negara yang dikuasai bangsa Inggeris iaitu Jamaica (1966), Malaysia
(1998) dan India (2010).
Berdasarkan rekod,
daripada 20 edisi Sukan Komanwel yang dianjurkan sebelum ini, Kanada
sudah empat kali bergelar tuan rumah iaitu edisi pertama (1930) di
Hamilton, edisi kelima (1954) di Vancouver, edisi ke-11 (1978) di
Edmonton dan edisi ke-15 (1994) di Victoria.
Britain
yang diiktiraf kuasa penjajah terbesar di dunia satu ketika dahulu
telah menganjurkan sebanyak enam kali iaitu pada edisi kedua (1934) di
London, edisi keenam (1958) di Cardiff, Wales, edisi kesembilan (1970)
di Edinburgh, Scotland, edisi ke-13 (1986) juga di Edinburgh, edisi
ke-17 (2002) di Manchester dan edisi ke-20 (2014) di Glasgow.
Selebihnya
di benua Oceania yang membabitkan Australia dan New Zealand iaitu
Sydney (1938), Auckland (1950), Perth (1962), Christchurch (1974),
Brisbane (1982), Auckland (1990) dan Melbourne (2006).
Dengan
Gold Coast bakal menganjurkan temasya itu dari 4-15 April, ini bermakna
Oceania akan menjadi tuan rumah buat kali kelapan dan muncul benua
terbanyak menjadi tuan rumah.
Bagi Australia,
ini merupakan kali kelima negara Kangaroo itu menjadi tuan rumah untuk
muncul negara paling banyak menganjurkannya mengatasi negara-negara
Komanwel lain yang berjumlah 72 kesemuanya.
Peliknya,
mengapa tidak England muncul paling banyak menganjurkan temasya itu
sedangkan negara tersebut merupakan tunjang kepada wujudnya Sukan
Komanwel yang bertujuan mengingati dan mempertemukan kesemua bekas
jajahan British.
Mengimbaskan kembali
lahirnya Sukan Komanwel, inisiatif asal menganjurkan temasya itu
melibatkan negara Komanwel dalam skala lebih besar juga bukan datang
daripada Britain sebaliknya ia bermula di Kanada.
Seorang
yang sangat berpengaruh dalam sukan olahraga di Kanada ketika itu,
Bobby Robinson telah memainkan peranannya dengan mewujudkan acara
tersebut yang menjadi bahan perbualan orang ramai dalam kalangan negara
Komanwel untuk lebih daripada 30 tahun.
Sebelas
negara dengan 400 atlet telah menyertai Sukan Komanwel pertama. Bantuan
dana sebanyak AS$30,000 telah disediakan oleh Dewan Bandar Raya
Hamilton kepada negara yang menyertai Sukan Komanwel pertama bagi
menanggung kos perjalanan mereka.
Sejak itu,
Sukan Komanwel telah diadakan setiap empat tahun kecuali pada 1942 dan
1946 kerana Perang Dunia Kedua. Bermula tahun 1930 hingga 1950, Sukan
Komanwel dikenali sebagai Sukan Empayar British.
Pada
tahun 1966 hingga 1974, ia ditukar kepada Sukan Komanwel British dan
bermula 1978, sekali lagi namanya ditukar kepada nama yang lebih mudah
dan lebih terbuka, Sukan Komanwel dan kekal sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment