Tentang Diri Saya

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Thursday, March 28

TV2 Siar Drama Terbaik Terbitan Unit Drama TV

Khas Hari RTM Ke-67 : TV2 Siar Drama-Drama Terbaik Terbitan Unit Drama TV RTM

Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan kelangsungan enam dekad berperanan menyalurkan maklumat dan menghidangkan hiburan kepada penonton setia salurannya. Selama tempoh itu juga, RTM melalui pelbagai evolusi selain telah melahirkan beribu bintang popular, beratus personaliti kreatif serta wartawan penyiaran berkaliber.

Stesen yang meraikan ulang tahun ke-67 pada 1 April depan nyata memiliki pengikut setianya yang tersendiri dalam menarik perhatian masyarakat terutama dalam menghidangkan program-program bermutu terutama dalam penerbitan dan penyiaran drama-drama terbaik yang direalisasikan sendiri oleh penerbit-penerbit di Unit Drama TV RTM.

Drama Perempuan gandingkan Dira dan Zoey-001

Dalam meraikan Hari RTM tahun ini, RTM kembali menyiarkan empat drama yang mendapat sentuhan penerbit di Unit Drama TV RTM iaitu dua drama bertajuk Perempuan (1 April 2013) dan Akhirnya Kisah Perempuan (2 April 2013) arahan Fahmi Sarindi dan dua lagi diarahkan oleh Kamarudin Ambak iaitu drama Kawan (3 April 2013) dan Dejavu (4 April 2013). Kesemuanya disiarkan jam 2.30 petang menerusi saluran TV2.

Luangkan masa menyaksikan drama Perempuan lakonan Dira Abu Zahar, Syed Ali, Zoey Tan, Tony Eusoff, Syed Aiman, Rozie Rashid dan Azri Iskandar mengisahkan tentang dua perempuan yang mempunyai latar belakang kehidupan berbeza, berlainan agama dan dugaan dalam hidup mereka. Dua perempuan ini telah dipertemukan dalam ruang perasaan secara rohani, namun tidak pernah bersua secara nyata. Dua perempuan ini pada hakikatnya ingin mencari bahagia dalam kehidupan masing-masing. Namun, Ramadan tahun ini memberi hidayah serta petunjuk kepada mereka. Pengalaman yang dilalui selama ini telah menjadi pengajaran bagi dua perempuan ini. Namun, apakah pengalaman lalu benar-benar akan merubah hidup dua perempuan ini?

Saksikan kemudiannya sekual dari telemovie Perempuan bertajuk Akhirnya Kisah Perempuan mengekalkan pelakon Dira Abu Zahar dan Rozie Rashid di samping Ziela Bakarin, Khatijah Tan, Eyka Farhana, Iman Corinne Adrienne, Izzam Shafiq, Tania Zainal dan Ruby Ooi.

Kali ini kisah Perempuan muncul semula setelah 12 tahun perjalanan hidup watak-watak utama Perempuan iaitu Maisarah, Lina, June, Mona dan Christina di mana dahulunya mereka mempunyai perkaitan kisah hidup dalam dan luar sedar mereka.

Akhirnya Kisah Perempuan akan memfokuskan proses hijrah watak-watak ini dalam kehidupan mereka kini. Watak Miasarah yang telah berhijrah menginsafi segala kehidupan masa silamnya. Dia kini menjadi sukarelawan di Yayasan Chow Kit dengan membantu anak-anak terbiar yang tiada ibu bapa.

Menyusul kemudiannya drama Kawan lakonan Fauziah Nawi, Hilal Azman, Emma Akma, Shiela Mambo dan Fadhil Dani selain gandingan pelakon utamanya, Taiyuddin Bakar dan Shasha Al-Khred juga Adam Shah, Maarup Mustafa dan Fauzi Sulaiman. Plot kisahnya berlatarkan kehidupan di sebuah perkampungan nelayan dengan keletah Meon dan Salmah, remaja OKU amat disenangi masyarakat. Mereka berdua berkawan rapat sejak kecil.

Fateh dan Mat Payau telah cuba menoda Salmah, tetapi sempat diselamatkan Meon. Berpunca dari itu, Fateh dan konconya Mat Payau serta Miah Ranggi telah menyebarkan fitnah bahawa Salmah telah mengandung akibat perbuatan Meon. Akibatnya, Meon dibelasah teruk oleh Mat Payau. Usaha Aftah membawa doktor dari bandar untuk membantu Sudin, Kak Piah dan anak mereka Salmah, telah merungkai segala persoalan. Doktor telah mengesahkan Salmah tidak mengandung tetapi mengidap penyakit busung.

Menerusi Dejavu pula kongsikan kisah Dato’ Munir yang tersesat dalam kemewahan yag dimiliki dan menyebabkan kejadian dejavu menghantui hidupnya. Bermula dengan kehidupan sebagai budak kampung, dia berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti dan berbekalkan kekuatan, kegigihan serta azam yang tinggi, Munir berjaya dalam perniagaan dan mampu menyandang pangkat Dato’ di usianya 40-an.

Namun kemewahan yang dimilikinya membuatkan dia hilang pedoman, bertindak mengikut hawa nafsu dan perasaan. Perkahwinannya bersama Safiah hancur kerana sikap Munir yang suka berpoya-poya dan langsung tidak menghargai Safiah sebagai isterinya. Safiah tekad untuk berpisah dari hidup Munir. Manala, anaknya Aidil pula terlibat dengan kegiatan sosial dan peras ugut yang menyebabkab dirinya sendiri menjadi mangsa.

Kehidupan Munir menjadi ‘gelap’ apabila dia mendapat tahu dia mengidapi penyakit tumor otak dan hanya berbekalkan 6 bulan untuk hidup. Dia tekad untuk pulang ke kampung berjumpa dengan keluarganya, memohon kemaafan dari Safiah dan keluarganya. Namun, segala-galanya tidak kesampaian kerana ibu bapanya telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Drama ini dibintangi oleh Shahronizam, Tasha Aziz, Khatijah Tan, Abu Bakar Juah, Tony Eusoff, Mubarak Majid dan Maimon Talib.

Fahmi Sarindi ... pengarah drama Akhirnya Kisah Perempuan ketika di lokasi penggambaran-001pelakon utama Drama Akhirnya Kisah Perempuan-001
drama Kawan-001

Drama Perempuan-001

Siar Drama Terbaik Sempena Hari RTM ke-67

Tiga Drama Khas Tayangan Hari RTM Di TV1

Sambutan Hari RTM ke-67 pada 1 April ini dimeriahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan pilihan tiga drama menarik khas untuk tontonan penonton setia salurannya yang berkongsi plot kisah bertemakan kekeluargaan untuk seisi keluarga.

Disiarkan setiap hari mengisi slot popular saluran TV1 termasuklah Panggung Satu, Nurani dan Panggung Ahad yang sememangnya tidak pernah gagal dalam membawakan drama-drama terbaik dengan menampilkan lakonan berkesan pelakon tanah air, saksikan drama bertajuk Hadiah Untuk Ayah (5 April 2013, jam 10.30 pagi), Kerapu Tiga Luka (6 April 2013, jam 3.05 petang) dan diakhiri tayangan Cucu Wan Lebar (7 April 2013, jam 10.00 pagi).

Drama Cucu Wan Lebar-001

Eratkan jalinan hubungan kekeluargaan antara seorang anak dengan ayah dengan mengikuti babak-babak menarik menyentuh hati dalam drama bertajuk “Hadiah Untuk Ayah” menampilkan gandingan mantap pelakon Aman Graseka, Latif Borgiba, Airis Yasmin dan Danial Boboi. Ia mengisahkan Helmi dan Lukman ingin memberikan hadiah kepada ayah mereka sempena ulang tahun ayah mereka. Namun keduanya tidak berkemampuan untuk membelikan hadiah yang mahal buat ayah mereka itu. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk menghadiahkan ayah mereka seutas tasbih yang pernah mereka putuskan sewaktu masa dahulu.

Umpama kata pepatah terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa, kemudiannya kongsikan drama sarat pengajaran yang di sampaikan secara santai kepada penonton bertajuk “Kerapu Tiga Luka” lakonan Mustafa Kamal, Qazem Nor, Jaafar Onn, Sharifah Sakinah, Puteri Sarah, Adam Shah dan Airis Yasmin.

Menariknya drama arahan Asri Alias FDAM ini mengangkat kisah watak dua utama Haniff dan Nazran yang juga pasangan anak dan bapa. Kedua-duanya berjaya mencapai cita-cita menjadi chef yang sangat terkenal seperti yang diimpikan. Namun kedua-duanya mula alpa dengan kejayaan yang dicapai hingga mengabaikan isteri masing-masing yang selama ini menjadi pendorong utama di sebalik kejayaan mereka. Mampukah mereka memperbetulkan keadaan atau pun sebaliknya terpaksa berserah dengan takdir?

Seterusnya usah ketinggalan berkongsi kenakalan dan aksi mencuit hati telatah cucu-cucu opah Wan Lebar mengetengahkan lakonan Khatijah Tan, Kazar, Ard Omar, Halim Sabir, Ramasundram dan Pakcu Raja Lawak.

Drama “Cucu Wan Lebar” berkongsi kisah 10 orang cucu dan yang paling menonjol watak Pudin, yang banyak mengetuai aktiviti mereka. Satu petang Pudin dikejar lembu milik Muthusamy. Dalam cubaan melarikan diri, dia memanjat pokok namun terjatuh dan patah kaki. Doktor mengesahkan kaki kiri Pudin retak dan urat saraf kaki kanan pula rosak. Kos ‘baik pulih’ kaki Pudin dianggarkan mencecah tiga ribu ringgit.

Bila Pudin patah kaki, sepupunya yang lain juga “patah kaki”. Segala aktiviti mereka tergendala. Misi pertama mereka cuba mendapatkan kerusi roda. Mereka bekerja ‘part time’ dengan Muthusamy. Cukup duit, mereka membeli kerusi roda terpakai. Misi seterusnya mencari duit untuk kos pembedahan kaki Pudin.

Satu petang Najmi ternampak poster Pertandingan Bola Sepak 7 sebelah yang hadiah utamanya seribu ringgit. Mereka menubuhkan W.L FC. (Wan Lebor FC). Semak samun tepi rumah dibersihkan untuk dijadikan padang latihan mereka. Mereka berlatih dalam serba kekurangan, tetapi meriah dengan sokongan. Apatahlagi ramai yang sudi menaja jersi, sarapan dan sepanduk untuk mereka. Cucu-cucu perempuannya menubuhkan pasukan sorak yang dianggotai Cu Leha, Pak Ngah Sudin dan Muthusamy anak beranak. Oleh kerana Pudin ketua pasukan sorak yang berkerusi roda, jadi dia mencipta gerakan sorak secara duduk.

Tiba hari pertandingan, seisi kampung datang memberikan sokongan. Lori Muthusamy digunakan untuk membawa pemain, Mereka bermain bersungguh-sungguh, namun mereka tewas. Mereka kecewa, tetapi Wan Lebor tetap tersenyum bangga. Wan Lebor bangga dengan semua cucunya, walaupun mereka tidak sehebat anak orang lain tetapi berjiwa besar dan sanggup bersusah senang bersama.

Kekecewaan mereka didengari penaja utama pertandingan, Datuk Kassim. Kagum dengan ikatan kasih sayang cucu-cucu Wan Lebor, dia akhirnya bersetuju untuk menaja kos ‘pembedahan’ kaki Pudin. Itulah kemenangan sebenarnya buat mereka.

Kasih seorang ayah dalam drama Hadiah Untuk Ayah-001

Wednesday, March 20

Cabutan Akhir Piala Dunia 2014 Ditetapkan 6 Disember

ZURICH: Cabutan untuk Piala Dunia 2014 akan dilakukan pada Disember 6 di resort percutian tepi pantai Brazil di Costa do Sauipe, di mana perkara itu diumumkan oleh FIFA selepas mesyuarat di sini pada Selasa bersama penganjur Brazil.

"Ia telah disahkan pada mesyuarat itu bahawa cabutan untuk Piala Dunia 2014 akan diadakan di Costa do Sauipe, di negeri Bahia, pada pukul 1 petang waktu tempatan (1600GMT) pada 6 Disember 2013," kata FIFA dalam satu kenyataan.

Selepas mesyuarat Presiden FIFA, Joseph Blatter menyatakan keyakinan bahawa Brazil akan bersedia tepat pada masanya untuk menjadi tuan rumah pusingan akhir walaupun kelewatan berterusan berikutan pembinaan stadium dan peringkat akhir bakal menjadi sesuatu yang “mengagumkan”.

Saturday, March 9

Dimensi Baru Dina Nadzir


Kesungguhan serta semangat berkobar-kobar pelakon, penyanyi serta penyampai radio Dina Nadzir dalam mendapatkan berat badan yang ideal ternyata membuahkan hasil apabila Dina kini mampu tersenyum gembira bila berat badannya berjaya mencapai keputusan yang amat menakjubkan.

Kerjasama yang terjalin selama lebih tiga bulan bersama pusat kecergasan terkemuka Celebrity Fitness serta jenama produk makanan tambahan Horleys bukan saja membina keyakinan yang tinggi buat Dina, malah turut membuka dimensi baru buat penyanyi berbakat besar ini untuk terus mengorak langkah dalam industri seni tanah air.



“Sejak memulakan sesi program kecergasan serta kesihatan bersama Celebrity Fitness dan Horleys pada hujung Oktober lalu, berat badan saya berjaya turun sebanyak lebih 10 kilogram. Ia sesuatu yang amat menakjubkan dan saya rasa begitu teruja kerana saya kini boleh memakai seluar jeans. Semestinya saya rasa sangat gembira dengan perubahan ini memandangkan selama ini saya tidak berpeluang memakai jeans kerana tidak mempunyai saiz.



"Bukan itu saja, paling ketara gaya hidup serta mentaliti saya juga mula berubah. Saya dapat rasakan tenaga saya kini berada di tahap yang lebih tinggi. Sebelum ini saya mengalami masalah tidur namun sekarang saya dapat tidur dengan lebih baik dan nyenyak tanpa sebarang masalah.



"Program ini juga banyak membantu dari segi karier seni saya di mana jika sebelum ini saya mengalami masalah cepat penat ketika membuat persembahan pentas, namun kini saya dapat menyanyi tanpa semput langsung dalam tempoh setengah jam,” ujar Dina ketika ditemui di Celebrity Fitness Setia Walk, Puchong baru-baru ini.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Promosi Celebrity Fitness Evelyn Low, "Kami amat bangga dan gembira dengan pencapaian serta perubahan Dina. Tujuan utama kami mengadakan program ini bukan saja mahu menurunkan berat badan Dina, malah ingin dia tampil dengan lebih sihat serta berkeyakinan. Atas kejayaan Dina ini juga tidak mustahil kami akan teruskan lagi usaha ini bersama dengan Horleys di masa hadapan.”



Sebelum mengakhiri perbualan, pemilik nama Faradina Mohd Nadzir ini juga sempat melahirkan rasa terharu dengan sokongan yang diberikan oleh pihak Celebrity Fitness dan Horleys dalam membantunya untuk mendapatkan berat badan yang ideal.



“Mungkin ramai yang tak nampak ketara dengan perubahan saya dari segi fizikal, namun penglibatan saya dalam program ini bukannya kerana mahu kurus tapi ingin tampil lebih sihat dan cergas. Secara peribadi, banyak yang saya belajar dari program ini. Sudah pasti saya tak akan berhenti begitu saja dan akan jadikan ia sebagai rutin harian selepas ini.



"Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Celebrity Fitness dan Horleys atas sokongan mereka selama ini. Kepada mereka di luar sana, jangan malu jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan kerana Celebrity Fitness dan Horleys boleh membantu anda untuk mendapatkan berat badan yang ideal dengan teknik yang betul. Walau bagaimanapun, seseorang itu mestilah konsisten dan jangan mudah putus asa kerana setiap kejayaan tidak datang dengan mudah tanpa usaha yang bersungguh-sungguh."

Friday, March 8

Kronologi Pencerobohan Pengganas Sulu

KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi selepas hari ketiga Op Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu, Sabah:

Sebuah helikopter Nuri berlepas dari Kolej Integrasi Ilmu berhampiran Kampung Tanduo, lokasi pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Lahad Datu.


5 Mac (7 pagi) - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh bersenjata Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukan tentera dan polis di sekitar kampung itu.

5 Mac (8 pagi) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.


Anggota Polis dari Cawangan Jenayah Berat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK) membawa dua suspek yang berjaya ditahan ketika "Ops Daulat" di sebuah ladang sawit di sini. Dalam operasi itu polis berjaya menahan empat lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh untuk di soal siasat.


5 Mac (4 petang) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu sidang akhbar operasi susulan dan penggeledahan diteruskan kerana percaya masih ada musuh di kawasan itu.

6 Mac (11 pagi) - Ketua Polis Negara sahkan kumpulan penceroboh mula menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.


Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan gambar anggota pengganas Sulu yang mati dalam "Ops Daulat" pada sidang media di Felda Beach Resort di sini. Turut sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan). Sebanyak tiga belas mayat pengganas bersenjata ditemui di Kampung Tanduo dalam operasi susulan dan penggeledahan hari ini selepas gerakan ofensif dilancar pasukan keselamatan negara terhadap kubu kumpulan penceroboh di kampung itu.


6 Mac (4 petang) - Hari kedua Op Daulat: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan seorang anggota kumpulan penceroboh ditembak mati dan sembilan mayat ditemui di dalam lubang di kawasan ladang dekat Kampung Tanduo.

6 Mac - Beberapa keping gambar Op Daulat yang dirakam pasukan keselamatan diedar kepada media, antaranya mayat pengganas di dalam sebuah lubang.

6 Mac - Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Al-Haj Murad Ebrahim mengakui kumpulan pemberontak terbesar di Filipina itu tidak terlibat dalam konfrontasi antara penceroboh bersenjata Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia di timur Sabah.



6 Mac (6 petang) - Berlaku tembak menembak antara anggota keselamatan dan kumpulan pengganas di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada kira 4.15 petang semasa operasi susulan dan penggeledahan.

7 Mac (7 pagi) - Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan keselamatan mengadakan kepungan di laut dan di darat untuk mengekang bekalan makanan dan persenjataan sampai kepada pihak musuh.

7 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Sabah dan bertemu pemimpin masyarakat kaum Suluk di Tawau; turut menyatakan kerajaaan tidak sangsi terhadap kesetiaan etnik itu berikutan insiden pencerobohan tersebut.

7 Mac (15.50 petang) Perdana Menteri mengumumkan pada sidang media di Felda Sahabat pembentukan Kawasan Keselamatan Khas di pantai timur negeri ini, yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tiba di Komtek Sahabat 16 Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) dekat sini.


- Najib berkata penceroboh Filipina di Sabah perlu letak senjata tanpa syarat sebelum tawaran gencatan senjata dipertimbangkan.

- Najib umum tambahan lima batalion anggota pasukan keselamatan untuk ditempatkan di kawasan keselamatan khas di timur Sabah.

- Najib berkata Op Daulat akan diteruskan sehingga penceroboh di Sabah meletakkan senjata tanpa syarat.

- Perdana Menteri beri amaran kepada mana-mana pihak jangan pandang ringan iltizam rakyat dan kerajaan mempertahankan bumi Sabah sebagai sebahagian dari Malaysia selama-lamanya.

7 Mac (5.30 petang) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang musuh terbunuh dalam Op Daulat di Tanjung Batu semalam manakala 31 lagi, termasuk seorang berpangkat jeneral terbunuh hari ini.




7 Mac - Sehingga pukul 7 petang, seramai 52 penceroboh maut sejak insiden pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna.

Tuesday, March 5

Zahid: 5 lima batalion dikerah, tidak perlu campur tangan asing

IGP: Kawalan di Semporna diperketatkan
Anggota polis berkawal di pos kawalan di hadapan Kolej Integrasi Ilmu berhampiran Kampung Tanduo, lokasi pasukan keselamatan melancarkan serangan hari ini. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR - Pasukan keselamatan mempunyai kepakaran untuk menumpaskan saki baki penceroboh bersenjata selepas serangan udara dan darat dilancarkan pagi ini untuk mengakhiri insiden pencerobohan yang berlarutan selama 21 hari di Kampung Tanduo, kira-kira 130km dari Lahad Datu, Sabah, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya walaupun kawasan yang diceroboh mempunyai bentuk muka bumi yang mencabar dan diibarat 'lubuk permainan' penceroboh, namun kepakaran serta taktik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cukup membanggakan.

Oleh itu, katanya, Malaysia tidak memerlukan sebarang campur tangan asing dalam menangani insiden pencerobohan di Sabah kerana ia mempunyai pasukan keselamatan yang kuat.

Pada 4 petang, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita bahawa saki baki musuh dipercayai masih bersembunyi di Kampung Tanduo, berhampiran Felda Sahabat 16, kira-kira 130km dari Lahad Datu.

"Setakat ini keadaan tenang malah tiada tembak-menembak sebagai serangan balas berlaku dan kita harap dengan keadaan ini, penceroboh dapat ditumpaskan namun kita perlu sentiasa berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan," kata Ahmad Zahid menerusi perbualan telefon bersama Bernama TV di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pasukan keselamatan telah bersiap siaga di beberapa kawasan tertentu yang berkemungkinan terancam berikutan taktik 'psikologi songsang' yang digunakan penceroboh.

"Kita sentiasa mematuhi Konvensyen Geneva dan kita menggunakan etika peperangan yang mana pihak musuh dilayan dengan penuh berperikemanusiaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, lima batalion tentera telah dikerah di beberapa kawasan seperti Tawau dan Sandakan, dan akan terus berada di sana sehingga berpuas hati dengan operasi pembersihan penceroboh.


KRONOLOGI PENCEROBOHAN KUMPULAN BERSENJATA DI LAHAD DATU

12 Feb - Sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan dipercayai bersenjata
yang menaiki bot pancung mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu.

14 Feb - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis mengenal pasti
kumpulan rakyat Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah
sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari selatan Filipina.

14 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan
Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan bagi
menangani isu pencerobohan itu sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan
berkenaan.

16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
mengesahkan kumpulan terbabit bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya
penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah
terkawal.

18 Feb - Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa
bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan
secara diplomasi tanpa pertumpahan darah.

24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan
untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang
bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Feb lepas.

26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan
terhadap kumpulan penceroboh itu.

28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan
Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di
Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

1 Mac - Dua anggota polis, ASP Zulkifli Mamat dan Sjn Sabarudin Daud
terkorban manakala 12 anggota kumpulan penceroboh terbunuh dalam pertempuran
antara kumpulan itu dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo.

2 Mac - Enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap di perkampungan
air Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna. Kejadian pada pukul 8 malam itu
menyebabkan enam anggota kumpulan penceroboh terbunuh.

3 Mac - Mayat enam anggota polis dikeluarkan dari kawasan perkampungan air
itu dan polis turut mengeluarkan 19 anggota polis dengan selamat dari kampung
itu.

4 Mac - Setiausaha Rendah Luar Filipina Jose Brillantes dan Duta Besar
Filipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya dilapor bertemu Menteri Pertahanan Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein untuk mencari resolusi damai.

4 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menegaskan keadaan
keselamatan di Kunak, Sandakan dan Semporna di Sabah adalah terkawal.

4 Mac - Polis mengeluarkan senarai nama enam pegawai dan anggota yang
terkorban dalam serangan hendap di Semporna, Sabah.

5 Mac (7 pagi) - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jet
pejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo,
Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukan
tentera dan polis di kawasan kampung itu.

5 Mac (8 pagi) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan
mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan
negara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan
pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.

5 Mac (11 pagi) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media
bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan Ops
Daulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.

5 Mac (1.30 tengah hari) - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak pasukan keselamatan.

5 Mac (4 petang) - Ketua Polis Negara mengadakan sidang akhbar mengatakan
operasi susulan dan penggeledahan masih diteruskan kerana polis percaya masih
ada musuh di kawasan itu.

5 Mac - Sehingga pukul 7 petang, polis belum mengesahkan jumlah kematian,
kecederaan atau tangkapan di pihak anggota kumpulan penceroboh bersenjata itu.

- Bernama

Pasukan Keselamatan M’sia Lancar Serangan Terhadap Lelaki Bersenjata Sulu


Sebuah hilikopter Nuri membawa anggota komando ke medan pertempuran menghadapi penceroboh dari Selatan Filipina di Kampung Tanduo. Foto BERNAMA


LAHAD DATU: Berikut adalah kronologi serangan yang dilancarkan oleh pasukan keselamatan Malaysia sejak awal pagi Selasa bagi mengusir baki kumpulan bersenjata Sulu:

11.26 pagi: Panglima Angkatan Tentera Malaysia berkata, bahan letupan digunakan ke atas musuh bagi memastikan keselamatan tentera Malaysia.

11.23 pagi: KPN: Zon pertempuran seluas 4 kilometer di Kampung Tanduo.

11.16 pagi: Operasi membanteras kumpulan bersenjata sulu diteruskan. Pasukan keselamatan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah. Status kematian atau kecederaan musuh pada ketika ini masih belum diketahui.

11:15 pagi: Ketua Polis Negara berkata, tiada kematian atau kecederaan yang berlaku di kalangan tentera Malaysia dalam serangan terhadap "pengganas" Sulu.

10.58 pagi: Media diberitahu bahawa ia adalah taklimat media. Ketua Polis Negara tidak akan menjawab sebarang soalan.

10.50 pagi: Ketua Polis Negara tiba di Hotel Felda Residence. Media bersedia untuk sidang akhbar.

10.50 pagi: Kudat daerah di utara Sabah masih selamat daripada penceroboh dan keadaan terkawal. Bagaimanapun, polis mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pegawainya dan orang awam di sana.

Seorang anggota keselamatan berkawal dekat ladang kelapa sawit Imbara Budi bagi menyekat sebarang penyusupan pihak penceroboh di kawasan itu dekat Lahad Datu. Foto BERNAMA

10.45 pagi: Perniagaan di Kota Kinabalu berjalan seperti biasa walaupun sebahagian pasar raya telah kehabisan bekalan beras. Polis bandar mengingatkan orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin kerana "ia semuanya adalah penipuan" dan situasi di sini sejak beberapa hari lalu adalah terkawal tanpa sebarang insiden yang berlaku berkaitan dengan kes di Lahad Datu.

10.45 pagi: Kira-kira pekerja ladang dilihat di tepi jalan di Felda Sahabat. Mereka berada di sana selepas mendengar letupan sejak pukul 7 pagi.

10.40 pagi: Perniagaan di Sandakan berjalan seperti biasa dan polis memberitahu orang awam untuk tidak mendengar khabar angin dan mendapatkan pengesahan daripada polis dengan menghubungi 089 212 222.

10.34 pagi: Ketua Polis Negara dan Pesuruhjaya Polis Sabah telah menunda sidang media dari pukul 9.30 pagi ke 11 pagi di Felda Sahabat di mana pengamal media sedang menunggu kenyataan mengenai apakah yang berlaku di kampung Tanduo.

10.20 pagi: Unit polis forensik memasuki kawasan Felda Sahabat dari Lahad Datu.

10.00 pagi: Hospital di Tungku tutup dan seorang penduduk kampung berkata, satu halangan telah diletakkan bagi melarang orang ramai memasuki bandar itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan Perdana Menteri menerusi panggilan telefon mengenai perkembangan operasi yang dilancarkan oleh pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu. Gambar diambil daripada akaun Twitter milik Hishammuddin pada Selasa.


9.50 pagi: Banyak ambulans dihantar dari Tawau. Pengamal media dilarang memasuki kawasan Felda 16 dekat bandar Cenderawasih.

9.45 pagi: Kira-kira 300 penduduk kampung di balai raya Tanjung Labian meminta makanan apabila mereka tidak mendapatkannya sejak malam Isnin. Mereka menyelamatkan diri dari Tanjung Batu selepas mendengar terdapat laporan mengenai penceroboh bersenjata.

8.30 pagi: Trak tentera dilihat memasuki kawasan itu. Skuad elit tentera dan polis berada di darat dan dipercayai terlibat dalam tembak-menembak dengan lelaki bersenjata.

7.30 pagi: Sekurang-kurangnya enam letupan berterusan didengari dan wartawan di resort Sahabat 16 berkata, jet kembali terbang rendah.

7 pagi: Beberapa jet pejuang melalui kampung Tanduo, diikuti dengan tembakan meriam.


LAHAD DATU: Serangan pada waktu subuh dilakukan bagi mengusir baki kumpulan bersenjata Sulu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa, dalam satu kenyataan ringkas.

Jet pejuang pada awal pagi Selasa mulai terbang rendah melalui kumpulan bersenjata yang mengepung kampung Tanduo sejak 9 Februari.

Letupan berterusan didengari apabila polis dan tentera mengambil langkah menentang lelaki bersenjata yang dilaporkan membuat tembakan kembali.

Keadaan di sekitar Tanjung Labian, kira-kira 7 kilometer dari kampung Tanduo di Felda 17 begitu tegang dengan lebih 300 penduduk kampung berkumpul di balai raya yang mendengar letupan

Saturday, March 2

Mahu lihat anak didik berjaya

pix_topright

Oleh Siti Zarinah Sahib

Gaya lincahnya masih seperti dulu. Sesekali hilai ketawanya memecah kesunyian petang tatkala wajah disolek jurusolek profesional.

Selesai didandan lengkap dengan padanan gaun bersama jaket hitam, ratu gimnastik berirama Durratun Nashihin Rosli sedia beraksi di hadapan kamera.
Ternyata keserasian serta liuk lentok tubuh tatkala lensa diacu tidak mendatangkan masalah. Malah gadis kelahiran Kuala Lumpur ini bijak memberikan aksi menarik terutama ketika diminta memberikan gaya split bersama padanan gaun.

"Biasanya saya melakukan split dengan pakaian gimrama, tetapi hari ini dengan gaun pendek dan kasut bertumit, agak sukar sedikit membuat split," katanya ketawa namun masih tidak mahu menghampakan permintaan jurugambar dengan memberikan beberapa gaya mudah.

Menyedari perubahan badan yang semakin berisi, pantas Durratun mengakui yang kini berat badannya semakin bertambah. Dulu pada usia belasan tahun, berat hanya 50 kilogram tidak lebih dan tidak kurang kerana perlu berdiet, namun sekarang, nasi menjadi menu hariannya. Apatah lagi sekiranya ibu menyediakan nasi lemak kegemarannya.

"Ini bukan bermakna saya tidak menjaga pemakanan tetapi selepas bersara daripada menjadi atlet gimnastik, saya kembali mengambil nasi. Dulu saya langsung tidak menyentuhnya dan makan makanan, kaya protein untuk tenaga," ujar anak kedua daripada tiga beradik ini.

Jika dilihat perwatakan gadis manis ini, sesiapa juga yang mengenalinya suatu ketika dulu pasti mengatakan personalitinya langsung tidak berubah. Peramah, aktif dan senang ketawa.

Malah sejak kecil sehingga berusia 24 tahun, ibu menemaninya ke mana saja. Menghadiri latihan, temu bual media atau keluar membeli-belah. Durratun juga mengakui sangat selesa bersama ibu yang bukan saja dianggap sebagai pengurus tidak rasmi malah rakan sejati.

"Ibu peneman setia saya ke mana saja. Saya pula berasa kekok jika ibu tidak mengikut saya kerana sejak kecil ibu menemani saya sehingga sekarang.

"Malah ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Victoria, Australia, hampir setiap hari saya menelefon ibu sehinggalah dapat menyesuaikan diri dengan situasi di sana," jelasnya.

Menceritakan bagaimana boleh mengambil kursus pengurusan sukan, selepas menamatkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil Durratun terus menerima tawaran mengikuti pengajian di Universiti Victoria kerana ia universiti terbaik yang menyediakan kursus itu.

"Saya memilih program pengurusan sukan kerana membesar dalam bidang sukan dan selepas bersara, saya berharap dapat menubuhkan sebuah kelab sukan bagi membantu atlet negara dalam bidang pengurusan," katanya yang menjadikan atlet Russia, Alina Kabaeva sebagai idola.

Tiga tahun di Australia, Durratun selesa dengan suasana pembelajaran yang santai dan menyifatkan tuntutan menyiapkan tugasan sebagai cabaran utama dalam menjalani pengajian.

Bagi mengimbangi tekanan menjalani pengajian di kampus, Durratun meneruskan aktiviti sebagai jurulatih sambilan di kelab gimrama, Prahran Rhythmic Gymnastics Club.

"Pengajian tidak terjejas kerana saya berkhidmat sebagai jurulatih sambilan dengan sesi latihan dua kali seminggu. Lebih memudahkan apabila kelab itu berhampiran rumah saya iaitu hanya kira-kira 30 minit perjalanan menaiki tren," katanya yang menamatkan pengajian pada Jun 2012.

Tidak mahu duduk diam, selain menjadi jurulatih Durratun juga aktif menyertai pasukan sorak Vipers serta mewakili universiti dalam pertandingan sorak kebangsaan. Kebolehan yang dimilikinya menyebabkan dia terpilih mengendalikan sesi latihan pasukan sorak di Maribyrnong Sports College.

"Lebih membanggakan apabila saya satu-satunya peserta Melayu mewakili universiti dan pernah memenangi peserta terbaik dalam tarian. Menjadi ahli kumpulan sorak membuatkan saya dekat dengan sukan gimnastik.

"Pada mulanya saya sekadar suka-suka me–nyertai pasukan ini untuk mengisi kebosanan namun lama-kelamaan keseronokan mula dirasai apabila dapat bergaul dengan rakan-rakan. Tambahan pula apabila rakan sepasukan banyak membantu ketika saya baru menyertai pasukan ini.

"Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila seorang rakan terjatuh di atas saya ketika berlatih. Nasib baik saya tidak tercedera," ceritanya yang boleh menari pelbagai tarian moden seperti jazz, moden kontemporari serta jalanan.

Selepas menamatkan pengajian Jun tahun lalu, sekembalinya ke Malaysia Durratun terus menerima tawaran di Serdang Rhythmic Angels sebagai jurulatih gimnastik.

Jadual hariannya padat bermula jam 2 petang hingga 6 petang, Isnin hingga Sabtu dia memberi latihan kepada kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun. Akuinya, baru sekarang dia mengerti mengapa jurulatihnya dulu, Marina Aksenenko begitu garang dan tegas ketika latihan.

"Melihat cara saya melatih kanak-kanak, ada yang berkata saya garang. Namun beginilah cara saya supaya mereka tidak main-main ketika latihan. Kadang-kadang suara saya lebih kuat dan nyaring daripada jurulatih lain.

"Namun selepas tamat latihan saya mampu bercakap dan bergurau dengan mereka. Pada saya, garang dan tegas hanya ketika latihan manakala dalam waktu tertentu saya boleh menjadi rakan mereka," katanya yang mengakui gaya latihan yang diterapkannya sama seperti jurulatih terdahulu.

Menjadi jurulatih juga menyebabkan dia sentiasa berdebar-debar terutama sekiranya anak didiknya menyertai pertandingan. Perasaan jadi tidak menentu, risau dan bimbang sekiranya mereka tidak dapat melakukan yang terbaik. Malah kerisauan ini melebihi perasaan ketika bergelar atlet.

"Baru sekarang saya faham perasaan jurulatih ketika anak didik menyertai pertandingan. Memang sangat mendebarkan dan tidak tenteram. Malah sebaik pertandingan tamat, saya merangka strategi untuk memberikan yang terbaik pada masa akan datang," ujarnya yang baru saja mengikuti latihan di Finland tajaan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia di bawah Kumpulan Gimnastik Berirama, bertujuan menambah kemahiran dalam bidang gimnastik.

Pada waktu lapang, peminat drama Jepun dan Korea itu gemar menonton wayang bersama rakan. Jika tidak, dia lebih selesa berada di rumah bersama keluarga sambil mendengar muzik, melayari Internet dan memilih lagu untuk latihan anak muridnya.

Sepanjang bergelar atlet, dia juga berpeluang melawat 13 negara antaranya Ukraine, Russia, Hawaii, Vietnam, Korea dan lebih 10 kali ke Jepun. Namun Durratun mengimpikan melawat London serta tempat bersejarah di Mesir suatu hari nanti.

"Saya gemar melawat tempat bersejarah bagi melihat seni bina dan budaya masyarakat di sana. Dari situ, banyak yang boleh dipelajari dari segi sosial dan ekonomi mereka selain suka membeli-belah kerana perbezaan harga berbanding di Malaysia," katanya.

Sebagai jurulatih dan bekas atlet berpengalaman, Durratun berharap suatu hari nanti dia dapat memperbaiki pengurusan sukan serta mendidik jurulatih dan pegawai untuk membangunkan sukan gimrama di Malaysia di samping ingin mencurahkan bakti di MSN dan Sekolah Sukan Bukit Jalil.


PROFIL:

Nama: Durratun Nashihin Rosli
Tarikh lahir: 17 November 1988
Asal: Kuala Lumpur
Idola: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Alina Kabaeva
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan, Universiti Victoria, Australia
Hobi: Menari, mendengar muzik, membaca dan menonton filem
Makanan kegemaran: Sushi

Antara pencapaian:

  • Empat pingat perak di Sukan Komanwel 2006, Melbourne, Australia

  • Empat pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan SEA, Vietnam 2003

  • Satu pingat gangsa di Kejohanan Gimnastik Pacific Alliance, Honolulu, Amerika Syarikat 2006

  • Tempat pertama AusCheer Victorian Cheer & Dance Competition 2010

  • Tempat pertama Australian All Star Cheerleading Federation Victorian All Star Cheer & Dance Championship 201

  • Juara Best Standing Scorpion-Senior

  • Juara Best Standing Bow & Arrow-Senior

  • Tempat pertama AusCheer National Championship 2010

  • Tempat pertama National Australian All Star Cheerleading Federation

  • Kronologi Pencerobohan Kumpulan Bersenjata Di Lahad Datu

    KUALA LUMPUR: Berikut adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina;

    9 Februari - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

    11 Februari - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.

    12 Februari - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

    14 Februari - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.

    1 Feb - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.

    Ismail berkata, kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.
    Ismail berkata, rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.

    14 Februari - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.

    16 Februari - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.
    Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu'antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

    18 Februari - Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasabekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.

    24 Februari - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

    26 Februari - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.

    28 Februari - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

    Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.

    1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera.

    Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh. - BERNAMA

    Monday, February 25

    Dina Nadzir Cedera & Tempang



    Dalam pada peminat masih memperkatakan tentang kehebatan Konsert Anuar Zain Tiga Dekad : Muzik, Cinta dan Sanubari, rupa-rupanya berlaku satu insiden di belakang pentas konsert yang berlangsung pada 16 Januari lalu.

    Penyanyi serta penyampai radio ERA, Dina Nadzir yang turut terlibat dalam membuat persembahan telah mengalami kecederaan di kaki kanannya. Difahamkan, insiden berlaku apabila Dina dipercayai terpijak wayar ketika sedang berjalan di belakang pentas selepas selesai membuat persembahan dan kejadian tersebut telah mengakibatkan pergelangan kaki kanannya terseliuh.

     
    “Ketika itu saya memakai kasut tumit tinggi setinggi enam inci. Nasib baik waktu itu saya sempat pegang emak saya, kalau tidak mungkin lebih teruk kecederaan saya. Pada mulanya tak ada apa-apa sangat, namun keesokan harinya ketika bangun dari tidur, saya terkejut dan panik tengok kaki saya bengkak teruk.

    Saya terus berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan X-Ray dan Alhamdulillah, doktor beritahu tidak ada sebarang keretakkan. Doktor menasihatkan saya untuk berehat selama dua minggu agar kecederaan ini benar-benar pulih. Sekarang ini jalan tempang dan terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak,” ujar Dina ketika ditemui baru-baru ini.

    Dalam perkembangan lain, pemilik nama Faradina Mohd Nadzir ini turut memberitahu bahawa dia baru saja melancarkan single terbaru berjudul, ‘Wanita Besi’. Lagu Pop ciptaan Kieren Kuek dan lirik oleh Mode ini mengisahkan tentang bagaimana seorang wanita mengharungi serta mampu bertahan dalam kehidupannya. Dina juga dalam proses menyiapkan single kedua berjudul, ‘Demi Kasih’

    Saturday, February 23

    Dina Nadzir Hangat Bercinta?



    Baru-baru ini ketika berada di sebuah pusat kecergasan terkemuka, GUA terserempak dengan penyanyi serta penyampai radio, Dina Nadzir bersama seorang jejaka kacak. Hubungan mereka dilihat begitu mesra sekali dan membuatkan GUA tertanya-tanya adakah itu kekasih Dina.

    Bagi mendapatkan kepastian, GUA menegur pemilik nama Faradina Mohd Nadzir ini bagi mengetahui perkara sebenar dan Dina tiada masalah berkongsi cerita serta tidak keberatan memperkenalkan jejaka tersebut kepada GUA.

    “Ini Adam. Dia bukan kekasih saya tapi merupakan personal trainer saya di Celebrity Fitness. Umum mengetahui yang saya kini sedang bekerjasama dengan Celebrity Fitness dan produk makanan tambahan, Horleys untuk mendapatkan berat badan yang ideal,” terang Dina.

    “Tidak dinafikan kami memang selalu berhubung melalui WhatsApp namun saya anggap Adam seperti adik saya sendiri. Lagipun umur dia muda daripada saya iaitu 22 tahun. Kami banyak berkongsi tentang pelbagai perkara terutamanya dalam hal pemakanan dan juga amalan kesihatan saya.



    Kalau diikutkan, saya memang susah untuk bekerja atau mudah selesa dengan orang, maklumlah saya jenis yang banyak bercakap jadi takut orang rimas. Namun, bila dengan Adam kami sekepala. Pandai Celebrity Fitness menjaga saya dan bila dapat personal trainer yang kacak macam ini, saya jadi lebih bersemangat untuk bersenam,” ujar Dina sempat bergurau.

    GUA sempat bertanyakan kepada Adam mengenai pendapatnya tentang Dina dan jejaka yang sudah berada dalam bidang kecergasan selama empat tahun ini memberitahu amat senang dan selesa dapat bekerjasama serta melatih bekas peserta program Malaysian Idol ini.

    “Saya dah nampak dia lama iaitu sejak tiga tahun lepas dan tak sangka, tiba-tiba saya pula yang melatih dia sekarang. Saya bangga kerana diberi kepercayaan untuk melatih dia. Dia tak degil dan tak pernah merungut untuk membuat latihan di sini. Walaupun dia tak suka buat, tapi dia tetap juga akan paksa diri dia untuk buat.

    Sudah sebulan setengah saya diberi tanggungjawab melatih dia dan saya bangga dengan pencapaian yang dia lakukan. Saya juga kagum dengan semangat serta usaha keras dia untuk mendapatkan berat badan yang sihat serta ideal,” ujar Adam sambil mengakui tertarik dengan suara lunak Dina ketika menyanyikan lagu berbahasa Inggeris.

    Saturday, January 26

    Indonesia had iklan rokok di media massa

    JAKARTA 25 Jan. - Mulai tahun ini, media massa Indonesia digesa membataskan penyiaran iklan rokok dalam usaha membantu kerajaan mencegah tabiat merokok dalam kalangan rakyat.

    Menteri Kesihatan Indonesia, Nafsiah Mboi berkata, peraturan baru itu bagi memastikan masa depan generasi akan datang lebih terjamin.

    "Iklan rokok sama ada di media cetak, elektronik, media baru dan papan iklan merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi orang ramai untuk merokok," kata Nafsiah.

    Keputusan itu dibuat berdasarkan Peraturan Pemerintah No. 109 Tahun 2012 Kawalan Tembakau yang dikeluarkan pada 24 Disember lalu.

    Di bawah peraturan itu, syarikat pengeluar rokok hanya dibenarkan memasang papan iklan rokok terbatas pada saiz 72 meter persegi.

    Peraturan baharu itu turut tidak membenarkan syarikat pengeluar rokok memberi rokok secara percuma, memberi diskaun, menawar hadiah dan tidak menggunakan logo atau jenama produk tembakau pada barangan lain untuk kegiatan promosi.

    Saturday, January 19

    Mutu Kerja Petugas RTM Diperbaiki Agar Tidak Ketinggalan Zaman

    Mutu Kerja Petugas RTM Diperbaiki Agar Tidak Ketinggalan Zaman

    Kamaruddin Siaraf. Foto DARRAN TAN

    PETALING JAYA: Radio Televisyen Malaysia (RTM) berjanji akan memperbaiki mutu kerja petugasnya dalam usaha untuk mengubah persepsi masyarakat yang menganggap stesen itu agak ketinggalan berbanding stesen televisyen lain.

    Ketua Setiausaha, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, RTM menyasarkan stesen itu pada tahun 2013 akan lebih mesra penonton dengan memaparkan program-program yang terkini.

    "Biasalah, siapa-siapa pun, apabila bercakap tentang RTM, terdapat sejenis persepsi 'ketinggalan zaman' yang diberikan.

    "Jadi kami ingin mengubah pandangan itu menerusi hasil paparan program yang lebih segar dan matang buat penonton di mana pihak kami akan seimbangkan menyiar program-program terbitan Asia dan Eropah.

    "Manakala, program-program tempatan tidak kira dalam bahasa Malaysia, Cina dan India, ianya akan dilebihkan," katanya.

    Antara persembahan yang diadakan pada majlis tayangan program-program baru RTM.

    Kamaruddin ditemui selepas majlis tayangan program-program baru RTM di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, petang Jumaat.

    Tambahnya lagi, penambahan program-program tempatan juga sekali gus dapat memberikan sumber pekerjaan kepada rakyat menerusi produksi tempatan tanpa perlu membeli produk luar negara.

    Antara program-program baru 2013 ialah Chef Cinta Bersama Rozita Che Wan, Maskara, Skrin 1, Arca Widuri dan Gerak Khas (musim baru).

    Selain itu, filem-filem 'blockbuster' juga ditayangkan seperti Mr. & Mrs Smith, Rise of The Planet Of The Apes, Avatar dan enam episod The Star Wars Saga.

    Bagi peminat sukan pula, RTM menjanjikan liputan Le Tour De Langkawi 2013, Sukan Sea 2013 dan Liga Malaysia. Tidak ketinggalan juga liputan Pilihan Raya Umum ke-13.

    Dalam pada itu, proses pengurusan perjanjian yang dibuat antara RTM dan syarikat pengiklan juga dimudahkan dengan membuang persepsi kononnya RTM terlalu birokrasi dalam melakukan sesebuah perbincangan.

    "Pihak kami ingin menunjukkan bahawa program-program yang disiarkan sentiasa mendapat tontonan yang tinggi tidak kira daripada segi segmen demografi dan psiko grafik.

    "Dan pihak pengiklan tidak perlu risau untuk membeli iklan kami yang jauh lebih murah daripada stesen-stesen televisyen lain.

    "Malah, pengurusannya juga lebih mudah dilakukan, tidak seperti dahulu. Sekarang ini, kami ingin memberikan layanan terbaik kepada pelanggan utama kami iaitu pengiklan, dan juga penonton," ujar Kamaruddin.

    Saturday, December 29

    Celebrity Fitness & Horleys Bina Kekuatan & Keyakinan Dina



    Penyanyi, pelakon serta penyampai radio, Dina Nadzir mengakui kekuatan serta keyakinan dirinya telah meningkat selepas hampir dua bulan menjalani sesi program kecergasan bersama Celebrity Fitness dan Horleys. Memulakan sesi kecergasan sejak akhir September lalu, pemilik nama Faradina Mohd Nadzir ini turut memberitahu berasa teruja dengan hasil keputusan yang dicapai setakat ini.


    “Alhamdulillah, dalam masa 39 hari, berat badan saya turun sebanyak 4 kilogram. Mungkin ramai yang akan kata, tak nampak pun perbezaan atau perubahan, namun perubahan itu ada secara dalaman,” ujar Dina ketika ditemui di pusat kecergasan terkemuka Celebrity Fitness, Setia Walk Puchong, baru-baru ini.


    “Mungkin juga rangka badan saya besar, jadi sebab itu mereka tak nampak sangat perbezaan. Saya juga tengah bina otot di mana otot lagi berat dari lemak, jadi sebab itu tak nampak banyak sangat perubahan. Lagipun, menurut ‘personal trainer’ saya, jika saya bina otot ia boleh bakar lemak saya dengan lebih cepat malah bentuk badan juga akan nampak lebih kemas.


    “Lebih mengujakan, ramai yang tegur dalam Instagram, cakap saya dah nampak kurus dan bentuk muka saya pun nampak berbeza. Saya gembira dengan perkara ini dan saya harap akan lebih banyak berat yang akan berkurangan lagi. Di sini juga, saya ingin tegaskan, saya bukan buat semua ini untuk kelihatan kurus semata-mata, tapi saya buat kerana ingin mendapatkan kesihatan yang baik. Kalau boleh, saya tak nak kurus yang nampak sakit,” ujar Dina mengakui puas hati dengan keputusan yang dicapai.


    “Biarlah orang nak cakap apapun, namun secara peribadi, saya nampak sangat perubahan yang berlaku pada diri saya. Bagi saya, benda jadi lebih positif dan saya sangat puas hati dengan keputusan setakat ini. Jika dulu, saya sukar nak tidur, namun sekarang dah senang. Malah, kebelakangan ini, keyakinan serta kekuatan diri saya juga meningkat. Jika dulu ketika buat persembahan, saya tak boleh banyak bergerak kerana mudah penat, sekarang tidak lagi.


    “Kaki saya juga semakin kuat dan nak pakai kasut tumit tinggi pun tak ada masalah lagi. Dulu kalau menyanyi satu, dua lagu saya dah rasa semput, tapi sekarang lepas tiga lagu pun dah tak ada masalah untuk menyanyi sambil menari. Saya juga dah senang untuk bergerak malah baju lama pun saya dah boleh pakai,” ujar Dina seronok dan teruja dengan perubahan ini.

    Thursday, October 18

    Ancaman ‘racun putih’

    Oleh Dr Norman Mohd Norawi
     
    GULA menjadi satu ‘budaya’ dalam masyarakat Malaysia hari ini. Masyarakat kita terlalu bergantung kepada gula. Kenaikan harga gula akan menyebabkan kenaikan pelbagai jenis makanan dan minuman.

    Madu adalah bahan yang dikaitkan dengan kesihatan. Madu disebut dalam al-Quran sebagai satu makanan berkhasiat dan boleh dijadikan ubat. Kajian sains membuktikan fakta ini. Madu digunakan sejak zaman purba sebagai ubat dan merawat pelbagai jenis penyakit. Walaupun rasanya manis seperti gula, kesan kedua-dua bahan ini amat bertentangan dari aspek kesihatan. Sejarah gula di Malaysia bermula selepas era penjajahan British yang membawa produk ini ke negara ini. Sebelum abad ke-18, manusia hanya menggunakan madu sebagai pemanis dalam makanan atau minuman. Tebu dimakan secara terus untuk kemanisannya. Ahli sejarah percaya gula digunakan masyarakat di India 500 tahun sebelum masihi. Ia dihasilkan daripada tebu yang tumbuh secara semula jadi di negara itu. Ia dipanggil ‘khanda’ yang menjadi asal kepada perkataan ‘candy’ dalam bahasa Inggeris. Era penjajahan membawa kepada penghasilan gula secara industri dan hamba yang dibawa dari Afrika digunakan untuk berkerja di ladang tebu di barat. Gula dikilang pada abad ke-18 bermula dengan perladangan tebu di West Indies dan Amerika. Pada abad ke-19 gula mula dihasilkan dari ‘ubi bit’ yang lebih sesuai ditanam di negeri berhawa sejuk. Kini, gula menjadi suatu barangan yang ‘wajib’ dalam setiap rumah di seluruh dunia. Pengambilan gula meningkat dengan ketara. Tahun lalu, penghasilan gula dunia adalah 168 juta tan setahun. Secara purata setiap manusia menggunakan 24 kilogram (kg) gula setahun, iaitu 2kg gula sebulan. Kajian Persatuan Pengguna Pulau Pulau Pinang (CAP) mendapati masyarakat di negara ini menggunakan 27 sudu gula sehari. Ini berbeza dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan gula yang sihat ialah kurang dari 10 sudu gula sehari. Gula pasir putih atau sukrosa adalah bentuk gula paling biasa, tetapi bukan satu-satunya jenis gula. Bentuk-bentuk lain termasuk gula perang, fruktosa, maltosa, gula melaka, glukosa dan sirap mapel. Semua jenis gula ini adalah karbohidrat yang menjadi sumber tenaga utama dalam makanan. Menurut kajian saintifik, gula pasir dikaitkan dengan 60 jenis penyakit kronik seperti kencing manis, kegemukan, darah tinggi, masalah kolesterol, sakit jantung, strok, masalah buah pinggang dan osteoporosis. Gula mempunyai indeks glisemik (GI) yang tinggi, oleh kerana penggunaan gula yang amat tinggi dalam masyarakat kita maka ia menjadi punca kepada pelbagai penyakit. Makanan yang mempunyai GI yang tinggi adalah punca kepada masalah sindrom metabolik atau sindrom X. Fakta ini saya catatkan dalam buku saya, “8 Rahsia Menguruskan Badan Tanpa Berdiet”. Anda boleh melayari blog: doknorm.co.nr untuk maklumat lanjut. Di antara perkara yang tidak kita sedari adalah gula tersembunyi yang banyak di dalam makanan. Hampir semua makanan proses menggunakan gula. Kuih-muih, kek, biskut, coklat dan pastri amat kaya dengan gula. Minuman bergas dan kordial juga mengandungi gula yang tinggi. Tahukah anda minuman ‘3 dalam 1’ sarat dengan gula. Satu cawan minuman kopi putih dan malt coklat mungkin mengandungi tiga hingga empat sudu teh gula. Bayangkan, jika anda meminum hanya dua hingga tiga cawan minuman ini sehari. Anda pasti sudah melebihi had harian yang disyorkan oleh WHO. Ini belum lagi diambil kira beberapa jenis gula yang terkandung dalam makanan-makanan biasa anda. Pakar pemakanan terkenal, Dr William Coda Martin melabelkan gula sebagai ‘racun putih’ pada tahun 1957. Menurutnya gula adalah punca kepada pelbagai penyakit kronik kerana gula adalah karbohidrat tulen tanpa vitamin dan zat mineral. Oleh itu, gula akan ‘melahap’ vitamin dan garam mineral yang sangat berharga daripada tubuh manusia semasa proses metabolisme tubuh. Kajian sains terbaru yang dilaporkan dalam jurnal perubatan ‘Neuroscience’, pada 2008 mendapati gula mempunyai sifat seperti bahan ‘ketagihan’ yang menyebabkan penggunanya amat susah meninggalkan pengambilan gula setiap hari. Lebih banyak lagi kajian yang serupa dilaporkan dalam pelbagai jurnal perubatan yang boleh dirujuk pada laman PubMed di Internet. Kajian juga menunjukkan secara perlahan-lahan kemanisan gula semakin kurang dirasakan oleh lidah yang bermaksud pengguna gula akan memerlukan lebih banyak gula secara beransur-ansur untuk mendapat kemanisan yang sama. Terdapat juga pelbagai jenis gula sintetik yang mempunyai indeks glisemik (GI) yang sangat tinggi seperti Maltodekstrin yang banyak digunakan dalam makanan dan minuman proses yang ada dalam pasaran sekarang. Pengambilan gula sintetik ini adalah berbahaya kepada kesihatan kita. Oleh kerana itu tidak hairanlah masalah diabetis atau kencing manis amat tinggi sekarang. Menurut survey Kementerian Kesihatan yang dilaporkan NHMS I, pada tahun 1986 kadar pesakit diabetis adalah 6.9 peratus, dan jumlah itu meningkat dalam laporan NHMS III kepada 14.9 peratus pada tahun 2006. Ia selari dengan peningkatan penggunaan gula di Malaysia dari 85gm sehari pada tahun 1985 kepada 105gm sehari pada 2002. Kesimpulannya, peningkatan penggunaan gula di Malaysia adalah berkadar langsung dengan peningkatan jumlah pesakit diabetes atau kencing manis. Seiring dengannya adalah peningkatan masalah obesiti dan penyakit kronik lain seperti sakit jantung, kolesterol dan darah tinggi. Gula yang berlebihan akan disimpan sebagai lemak di dalam tubuh. Kadangkala kita terkeliru kerana menyangka lemak atau minyak menjadi punca kepada masalah kegemukan. Persoalan sama ada menaikkan harga gula akan menyebabkan pengurangan penggunaan gula masih boleh diperdebatkan, yang pastinya pendidikan bahaya gula lebih penting untuk mendidik masyarakat risiko kesihatan akibat pengambilan gula yang berlebihan. Justeru, mengurangkan penggunaan gula adalah cara terbaik untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik. Beransur-ansur kurangkan penggunaan gula dalam pemakanan harian kita hingga ke paras yang disyorkan iaitu kurang daripada 10 sudu gula sehari. Jika anda suka rasa manis, ambillah buah-buahan yang manis yang lebih sihat di samping kaya dengan vitamin dan garam mineral yang amat penting untuk fungsi tubuh manusia. Didiklah ‘lidah’ anda untuk mengurangkan rasa suka kepada benda manis. Kurangkan pengambilan makanan ‘proses’ untuk mengurangkan pengambilan gula tersembunyi. Kurangkan gula demi untuk kesihatan yang baik. Penulis ialah Pengamal Perubatan Am Pengkhususan Anti Penuaan & Perubatan Regeneratif

    Wednesday, October 17

    Astro, TM Dan ABN Akan Bersaing Dapatkan Hak Penyiaran Musim Baru EPL

    PETALING JAYA: Persaingan untuk mendapat hak penyiaran perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk tempoh empat tahun akan datang telah bermula.

    Telekom Malaysia Bhd (TM) telah menyatakan minat terhadap penyiaran EPL kepada StarBiz. Ini bermakna TM akan bersaing dengan pemilik dan penyandang hak penyiaran, Astro Malaysia Holdings Bhd.

    Kedua-dua pihak dikatakan pernah bersaing dalam pembidaan pada akhir tahun 2009 untuk EPL musim 2010-2012.

    Astro yang memenangi hak penyiaran pada masa itu dikhabarkan membayar sehingga RM800 juta. Harga yang dibayar dan nama-nama pembida untuk mendapatkan hak penyiaran EPL adalah sulit.

    Persaingan kali ini juga mungkin melibatkan pendatang baru Asia Broadcasting Network (ABN).

    Syarikat TV kabel digital yang masih belum melancarkan perkhidmatannya itu juga boleh menjadi pencabar dalam keperluan meningkatkan kandungan sukan yang disiarkan.

    "Kita tidak tahu berapa banyak pihak yang menunjukkan minat setakat ini, tetapi bidaan akan menjadi menarik untuk musim depan," kata naib presiden eksekutif media baru TM, Jeremy Kuang.

    "Kami sentiasa berminat dengan kandungan yang baik dan kami juga berminat dengannya. EPL adalah aset yang sangat baik yang akan membantu dalam menawarkan kandungan sukan," tambah Kuang.

    Astro bagaimanapun tidak memberikan respons terhadap pertanyaan StarBiz dan pemegang saham utama ABN Datuk Kenneth Eswaran tidak dapat memberikan komen.

    Minggu lepas, EPL telah menghantar e-mel kepada beberapa pembida berpotensi untuk memaklumkan kepada mereka bahawa proses bidaan untuk hak penyiaran telah ditetapkan dan bermula.

    Pembida yang berpotensi dan menunjukkan minat mempunyai sehingga 12 Oktober.

    Pihak yang berminat perlu mengemukakan tawaran mereka pada 8 November dan selepas itu akan diadakan 'e-auction pada November atau Disember.

    Tarikh sebenar 'e-auction' akan ditentukan kemudian.

    Pemenang akan diumumkan pada bulan Januari atau Februari dan pihak yang berjaya perlu membayar lima peratus daripada harga tawaran dalam tempoh 30 hari untuk mendapatkan hak.

    Terdapat tiga musim EPL, yang mana musim pertama bermula pada bulan Ogos 2013 sehingga Mei 2014, dan dua musim lagi pada bulan yang sama tahun 2014/15 dan 2015/16. Terdapat sejumlah 380 perlawanan untuk musim baru dan musim semasa yang berakhir pada suku kedua tahun 2013.

    Di peringkat global, penyiar membayar jumlah yang besar untuk mendapatkan kandungan bola sepak yang popular ini dan Singapore Telecommunications (SingTel) mendapat hak untuk perlawanan musim depan bagi stesen TV berbayar (mio TV), memberikannya kelebihan mendapatkan lebih ramai pelanggan berbanding pesaingnya, StarHub.

    Di Thailand, pihak yang berminat bersiap sedia untuk membuat tawaran bidaan dan begitu juga penyiar dan pemain media di Vietnam.

    Tiga bulan lalu, UK's BT dan BSkyB membayar £3bilion (AS $4.8 bilion) untuk hak tayangan Liga Perdana mulai tahun depan sehingga 2016, menyingkir keluar penyiar sukan ESPN, pesaing mereka yang berpangkalan di AS, menurut laporan.

    Persoalan bernilai jutaan dolar sekarang ialah; berapa banyak yang akan dibayar oleh pihak di Malaysia untuk mendapatkan kandungan ini.

    Malaysia mempunyai peraturan berhubung perkongsian kandungan penyiaran dan masih tidak jelas jika pihak yang menang akan berkongsi kandungan dengan penyiar lain.

    Di Singapura, SingTel dikecualikan daripada perkongsian.

    Tuesday, October 16

    Farid Kamil, Diana kahwin 3 November ini

    Pelakon dan pengarah terkenal, Farid Kamil mengakhiri teka-teki tarikh perkahwinan dengan tunangnya, Diana Danielle apabila mengumumkan majlis itu akan dilangsungkan pada 3 November ini.

    Farid membuat pengumuman tersebut ketika majlis pelancaran filem terbaharu arahannya iaitu Pe3 di Sunway Pyramid, Petaling Jaya dekat sini malam tadi.

    Farid, 30, berkata, dia dan Diana, 21, mengambil keputusan itu atas persetujuan kedua-dua pihak.

    Sunday, October 14

    Navigasi generasi baru

    pix_gal0

    MULAKAN destinasi anda dan serahkan navigasi keseluruhan perjalanan sama ada jauh atau dekat kepada produk Garmin terbaru iaitu nuvi 40LM.

    Mengapa nuvi 40LM boleh menjadi pilihan penggemar gajet Sistem Penentu Kedudukan (GPS). Ini kerana skrin sesentuh bersaiz 4.3 inci dan menyediakan maklumat tepat berkaitan selekoh demi selekoh berdasarkan sebutan nama jalan yang dikeluarkan menerusi skrinnya.
    Lebih menarik, pembeli diberikan kemas kini peta seumur hidup.
    Nuvi 40LM dimuatkan dengan tiga jenis peta iaitu City Navigator Navteq, Malsingmaps dan Malfreemaps. Kesemua peta ini boleh dikemas kini secara percuma dengan melayari laman web www.garmin.com.my

    Nuvi 40LM akan menyambut anda dengan dua pilihan mudah: “Where To?” dan “View Map”.

    Sentuh skrin untuk mencari alamat dan perkhidmatan serta mendapatkan panduan bagi mencari destinasi dengan bantuan suara, arahan selekoh demi selekoh dan nama jalan.

    Ketika memandu, nuvi 40LM mempamerkan penunjuk had laju bagi membantu anda memandu pada kelajuan yang sepatutnya ketika melalui kebanyakan jalan-jalan utama.

    Jangan bimbang jika ingin mengetahui lokasi terkini kerana dengan pengesan kecemasan “Where Am I?” dengan menekan ikon kereta di atas skrin, pengguna akan dapat tahu kedudukan balai polis dan hospital terdekat dengan pantas.

    Bukan itu saja, berjuta-juta lokasi kegemaran atau Point of Interest (POI) sudah dimuatkan dalam nuvi 40LM dan memberi peluang kepada anda untuk menambah sendiri.

    Selain itu, kemas kini peta seumur hidup, pemilik GPS ini akan sering mendapat peta paling terkini dan terbaru, POI dan maklumat navigasi di hujung cari.

    Kemas kini peta boleh dimuat turun sehingga empat kali setahun tanpa sebarang caj atau yuran kemas kini dan tiada tarikh luput.

    Pada harga sangat berpatutan iaitu RM445 bagi satu unit nuvi 40LM, pengguna tidak perlu berfikir panjang untuk memiliknya.

    Dalam pada itu, pengguna tidak perlu meneka lorong mana yang perlu diambil ketika menghampiri selekoh atau simpang. Nuvi 40LM menyediakan pilihan kawasan bandar, maklumat lorong dengan gambar asal simpang bagi memudahkan anda mengambil lorong yang betul ketika menghampiri atau keluar selekoh atau melalui persimpangan yang tidak biasa dilalui serta meneruskan perjalanan tanpa rasa bimbang.

    Nuvi 40LM juga memaparkan gambar sebenar jalan dan simpang sepanjang perjalanan dengan anak panah yang menunjukkan lorong betul untuk navigasi pemandu.

    Jika berminat, hubungi Aeco Technologies (M) Sdn Bhd di talian 03-92858062 atau Eric Emir di 016-9208062.

    INFO

    Ciri-ciri utama:


    - Maklumat terkini berkaitan jalan dan POI dengan kemas kini peta seumur hidup

    - Paparan laluan menerusi skrin sesentuh bersaiz 4.3 inci

    - Pencarian alamat untuk berjuta-juta POI

    - Sebutan nama jalan

    - Tahu lorong anda sebelum terlambat dengan maklumat lorong bersama gambar asal simpang

    - Mengelak daripada disaman dengan penunjuk had laju

    SPESIFIKASI

    DEMENSI UNIT, WXHXD:
    12.4x7.9x1.8 SM

    SAIZ PAPARAN, WXH:
    9.7x5.8 SM; DIAG 10.9 SM

    RESOLUSI PAPARAN, WXH:
    480x272 PIKSEL

    JENIS PAPARAN:
    WQVGA TFT

    BERAT
    148.0 GRAM

    BATERI:
    LITHIUM-ION BOLEH CAJ SEMULA

    JANGKA HAYAT BATERI:
    SEHINGGA DUA JAM

    MEMORI:
    2G NAND FLASH

    KAD DATA:
    MICROSD

    PANDUAN LALUAN/KEGEMARAN/LOKASI:
    1,000

    BANTUAN SUARA:
    ADA (SPEAKER DALAMAN)

    TAMBAHAN:
    PERALATAN STORAN USB SERASI DENGAN WINDOWS XP ATAU TERBARU DAN MAC OS X 10.4 ATAU TERBARU

    HARGA:
    RM445

    Nur Fetin pantang tengok puncak gunung



    SEKALI pandang, tiada siapa menyangka Nur Fetin Afiqah Ariffin gemar aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan berkhemah di dalam hutan.

    Kepada gadis berusia 22 tahun ini, alam semula jadi memberikan ketenangan sambil membentuk ketahanan mental dan fizikal.

    Semangat itulah yang memberinya kekuatan untuk mengendalikan tugas seharian sebagai Eksekutif Kewangan Maybank di Kuching.

    "Sebagai pekerja profesional, kita kena jaga etika dan menyerap tekanan ketika berurusan dengan pelbagai kerenah pelanggan," kata siswazah bidang Pengurusan dari Kolej Multimedia Sarawak ini.

    Bila tidak mendekati alam semula jadi, anak kelahiran Demak Baru, Kuching, Sarawak ini mengisi masa lapang dengan bermain boling. Dia juga menjadi model sambilan sebagai langkah awal untuk menjadi usahawan bidang fesyen.

    Walaupun gadis ini cerewet dalam memilih makanan atas alasan untuk menjaga badan, dia pantang menolak kalau disajikan laksa Sarawak bersama jus epal.

    Nur Fetin yang mempunyai ketinggian 158 sentimeter dan berat 52 kilogram turut gemar berkunjung ke pawagam. Gadis ini minat menonton filem seram.

    Thursday, September 6

    Joe Jambul kembali

    Oleh Syanty Octavia Amry
    soctavia@hmetro.com.my
    E-mel ArtikelCetak ArtikelTanda ArtikelBesarkan Saiz TeksKecilkan Saiz TeksKomen Artikel

    DI Mana Joe Jambul....itulah antara kata-kata yang sering terngiang-ngiang di telinga tatkala rancangan bercorak permainan itu ditamatkan rancangannya selepas lima tahun ke udara sejak ia mula diperkenalkan pada 1996.

    Rancangan berkonsep candawara dikelolakan Norzizi Zulkifli sebagai pengacara ketika itu benar-benar memberi kesan kepada kanak-kanak yang berusia 10 hingga 12 tahun yang begitu menggemari program penuh maklumat berkaitan sejarah dan geografi sebagai teras permainan utamanya.

    Selepas hampir 11 tahun dihentikan akibat masalah kemerosotan ekonomi, fenomena Joe Jambul kembali lagi apabila TV1 bakal menyiarkan rancangan berkenaan yang lebih padat dan penuh maklumat bermula 15 September ini.

    Memperkenalkan Khairil Azam Pilus atau Aril sebagai pengacara kali ini, program untuk musim kedua ini turut menambah dua subjek mata pelajaran seperti Matematik dan Sains berbanding dulu hanya Geografi dan Sejarah.

    Tidak hairanlah apabila rancangan berkenaan pernah memenangi Anugerah Rancangan Kanak-Kanak Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 1996 selepas fenomenanya terus menjadi sebutan dan boleh dikatakan hampir semua sekolah rendah menghantar penyertaan untuk terbabit sama.

    Menurut penerbitnya, Norsafaliza Mohd Yatim, pihak mereka sudah menjelajah ke semua sekolah di seluruh negara bagi mendapatkan wakil pelajar daripada setiap sekolah.

    Namun begitu, banyak penapisan perlu dilakukan dan pemilihan berdasarkan IQ, keaktifan dan keceriaan peserta dan keberkesanan serta ketrampilan pelajar dalam menyertai rancangan itu.

    “Tidak dinafikan ramai yang merindui rancangan ini, justeru selepas melihat waktunya sangat sesuai ketika ini, kami sepakat dengan produksi untuk memperkenalkannya semula dengan memberi nafas baru walaupun tiga segmen asal masih dikekalkan seperti Fail Siasatan, Kod Rahsia dan Jejak dan Tangkap.

    “Saya tidak mahu rancangan ini hanya menjadi hiburan kanak-kanak semata-mata kerana itulah kami menambah dua lagi subjek mata pelajaran supaya rancangan itu walaupun dalam bentuk hiburan, turut terselit ilmu pengetahuan,” katanya.

    Joe Jambul adalah rancangan permainan yang menubuhkan satu akademi penyiasatan khas yang diberi nama Akademi Detektif Nasional (ADEN) untuk menangkap geng Joe Jambul. Antara ahli akademi yang terbabit ialah Khairil Azam Pilus (sebagai Detektif Kanan) dengan dibantu Muhammad Syahmi Abdul Hamid (Detektif), Faizatul Hasanah Hussain (Miss V) dan Hazirah Hazali (Wartawan luar).

    Peserta rancangan terdiri daripada murid sekolah rendah dari seluruh Semenanjung yang akan mewakili sekolah masing-masing. Setiap minggu tiga pasukan (enam peserta) yang akan bertanding bagi melayakkan mereka untuk ke peringkat seterusnya. Mereka perlu sentiasa peka dan bijak dalam meneka kedudukan geng joe Jambul dengan melaksanakan tugasan yang diberikan.

    Untuk musim kedua ini, Di Mana Joe Jambul diterbitkan sebanyak 27 episod dengan sasaran penonton di kalangan kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun. Durasi siaran adalah selama 30 minit dan akan menemui penonton pada setiap hari Sabtu, jam 10 pagi di TV1.

    Sementara itu, Aril ketika ditemui berkata, dia sangat teruja apabila diberi kepercayaan mengacarakan rancangan permainan yang pernah popular satu ketika dulu.

    Walaupun yakin dia mampu melakukannya disebabkan sikap gila-gila dan suka mengusik kanak-kanak, tanggungjawab menggalas rancangan itu juga sangat besar apabila fenomena popular yang tercetus kadangkala merisaukan dirinya jika tidak dapat dilaksanakan.

    “Rancangan ini agak lama dihentikan, namun fenomena yang melanda masih menjadi sebutan sehingga kini terutama bagi mereka yang pernah menyaksikannya dulu. Pada saya, ia bukanlah satu perkara mudah untuk mengekalkan fenomena itu, namun saya berharap penyampaian yang saya bawakan dengan cara sendiri mampu memberi kesan yang positif kepada penonton.