Tentang Diri Saya: June 2014

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Friday, June 27

Suka duka dan demam Piala Dunia 2014


PENYOKONG-penyokong Brazil bersorak kegembiraan setelah pasukan itu meraih gol selepas menyaksikan siaran langsung bola sepak Piala Dunia 2014 melalui skrin TV yang disediakan di hadapan Restoran Hakim, Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini.
SUDAH dua minggu Piala Dunia 2014 berlangsung di Brazil dan dalam sehari dua lagi kita akan ketahui 16 pasukan yang akan layak bertarung untuk pusingan kedua.

Buat kita di Malaysia kita sekadar seronok menonton aksi hebat para pemain pasukan yang beraksi dalam Piala Dunia - suatu pertandingan sukan terunggul di dunia.

Menonton sahaja sudah merasa akan keseronokannya, itu belum lagi pasukan kita dapat beraksi di pentas tersebut.

Tidak diketahui bila kita dapat melihat kelibat pemain Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia. Jiran Asia kita, iaitu Jepun dan Korea Selatan sudah beberapa kali beraksi di sana.

Untuk layak ke Piala Dunia bukan perkara mudah sebagaimana segelintir daripada kita selalu fikirkan.

Ditambah pula permainan bola sepak kini telah banyak berubah dan berkembang maju dan untuk layak kita harus melipatkan gandakan usaha dan 'leapfrog' bagi membolehkan pasukan negara dapat berpeluang beraksi di Piala Dunia. Diharapkan kita tidak berputus asa dan akan terus berusaha bagi mencapai cita-cita tersebut.

Untuk ke Piala Dunia ada dua peringkat. Pertama, usaha melayakkan diri ke pentas pertandingan dan kedua, bagaimana sesebuah pasukan itu boleh mempamerkan aksi hebat dan berkualiti dan seterusnya dapat menjulang Piala Dunia.

Bukan semua pasukan boleh menjulang Piala Dunia, cuma pasukan yang terhebat di kalangan yang hebat sahaja dapat melakukannya. Jika pasukan kita dapat layak ke pentas Piala Dunia itu pun sudah cukup baik, ini pula berjaya menjulang piala keagungan bola sepak tersebut.

Kalah menang itu adalah perkara biasa dan asam garam dalam sesuatu pertandingan sukan. Kita akan melihat peminat dan pasukan yang akan bergembira apabila pasukannya menang dan bersedih jika pasukannya kalah.

Kita percaya di sebalik itu semua, semua pasukan inginkan kemenangan. Paul Byrant, jurulatih terhebat pasukan American Football, Green Bay Packers suatu ketika pernah berkata, " Kemenangan itu bukanlah segalanya, tetapi ianya penting".

Dalam pertandingan Piala Dunia, kita berpeluang melihat gaya dan aksi hebat sebilangan pemain dunia yang telah pun kita ketahui kehebatannya seperti Lionel Messi, Neymar Junior dan lain-lain.
Ada kalanya mereka menyinar ibarat permata di pentas Piala Dunia dan ada kalanya mereka tenggelam tidak seperti mana mereka beraksi pada peringkat kelab di Eropah dan Latin Amerika Selatan.

Harapan para peminat dan pasukan kepada pemain yang disifatkan sebagai 'ayam tambatan' ini amat besar sekali dan sudah tentu para pemain tersebut akan merasa tekanan teramat kuat ketika beraksi pada pentas Piala Dunia.

Walaubagaimanapun para pemain telah berlatih bersungguh-sungguh dan bermain dalam liga bola sepak terkemuka dunia, tekanan ketika beraksi di Piala Dunia amat berbeza sekali. Bukan sahaja para peminat dan para pegawai merasakan tekanan dan 'demam' Piala Dunia, para pemain lebih lagi akan merasainya.

Masih ingatkah kita lagi peristiwa pemain Colombia di pentas Piala Dunia 1994 lalu? Andres Escobar, pemain pertahanan pasukan Colombia yang beraksi di Piala Dunia 1994 yang menyebabkan pasukannya kalah kepada Amerika Syarikat melalui gol sendiri telah ditembak di pekan tempatnya, Medellin.

Selain itu, prestasi buruk pasukan England di Brazil terus mendapat kritikan hebat media British dengan melabel pasukan England seperti 'Sibodoh'.

Begitulah halnya asam garam dan suka duka Piala Dunia. Jika menang Piala Dunia sesebuah pasukan itu akan disanjung tinggi, dan dikecam hebat jika gagal melakukannya. Di sini pasukan Sepanyol terus dikecam kerana gagal untuk ke pusingan kedua dan mempertahankan Piala Dunia yang dimenanginya pada tahun 2010.

Harapan menggunung rakyat Brazil untuk pasukannya merangkul Piala Dunia di gelanggang sendiri kali ini sudah tentu amat besar sekali. Kita akan lihat akibatnya jika Brazil gagal melakukannya kerana mereka telah berbelanja besar bagi menganjurkan pertandingan berprestij ini.

Jika menang sekurang-kurang ia dapat melenyapkan rintihan rakyat Brazil yang inginkan pembangunan dan melihat penganjuran Piala Dunia 2014 itu sebagai suatu pembaziran.


PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Sains
Sukan dan Rekreasi UiTM, Kampus Seremban,
Negeri Sembilan.

Thursday, June 19

Sepanyol di ambang penyingkiran!

Ini bukan kali pertama sesebuah pasukan juara bertahan tersingkir di pusingan pertama Piala Dunia. Pasukan penyandang juara Piala Dunia nampaknya sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia kali ke-20 ini sesudah dua kali dimalukan oleh Belanda dan Chile yang masing-masing berkesudahan 5-1 dan 2-0! Buat penyokong pasukan La Roja, usah bersedih dan terimalah keputusannya..

Thursday, June 12

Demam Piala Dunia 2014 bermula di sini!

Awal pagi esok merupakan perlawanan pembukaan Piala Dunia kali ke-20 di antara tuan rumah Brazil dengan Croatia yang akan berlangsung di Sao Paulo, Brazil pada jam 4.00 pagi (waktu Malaysia). Nampaknya debaran dan virus Piala Dunia sudah lama menghinggapi sebahagian besar warga dunia untuk sama-sama menonton kesemua perlawanan berkenaan secara langsung menerusi kaca televisyen. Ada juga di antara bekas peminat rancangan realiti hiburan memilih untuk berhenti menonton rancangan berkenaan (sejak 2006 lagi) yang mana mata mereka tertumpu kepada siaran langsung bola sepak Piala Dunia. Bukan rancangan realiti hiburan sahaja dilupakan, malah semua rancangan realiti lain termasuk keagamaan pun turut dilupakan juga ekoran virus Piala Dunia yang menghinggapi sebahagian besar peminat kejohanan sukan terpenting di dunia itu. Selamat menonton Piala Dunia secara langsung!

Tuesday, June 10

Debaran Piala Dunia 2014 bermula minggu ini!

Tanggal 12 Jun hingga 13 Julai ini merupakan tarikh keramat bukan sahaja bagi kaki bola tegar, malah seluruh peminat bola sepak Piala Dunia termasuk saya. Nampaknya seluruh dunia sudah lama membuat susunan rancangan untuk menikmati semua perlawanan berkenaan secara langsung sambil bersamba sama ada dengan bercakap atau bermain bola ataupun apa sahaja yang berkaitan dengan sambutan demam bola sepak dunia setiap empat tahun sekali. Bagi yang sudah ada Astro, silalah ke saluran 821 (bagi pengguna Astro biasa/Njoi) atau 841 (Astro Beyond) untuk memastikan sama ada anda melanggan Pas Khas Piala Dunia atau sebaliknya (bagi yang bukan pelanggan Pakej SuperSport). Yang tak ada Astro, sila-silakanlah ke kedai mamak atau mana-mana tempat yang ada Astro, itupun kalau anda percaya RTM hanya tayang 24 perlawanan secara langsung saja, selain Media Prima tak tayang Piala Dunia secara langsung. Pengusaha kedai atau restoran nampaknya sudah mula memasang TV atau layar gergasi yang kebanyakannya dipasang Astro kerana mereka kebanyakkannya memilih untuk menayangkan segala acara sukan utama termasuk bola sepak Piala Dunia, bukannya menayangkan segala macam rancangan realiti hiburan yang sudah tidak relevan lagi sejak 2006. Musim Piala Dunia sejak dahulu lagi merupakan masa untuk memulaukan atau menentang sambutan Hari Bapa yang sejak awal lagi sudah tidak relevan lagi dan jatuh setaraf dengan Hari Ibu dan Hari Kekasih serta April Fool. Peringkat kumpulan bagi Piala Dunia kali ini nampaknya akan memasuki bulan Ramadan selepas itu, di mana bermula pusingan kedua peminat beragama Islam bakal bersahur sambil menonton secara langsung kejohanan ini. Akhir kata, selamat menikmati Piala Dunia dan elak-elakkan daripada berjudi sempena Piala Dunia ini. Jangan rosakkan kemeriahan Piala Dunia dengan amalan berjudi.

Monday, June 9

Projek DTT lahir TV masa depan

Kuala Lumpur: Malaysia bakal menerima pembangunan prasarana pembangunan teknologi televisyen terestrial digital (DTT) menjelang 2016, sekali gus menjadi negara paling ke depan mengguna pakai teknologi berkenaan dalam kalangan negara ASEAN.

Projek pembangunan prasarana teknologi DTT adalah transformasi sistem analog televisyen ke teknologi digital yang laksanakan Puncak Semangat Sdn Bhd (PSSB) untuk membina, mengendali dan menguruskan infrastruktur dalam tempoh 15 tahun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, projek berkenaan diberikan kementeriannya kepada PSSB menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak lapan minggu lalu.

Beliau berkata, pengenalan televisyen digital membolehkan rakyat mendapat faedah dari segi penambahan saluran siaran, membantu meluaskan ruang perniagaan di televisyen, kualiti audio dan visual dipertingkatkan serta menggalakkan perkembangan industri kandungan di Malaysia.

“Projek DTT adalah salah satu projek dirancang kerajaan bagi mencapai status negara maju menjelang 2020 memandangkan ia termasuk di dalam usaha meningkatkan penggunaan teknologi industri.

“Saya difahamkan dengan adanya DTT, saluran siaran mampu bertambah kepada 80 saluran dan ini memberi faedah kepada kita semua untuk menikmati maklumat dan hiburan,” katanya pada majlis pelancaran projek televisyen digital di sini, baru-baru ini.

Friday, June 6

Malaysia jadi perintis perkhidmatan penyiaran DTT



Malaysia bakal mempunyai perkhidmatan penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTT) menjelang tahun 2016 dan sekaligus menjadi negara Asean yang menerajui bidang ini menurut kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata saluran TV percuma yang dikenali sebagai MYTV merupakan sebahagian daripada agenda transformasi kerajaan bagi keperluan sistem penyiaran digital.

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"DTT yang berasas kepada teknologi baru bukan sahaja merangkumi liputan menyeluruh tetapi juga dapat meningkatkan kualiti industri kandungan dengan lebih maju," katanya seperti yang dipetik daripada laporan media tempatan.

DTT bakal dilaksana melalui empat fasa bermula Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Januari 2015, fasa 2 merangkumi Sabah dan Sarawak dan fasa 3 bermula di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala fasa terakhir bakal meliputi Selangor, Lembah Klang, Putrajaya serta semua kawasan bandar.

Selain itu, projek ini juga akan dimulakan di kawasan pendalaman kerana ingin menyediakan kemudahan terkini kepada rakyat bawahan berikutan modul itu lebih mudah memandangkan cabaran teknikal untuk bertukar daripada sistem analog kepada digital adalah besar.

"Kami berharap untuk memiliki 100 hingga 200 saluran dalam pasaran dan boleh membangunkan lebih banyak saluran pada masa akan datang," katanya.

Merujuk kepada United Kingdom yang mengambil masa selama 12 tahun untuk memiliki saluran penyiaran digital sendiri, beliau optimis terhadap projek DTT negara dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun seperti yang dirancang dengan memperlihatkan pengalaman Malaysia yang pernah melalui proses itu.

Penantian 4 tahun berakhir di sini! (2014)

Penantian kejohanan sukan terbesar dunia selama empat tahun berakhir di sini, di mana kejohanan bola sepak terpenting di dunia, Piala Dunia akan memasuki edisi ke-20 dan akan berlangsung di Brazil dari 13 Jun hingga 14 Julai ini! Bahana Piala Dunia sudah lama dirasakan di seluruh dunia sejak berminggu-minggu lagi di mana Piala Dunia kali ini menyaksikan seluruh dunia bersamba sehingga perlawanan akhir yang akan berlangsung di Stadium Maracana, 14 Julai ini, jam 3.00 pagi waktu Malaysia. Ada di antara peminat setia bola sepak memilih untuk cuti sakit, menghindarkan diri dari menghadiri ujibakat mana-mana rancangan realiti agar dapat menyaksikan setiap perlawanan secara langsung. Di Malaysia, bagi yang tidak melanggani siaran berbayar seperti Astro sejak 2006 lagi, mereka memilih untuk menonton di kedai/restoran mamak atau mana-mana venue yang dipasang Astro semata-mata untuk menayangkan setiap perlawanan secara langsung dalam definisi tinggi (HD). Sejak 2006 lagi semua jenis rancangan realiti termasuk hiburan dan keagamaan (seperti AF dan Akademi al-Quran) sentiasa tenggelam akibat Piala Dunia setiap kali ia berlangsung di mana orang kebanyakan lebih menumpukan perhatian terhadap Piala Dunia berbanding segala jenis rancangan realiti berkenaan. Media Prima (MPB) sekali lagi tidak menyiarkan Piala Dunia secara langsung buat kali kedua sejak 2010 lagi dan peminat harus menerima keputusan hak penyiaran Piala Dunia oleh sesebuah saluran TV. Piala Dunia kali ini sekali lagi bakal menjadi bahan pertikaian oleh mereka yang tidak melanggani Astro apabila ada antara perlawanan tertentu yang tidak disiarkan secara langsung oleh mana-mana saluran TV percuma seperti RTM yang mana mereka lebih suka bercerita tentang hak penyiaran kejohanan tersebut berbanding setiap perlawanan yang disiarkan secara langsung. Cuma perlawanan pembukaan, peringkat separuh akhir, tempat ketiga dan perlawanan akhir sahaja disiarkan oleh TV biasa sejak 2006 lagi. Piala Dunia kali ini juga merupakan kali ketiga nyawa Piala Dunia masih di tangan Astro dan ini memaksa peminat yang tidak melanggani Astro untuk menonton di restoran/kedai mamak atau mana-mana tempat yang dipasang Astro. Dinasihatkan buat yang merantau di rumah yang ada Astro, elak-elakkan daripada balik kampung sehingga peringkat suku akhir! Akhir kata, selamat menikmati Piala Dunia dan majulah sukan untuk negara.

Tuesday, June 3

Percuma 2 juta set isyarat TV

Kuala Lumpur: Puncak Semangat Sdn Bhd (Puncak Semangat), penyedia kemudahan rangkaian dan infrastruktur TV teresterial digital (DTT) negara akan menawarkan dua juta set kekotak penerima isyarat (set-top box) untuk diagihkan secara percuma kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Pengarah Projeknya, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob berkata, tawaran terbabit adalah sebahagian syarat yang perlu dipenuhi syarikat apabila berjaya memperoleh konsesi untuk membangunkan DTT daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 16 April lalu.

“Pemilihan bagi individu yang bakal menerima set kekotak ini akan dilakukan melalui senarai individu daripada program e-Kasih dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M),” katanya pada majlis sidang media mengenai DTT di sini, semalam.

Puncak Semangat adalah syarikat yang berjaya memperoleh konsesi selama 15 tahun bagi membangunkan kemudahan rangkaian dan infrastruktur DTT daripada tiga syarikat yang disenarai pendek oleh SKMM pada bulan lalu.

Beliau berkata, individu yang tidak terpilih untuk menerima kekotak penerima isyarat perlu membeli sendiri peralatan terbabit bagi mendapatkan siaran televisyen digital yang memiliki kualiti gambar dan bunyi lebih baik.

Menurutnya, syarikat tidak menetapkan harga bagi set kekotak itu kerana ia masih berada pada peringkat perbincangan.

di mana mereka sedang meneliti kertas kerja dan permohonan daripada 200 syarikat tempatan dan antarabangsa yang berminat untuk menghasilkan dan mengedarkan peralatan terbabit.

“Apa yang pasti, harganya akan berada pada tahap mampu milik, sekali gus memberi kemudahan kepada orang ramai untuk menikmati dan memanfaatkan kemudahan siaran TV digital,” katanya.

Puncak Semangat akan memulakan pelaksanaan perkhidmatan DTT dalam empat fasa bermula Januari 2015 dan ia dijangka menawarkan siaran pertama seawal 17 April 2015.

Syarikat itu dijangka melengkapkan peralihan siaran televisyen daripada sistem analog kepada digital bagi seluruh negara dalam tempoh dua tahun akan datang seperti yang ditetapkan SKMM, sekali gus memenuhi sasaran untuk memastikan 98 peratus daripada populasi rakyat di Malaysia akan menerima siaran terbabit menjelang Jun 2016.

Dalam perkembangan sama, Puncak Semangat memperuntukkan perbelanjaan modal melebihi RM2 bilion bagi melaksanakan pembangunan DTT di negara ini sepanjang tempoh konsesi terbabit.

Monday, June 2

10 hari lagi penangan Piala Dunia bermula!!

Tanggal 13 Jun hingga 14 Julai ini merupakan tarikh keramat bukan sahaja kaki bola, malah peminat bola sepak Piala Dunia yang tidak ketinggalan untuk mengikuti setiap perlawanan secara langsung. Yang sama sekali tidak minat/suka bola terpaksalah bersabar sepanjang tempoh tersebut. Nampaknya keenakan tidur malam sekali lagi terganggu dengan Piala Dunia yang sebahagian besarnya berlangsung di antara jam 12 tengah malam hingga awal pagi waktu Malaysia sehingga peminat di Malaysia dan yang sewaktu dengannya memilih untuk bersengkang mata mengikuti perlawanan secara langsung. Ada juga dalam kalangan peminat Piala Dunia memilih untuk berkampung di rumah saudara/sepupu yang ada Astro sehingga peringkat suku akhir (separuh akhir, tempat ketiga dan perlawanan akhir ada di TV biasa). Peminat Piala Dunia pun perlu bersabar kerana kejohanan tersebut bukannya selalu, cuma 4 tahun sekali. Lainlah kalau segala macam rancangan realiti TV tiap-tiap tahun ada. Majoriti yang menonton secara langsung Piala Dunia di kedai mamak atau mana-mana venue (termasuk restoran) yang dipasang Astro sejak 2006 lagi mestilah tidak berlanggan dengan Astro, kerana selain RTM hanya menyiarkan 24 perlawanan secara langsung, Media Prima pula dikhabarkan tidak menyiarkan Piala Dunia secara langsung. Kalau begitu, jom boikot Media Prima masa siaran langsung Piala Dunia! Selamat menghadapi Piala Dunia!