Tentang Diri Saya: July 2014

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Thursday, July 31

Transformasi penyiaran bawa penonton ke era baru

MASIHKAH ingat lagi sewaktu mula-mula menonton siaran televisyen warna pada akhir dekad 1970-an dahulu? Seisi kampung meriah berkumpul di rumah jiran untuk menumpang menonton program Puspawarna, rancangan pertama yang disiarkan dalam bentuk warna pada 28 Disember 1978.

Dunia waktu itu terasa bertambah ceria, apabila drama kesukaan tidak lagi ditonton sekadar hitam putih.

Tidak lama selepas itu, satu lagi sejarah dilakar apabila stesen swasta pertama dilancarkan. Dengan tema Berita Terkini, Hiburan Sensasi, pada 1984, saluran TV3 mula dipancarkan di Lembah Klang dan disiarkan di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

Pada ketika itu, menjadi satu agenda bagi mereka yang di luar Kuala Lumpur untuk menonton TV3 apabila tiba di ibu negara. Ini adalah satu lagi kemajuan bidang penyiaran yang meninggalkan kesan yang mendalam dalam kehidupan seharian masyarakat pada waktu itu.

Kini, akan tiba satu lagi transformasi yang bakal membawa perubahan besar bagi televisyen terestrial negara kita, apabila apa yang dipaparkan ke kaca televisyen bagi siaran ke udara percuma (free to air broadcasting) bukan lagi dalam bentuk analog, tetapi ditambah baik kepada sistem digital. Arial televisyen tidak lagi perlu dinaikkan di atas bumbung atau diubah kedudukannya bagi mendapatkan siaran yang jelas.

Sebaliknya, transformasi baru ini akan memudahkan kehidupan, apabila arial hanya perlu diletakkan di sebelah televisyen untuk mendapatkan kualiti gambar dan suara dalam bentuk digital yang jauh lebih baik dari apa yang ditonton sekarang.

Pelbagai lagi ciri baru akan diperkenalkan bagi membuatkan pengalaman menonton televisyen menjadi lebih menarik, antaranya ialah pengaturcaraan pelbagai saluran, panduan program elektronik (EPG) dan sistem audio pelbagai bahasa yang kini tiada di kaca televisyen penonton siaran tanpa bayaran.

Adalah dijangkakan dalam tempoh lima tahun lagi, sebanyak 80 saluran boleh dipilih oleh penonton, hasil usaha transformasi dalam Penyiaran Terestial Televisyen Digital atau Digital Terrestial Television Broadcasting (DTTB). Melalui teknologi digital, lebih banyak saluran pendidikan, hiburan dan maklumat disediakan, tanpa mengabaikan nilai-nilai budaya masyarakat pelbagai etnik kita.

Yang lebih penting, DTTB akan mengubah gaya kehidupan masyarakat dengan kemudahan interaktif yang mampu ditawarkan. Pengalaman baru akan dirasai apabila televisyen di rumah bukan sahaja digunakan sebagai alat menonton berita atau drama, tetapi boleh digunakan untuk menyenangkan kehidupan mereka.

Contohnya, DTTB akan membolehkan penonton, dari ruang tamu atau bilik tidur mereka, dengan mudahnya menggunakan alat kawalan jauh televisyen mendapatkan perkhidmatan internet terpilih, memuat turun lagu atau aplikasi pilihan, membeli-belah dari rumah (home shopping), membayar bil, bermain permainan video, mengikuti e-pembelajaran dan pelbagai lagi aplikasi interaktif yang sebelum ini tidak pernah ada di kaca televisyen.

Kesemua ini boleh dilakukan tanpa perlu menggunakan kombinasi telefon. Penonton juga tidak perlu terikat dengan jadual penyiaran rancangan kegemaran, sebaliknya boleh memilih masa menonton mengikut kesesuaian masing-masing.

DTTB adalah satu agenda transformasi kerajaan bagi sistem penyiaran pendigitalan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kawalan selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, dan dibantu oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd sebagai penyedia infrastruktur.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah pun mengumumkan pelaksanaan DTTB ini akan dilakukan secara berperingkat, bermula dari Pantai Timur pada April 2015. Kerajaan juga menyasarkan bahawa 98 peratus penduduk negara ini akan menerima siaran terestrial digital percuma pada 2016.

Pelbagai sebab mendorong kerajaan untuk membawa siaran digital ke seluruh pelosok negara, antaranya adalah keupayaan untuk merapatkan jurang digital di luar dan dalam bandar. Sebagai contoh, teknologi siaran digital akan membolehkan televisyen digunakan sebagai satu perantaraan untuk mendapatkan informasi atau pembelajaran, apabila pelbagai saluran khas, seperti pendidikan, kesihatan, pertanian dan kewangan boleh dibawa kepada penonton di seluruh ceruk negara secara percuma.

Ahmad Shabery juga berkata, RTM yang sekarang ini hanya memiliki dua saluran sedang mempertimbangkan menambah sekurang-kurangnya lima saluran, contohnya saluran khas berita, sukan dan kanak-kanak. Pastinya, ini akan membawa manfaat besar kepada rakyat Malaysia, terutamanya bagi yang kurang berkemampuan untuk melanggan siaran televisyen berbayar.

Pada masa sama, sektor DTTB yang dinamik juga akan mempertingkat daya inovasi, reka bentuk, hasil cipta dan pasaran produk baharu untuk menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara. Antara lainnya, penambahan saluran akan menggalakkan lebih banyak lagi pembekal kandungan (content provider) untuk siaran televisyen yang akan bersaing menyajikan hanya yang terbaik.

Kualiti program tempatan yang dihasilkan sudah tentunya akan dapat dipertingkatkan dan berpeluang untuk dipasarkan di peringkat antarabangsa dan menjadi satu hasil eksport negara. Kebolehan penonton berinteraksi dan memberi respons terhadap rancangan yang ditonton secara spontan dengan hanya menggunakan alat kawalan jauh televisyen tanpa perlu terikat dengan langganan bayaran bulanan adalah simbol kuasa pilihan penonton yang sebenar; dan inilah yang akan mendorong peningkatan kualiti kandungan penyiaran di Malaysia.

Semua ini bukanlah perkara baru di dunia. Teknologi televisyen digital adalah satu evolusi dalam bidang penyiaran yang bermula seawal 1980-an lagi di negara maju.

Peralihan dari analog ke digital buat kali pertamanya berjaya dilaksanakan secara sepenuhnya di Belanda pada 2006. Sejak itu, kebanyakan negara di seluruh dunia bertukar ke siaran terestrial digital dan menutup penyiaran analog. Sebagai contoh, di benua Eropah, rangkaian DTTB kini menawarkan lebih 2,000 saluran televisyen yang ditonton oleh lebih kurang 250 juta penduduk di sana.

Melihat pula kepada negara-negara yang lebih berdekatan dengan Malaysia berbanding dengan benua Eropah, banyak yang telah menutup siaran analog seperti Jepun, Korea Selatan, New Zealand dan Australia yang kini menumpukan usaha menyediakan bukan hanya kandungan siaran digital tetapi juga berdefinisi tinggi (HD).

Ada pula negara yang sudah pun memulakan proses untuk bertukar dari siaran analog ke terestrial digital melalui peralihan menyeluruh atau sebahagian, antaranya Thailand, Myanmar, Singapura, Indonesia, Vietnam, Filipina, Cambodia, China, Iran, Mesir, India, Qatar, Brunei dan Arab Saudi.

Ini semua sudah pastinya akan menjadi titik perubahan dalam masyarakat, dan akan terciptanya satu lagi lanskap penyiaran baharu yang bakal menjadi anjakan paradigma bagi sektor penyiaran di negara kita.

PENULIS ialah Ketua Pegawai Komersial, MYTV Broadcasting Sdn. Bhd.

Friday, July 18

Pesawat MH17 sah terhempas!

Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi nahas pesawat MAS MH17 yang mengorbankan 298 orang yang terdiri daripada 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat tersebut disahkan terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia kira-kira jam 12.15 waktu Amsterdam (Belanda).

Berikut adalah senarai warganegara penumpang: -

Belanda (154)
Malaysia (45 termasuk 15 kru dan 2 bayi)
Australia (27)
Indonesia (12, termasuk 1 bayi)
UK (9)
Jerman (4)
Belgium (4)
Filipina (3)
Kanada (1)
Belum disahkan (41)

Info Grafik

Monday, July 14

Jerman juara Piala Dunia ke-20!

Jerman akhirnya muncul sebagai juara Piala Dunia buat kali keempat bagi edisi ke-20 selepas menumpaskan pasukan Argentina dengan berkesudahan 1-0 sesudah masa tambahan. Pasukan Jerman merupakan negara ketiga menjulang Piala Dunia di luar benua selepas Brazil pada 1958 (edisi ke-6) dan Sepanyol pada 2010 (edisi ke-19). Tahniah diucapkan buat penyokong-penyokong Jerman dari serata dunia dan semoga bertemu lagi di Piala Dunia kali ke-21 Rusia 2018! Selamat tinggal Piala Dunia ke-20 Brazil 2014!

Sunday, July 13

Orang kita dan Piala Dunia

*AWAL pagi esok – kira-kira jam 3.00, menjelang waktu imsak – pasukan bola sepak Jerman dan Argentina akan berentap sakan – orang Kelantan kata ‘bercawat kote’ – untuk menentukan siapakah juara Piala Dunia Fifa musim ini.

Tidak kira siapa yang menang, bagi berjuta-juta peminat seluruh dunia, berakhirlah sudah hari-hari dan malam-malam yang penuh ketegangan selama kira-kira sebulan, di mana tuan rumah Brazil menjadi tajuk berita utama setiap hari.

Bagi kita di Malaysia, penutup ‘World Cup’ di Rio bererti tamatlah episod para pekerja lewat ke pejabat, berdengkur waktu bekerja, dan merosotlah bisnes MC @ cuti sakit dalam kalangan doktor tidak beretika.

Berhenti jugalah keluhan dan rintihan para isteri – termasuk yang baharu kahwin – yang kecewa setiap malam sebab tidak dipedulikan suami gara-gara asyik menonton siaran langsung dari Brazil.

Tetapi, tidak semestinya kita berhenti berjaga malam. Meski tiada lagi siaran langsung, kita amat digalakkan bangun tidur lewat malam. Bukan untuk bola tetapi untuk bertahajud dan meningkatkan ibadat, terutama semasa Ramadan.

Awal al-Mubarak kita telah dilatih berjaga malam untuk Rio, kini tibalah masa kita berjaga untuk ALLAH. Jangan tinggalkan isteri, ajak sekali dia bersujud. Mudah-mudahan Ramadan ini kita menemui malam seribu bulan.

*WALAUPUN sehingga kini pasukan kita belum mampu beraksi di Piala Dunia, acara di Brazil kali ini telah meletakkan nama Malaysia sebagai berita antarabangsa, tetapi – malangnya – dalam bentuk negatif.

Itulah gara-gara kemenangan Jerman di peringkat separuh akhir yang dikaitkan dengan Hitler. Ada orang kita yang terlalu ghairah dan terlebih syok apabila Jerman berjaya menewaskan Brazil 7-1, lalu ber‘tweet’: “WELL DONE..BRAVO...LONG LIVE HITLER”.

Orang itu ialah Datuk Bung Moktar. Apa yang disebut dalam Twitter itu mencetuskan kontroversi dan disebarkan oleh agensi-agensi berita antarabangsa – BBC, Times, dan The Washington Post – untuk menjadi berita dunia.

Duta Jerman ke Malaysia, H.E Holger Michael mengatakan kenyataan anggota Parlimen Kinabatangan itu sebagai tidak boleh diterima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun nyata tidak senang, dan menegaskan: “Komen yang dibuat oleh Datuk Bung Mokhtar salah dan tidak boleh diterima. Dia tidak bercakap bagi pihak Malaysia...”

*BUNG akhirnya memohon maaf: “Saya tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan orang Jerman. Dengan ini saya dengan ikhlas memohon maaf.”

Kata YB berkenaan kepada akhbar: “Saya ingat orang sekarang kena transformasi fikiran. Apa sahaja yang saya tweet orang akan hentam saya. Mereka bukan hentam saya kerana Hitler, tetapi sebab saya Bung Mokhtar.”

Saya ingat Bung pun perlu transformasi fikiran. Beliau sepatutnya tahu membezakan apa yang sensitif, apa yang tidak. Tidak boleh cakap ikut suka hati, tidak boleh bergurau main bantai sahaja. Sebab beliau bukan tukang cuci longkang tetapi seorang Ahli Yang Berhormat.

Baik dalam Parlimen, dalam laman sosial dan dalam apa sahaja, sebagai wakil yang dipilih rakyat beliau perlu berhemah dan kena menjaga kata-katanya. Hatta, dalam kelambu pun kalau cakap tidak betul, beliau mungkin ditendang hingga jatuh katil.

*ADA sebuah kampung di tempat kita yang tiba-tiba menjadi popular di laman sosial setelah kemenangan besar Jerman ke atas tuan rumah Brazil. Kampung tersebut menjadi bualan, dan gambar papan tanda kampung berkenaan disebarkan di internet.

Menurut berita yang disiarkan sebuah stesen radio popular, penduduk kampung tersebut akan mengadakan kenduri besar sekiranya pasukan Jerman menjadi juara Piala Dunia awal pagi esok.

Itulah Kampung Parit Jerman di Pontian Johor. Syabas kepada penduduk asal yang membuka kampung tersebut sebab memilih nama yang tepat untuk kampung berkenaan.

Sebenarnya selain Parit Jerman, banyak kampung kita yang menggunakan nama negara asing, seperti Kampung Kongo, Kampung Siam, Kampung Portugis, Kampung New Zealand dan lain-lain.

*AKHIR kalam, ada yang bertanya pasukan mana yang saya sokong pada perlawanan akhir Piala Dunia. Tentu sekali saya menyokong Jerman, sebab sejak lahir saya memang keturunan Jerman. Sesetengah orang menyebut Jawa sebagai ‘Jerman!’

TOK PERAK

Brazil akhirnya dapat tempat keempat Piala Dunia ke-20!

Tuan rumah Brazil akhirnya menamatkan saingan di tempat keempat sesudah tewas 0-3 di tangan Belanda yang akhirnya menduduki tempat ketiga dalam saingan Piala Dunia kali ke-20 ini! Walau bagaimanapun, tahniah buat seluruh penyokong Brazil kerana dapat membawa skuad Selecao ke separuh akhir yang menyaksikannya tersungkur di tangan Jerman 7-1 tempoh hari.

Thursday, July 10

Jadual Perlawanan Piala Dunia ke-20 hujung minggu ini (Tempat ketiga dan akhir)

Berikut adalah jadual perlawanan penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir Piala Dunia ke-20 Brazil 2014:

Tempat Ketiga
Brazil lwn Belanda - 13 Julai, 4.00 pagi

Akhir
Jerman lwn Argentina - 14 Julai, 3.00 pagi

Kedua-dua perlawanan tersebut akan disiarkan secara langsung oleh RTM menerusi saluran TV2 bersama-sama TVi (saluran 180 Astro)

Wednesday, July 9

Jerman mara ke perlawanan akhir, Brazil tersungkur lepas tewas 1-7!

Nampaknya impian seluruh rakyat Brazil dan penyokong-penyokong Samba untuk mejulang trofi Piala Dunia kali keenam tidak kesampaian apabila tewas 1-7 di tangan Jerman, disebabkan tiadanya bintang sensasi Neymar yang bergelut dengan kecederaan sesudah dirempuh pemain Colombia masa suku akhir tempoh hari serta kelemahan pertahanan skuad Selecao. Kepada seluruh rakyat Brazil dan penyokong-penyokong skuad samba, jangan menangis, usah bersedih..