Sebaik tiba di Happy Farms Hippotherapy Malaysia di Bukit Kiara,
Kuala Lumpur kelihatan seorang jurupulih cara kerja, Nurirdiyana Idros,
40, sedang mengetuai juruterapi menjalankan sesi terapi berkuda
Hippotherapy membabitkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Mereka dilihat begitu 'enjoy,' fokus dan komited dalam memastikan sesi terapi selama 45 minit itu berjalan lancar.
Kanak-kanak lelaki itu dilihat begitu selesa dan gembira biarpun diminta melakukan pelbagai aktiviti sambil menunggang kuda jenis Polo pony bernama Dancer.
Dancer dilihat seolah-olah mengetahui kanak-kanak yang dibawa sedang
menjalani sesi terapi memberi kerjasama yang baik dengan mengikut arahan
yang diberikan.
Nurirdiyana bukan calang-calang individu kerana menjadi rakyat
Malaysia pertama yang memperoleh sijil Hippotherapy di negara ini dan
masih aktif sehingga hari ini.
Pencapaian membanggakan ini membolehkan Nurirdiyana diiktiraf Buku Rekod Malaysia (MBOR) sebagai First Certified Hippotherapy Practitioner dan Longest Serving Certified Hippotherapy Practitioner pada 20 Jun 2024.
Selain itu, dia turut menerima pengiktirafan daripada British Publishing House sebagai antara individu tersenarai dalam buku 'Successful People in Malaysia and Singapore edisi 2025' yang akan diterbit dan ditempatkan di kebanyakan perpustakaan awam di Malaysia dan Singapura.
Hippotherapy adalah satu pendekatan terapi menggunakan pergerakan berirama dan berulang dari kuda bagi merangsang sistem sensori, motor dan emosi kanak-kanak untuk membantu membina keseimbangan, kekuatan otot, postur yang lebih baik serta keyakinan diri. Ia kaedah intervensi yang berkesan untuk kanak-kanak dengan autisme dan isu perkembangan neurologi lain.
Pendekatan ini hanya boleh dijalankan jurupulih cara kerja, jurupulih
pertuturan-bahasa, atau fisioterapis yang bertauliah dan terlatih dalam
bidang Hippotherapy.
PEMBABITAN Nurirdiyana dalam bidang Hippotherapy bermula dengan minatnya melakukan aktiviti menunggang kuda dan minat mendalam bekerja membabitkan kanak-kanak.
Nurirdiyana berkata, pembabitannya dalam bidang Hippotherapy bermula dengan minatnya melakukan aktiviti menunggang kuda.
Katanya pada masa sama, dia juga mempunyai minat yang mendalam untuk bekerja membabitkan kanak-kanak dan percaya dengan kepakaran yang dimilikinya dapat memberi impak positif dalam perkembangan dan kehidupan mereka.
"Biarpun memiliki peluang bekerja di dalam hospital, saya lebih suka bekerja di luar. Jadi, saya mula dengan menyediakan perkhidmatan terapi pergerakan autisme menggunakan muzik dan tarian.
"Minat dengan hobi menunggang kuda yang bermula sebagai penunggang biasa, membawa saya menemui dunia Hippotherapy," katanya.
Justeru, pada 2014, Nurirdiyana mengambil langkah berani dengan terbang ke Cape Town, Afrika Selatan sendirian untuk mengikuti kursus pascasiswazah dalam bidang Hippotherapy menggunakan duit poket sendiri.
"Bukan mudah diterima masuk ke program ini kerana memerlukan
pengalaman bekerja sebagai juruterapi. Pengalaman bekerja sebagai
juruterapi selama lebih lapan tahun memudahkan saya diterima masuk ke
program berkenaan.
"Selepas 10 minggu menjalani kursus intensif di sana, saya kembali ke Malaysia dan memulakan perkhidmatan Hippotherapy menggunakan kuda milik sepupu," katanya.
Kemudian, ibu kepada seorang anak ini membuka Happy Farms Hippotherapy Malaysia dengan hanya lima pelajar pada hujung minggu dan terus berkembang dari semasa ke semasa sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, perjalanan Nurirdiyana tidak mudah kerana perlu berdepan pelbagai cabaran untuk menyediakan perkhidmatan itu di negara ini termasuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkenaan keistimewaan terapi itu.
"Selain itu, kos operasi perniagaan ini agak tinggi dan memerlukan sumber kewangan yang agak besar pada setiap bulan. Pada masa sama, bayaran dikenakan tidak boleh terlalu tinggi supaya lebih ramai dapat memanfaatkan perkhidmatan ini," katanya.
Beliau bersyukur suaminya, Kamadev Sonamuthu yang juga seorang doktor, menjadi penyokong utama untuk dia terus berkecimpung dalam bidang itu.
"Suami juga tidak keberatan 'menaja' sesi percuma kepada keluarga pesakit kurang berkemampuan.
"Walaupun ada pihak yang mengambil kesempatan, kami tetap berpegang pada matlamat utamanya untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada terapi ini," katanya.
Tambahnya, untuk bekerja dalam bidang ini selain memiliki kelayakan profesional, seseorang itu perlu memerlukan karakter seperti 'seekor kuda' termasuk keberanian, kesungguhan, memiliki kekuatan daripada segi fizikal dan mental, tidak mudah berputus asa dan boleh kerja berpasukan.
"Karakter inilah yang membolehkan kami membawa harapan dan perubahan
positif kepada kehidupan kanak-kanak istimewa, sekali gus menjadikan
Hippotherapy satu bidang yang bermakna dan memberi impak besar kepada
masyarakat," katanya.
Baginya, di sebalik setiap cabaran yang dihadapi, melihat perubahan positif pesakit dan senyuman yang terukir di wajah ibu bapa pesakit memberi kepuasan dan keseronokan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Saya masih ingat seorang bapa berbadan sasa mengalirkan air mata sambil menyatakan hasratnya mahu anaknya dapat bermain bola dengannya. Kini, kanak-kanak itu sudah belajar di sebuah sekolah antarabangsa.
"Momen-momen indah ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.
Sebagai seorang perintis, Nurirdiyana mempunyai impian besar supaya bidang Hippotherapy dimasukkan ke dalam kurikulum universiti bagi melahirkan lebih ramai ahli terapi bertauliah.
"Saya bercita-cita untuk mengembangkan pusat Hippotherapy ke seluruh negara bermula dari wilayah tengah, selatan, utara, Sabah dan Sarawak," katanya.
No comments:
Post a Comment