Tentang Diri Saya: Jiwa kembara berpadu sains bawa Nur Alia kaji bakteria di Antartika

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Saturday, April 12

Jiwa kembara berpadu sains bawa Nur Alia kaji bakteria di Antartika

 


Nur Alia ketika bekerja di makmal University of Southampton.


PELUANG menjejakkan kaki ke benua Antartika untuk mengkaji bakteria antara sebahagian daripada kisah menarik saintis dan penyelidik kebanggaan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Nur Alia Johari ini.



Oleh kerana minat mendalam terhadap bidang sains, ia membawa Nur Alia ke merata tempat sehingga ke Kutub Selatan.

Pengalaman menarik Pensyarah Kanan dan Ketua Makmal Penyelidikan Kolaboratif Mikrobiologi Lanjutan (AMCRL), Universiti IMU dikongsikan sebagai inspirasi kepada wanita muda lain untuk menyahut cabaran dalam dunia sains.

Wanita kecil molek ini pada awalnya disandarkan harapan keluarga untuk menjadi doktor perubatan, namun takdir mempunyai jalan cerita tersendiri.

Dorongan untuk menyelidik sesuatu dengan lebih mendalam bermula daripada keinginan DNur Alia untuk memahami punca ekzema yang dialaminya serta rangkaian tindak balas yang berlaku pada kulitnya.





Gambar kenangan Nur Alia ketika bekerja di lapangan di Antartika.

Ternyata minat yang ketara terhadap butiran terperinci itu membolehkan beliau mendalami bidang pilihan iaitu sains bioperubatan.

Namun, beliau masih bergelar 'Dr' selepas menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) biar pun bukan doktor perubatan seperti diinginkan keluarga.

Pada usia 34 tahun, Nur Alia kini mengumpulkan pelbagai pengalaman mengagumkan.

Beliau menyertai universiti itu pada 2015 sebagai pensyarah ketika berusia 24 tahun dan kemudian dilantik sebagai Pegawai Biokeselamatan (BSO) untuk Jawatankuasa Biokeselamatan Institusi IMU (IMU-IBC).

Seterusnya pada 2019, Nur Alia dilantik sebagai ketua fasiliti penyelidikan AMCRL di universiti itu dan kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan.

Sepanjang tempoh itu, Nur Alia menerbitkan kajian dalam jurnal berprestij seperti The Lancet Infectious Diseases dan PLOS Neglected Tropical Diseases (PLOS NTDs) iaitu sebuah jurnal akses terbuka yang memfokuskan pada kajian penyakit tropika terabai.

Terbaharu, beliau menerima Anugerah Penyelidik Muda bagi salah satu penyelidikan terbaik di Kongres Asia ke-11 Mengenai Penyakit Berjangkit Pediatrik di Hong Kong, China.

Di sana, beliau membentangkan penemuan awal universiti itu mengenai kajian 'Streptococcus pneumoniae' dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Menurut Nur Alia, ketika pengajian sarjana muda dalam bidang kesihatan global di Imperial College London, beliau belajar melihat sesuatu dalam konteks lebih luas seperti faktor risiko sesuatu penyakit, siapa paling terjejas dan bagaimana mendapatkan rawatan sesuai kepada mereka yang memerlukannya.

Beliau dapati ia sesuatu yang menarik jika dapat memahami bagaimana penyakit merebak dan konteks di sebaliknya.

Ketika meneruskan pengajian sarjana dalam bidang kesihatan awam di universiti sama, Nur Alia mempelajari kemahiran pemetaan penyakit menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS).

Dengan kemahiran itu, beliau dapat menganalisis data 90,000 kanak-kanak di Yaman yang menghidap skistosomiasis iaitu penyakit yang menyerang usus dan saluran kencing akibat jangkitan cacing parasit.

"Saya tidak dapat pergi ke sana sendiri kerana ketika itu berlaku konflik semasa kebangkitan Arab di Timur Tengah.

"Tetapi, sekiranya berpeluang, saya pasti senang hati ke negara itu dan berada sendiri di lapangan.

"Kajian itu diterbitkan bersama rakan penyelidik dari Kementerian Kesihatan Awam dan Populasi Yaman yang memberikan gambaran pertama mengenai mudarat anemia dalam kalangan kanak-kanak sekolah di negara berkenaan," katanya.

Sekembali ke tanah air, Nur Alia menyertai universiti terbabit dan beliau menyelesaikan PhD dalam sains perubatan dan kesihatan.

Penyelidikan kedoktoran beliau tertumpu pada epidemiologi denggi di Malaysia dengan mengkaji jaringan faktor risiko yang terbabit.

Sepanjang kajian, Nur Alia mengumpul sampel jentik-jentik setiap dua minggu selama setahun dari 18 rumah di Lembah Klang.

Kehadirannya yang kerap di komuniti terbabit menyebabkan ada kanak-kanak menggelarkan Nur Alia sebagai 'jie-jie nyamuk' (kakak nyamuk), manakala kereta beliau dikenali sebagai 'kereta nyamuk' kerana dipenuhi ratusan sampel jentik-jentik.

Jelas Nur Alia, kajian seperti itu penting kerana ia menambah pengetahuan mengenai denggi di Malaysia.

"Ia adalah inti utama dalam tugasan saya iaitu menilai dan memahami beban penyakit di kawasan tertentu dengan matlamat membantu program kawalan penyakit di peringkat nasional serta merancang intervensi kesihatan awam yang lebih berkesan dan relevan.

"Ini yang saya mahu lakukan, menggunakan ilmu dan kemahiran yang ada di tanah air sendiri.

"Kesihatan awam sangat bergantung kepada konteks setempat, di mana setiap konsep atau intervensi perlu disesuaikan dengan komuniti yang terbabit dan sebagai orang tempatan, kita berada dalam kedudukan terbaik untuk melakukannya," katanya.

Nur Alia berkata, penyelia penyelidikannya, Profesor Patricia Lim adalah wanita yang kuat dan hebat.

Melalui beliau, Nur Alia mempelajari betapa penting berpegang teguh kepada apa yang ingin dilakukan dengan kesabaran, tetapi pada masa sama tegas dan berani bersuara.

Semua itu banyak membantu Nur Alia berdikari ketika menyertai ekspedisi penyelidikan ke Antartika.

"Bekerja di tempat terpencil, di mana saya satu-satunya wanita di pangkalan membuatkan saya menyedari perlu bersikap berterus terang dengan pasukan jika ada perkara yang membuat saya tidak selesa atau jika ada hal yang boleh saya perbaiki.

"Apatah lagi sejak kecil ibu sentiasa berpesan untuk berani bersuara dan berpegang teguh pada pendirian," katanya.

Mengimbau cabaran di Kutub Selatan itu, kongsi Nur Alia, beliau menyertai ekspedisi ke Antartika bersama British Antarctic Survey (Bas) sebagai saintis lapangan selepas dipelawa rakan sekerjanya.

Terinspirasi oleh mendiang Profesor Chu Wan Loy yang menerajui penyelidikan kutub di Universiti IMU, beliau terus menyahut peluang itu memandangkan Antartika adalah makmal semula jadi dan tempat terbaik untuk mengkaji bagaimana komuniti bakteria berinteraksi.

Beliau ditempatkan di Stesen Penyelidikan Signy untuk musim panas 2019/2020 bersama enam anggota lain yang semuanya lelaki.

"Dalam perjalanan ke selatan menaiki kapal RRS James Clark Ross, ada juga saintis wanita lain, tetapi saya satu-satunya wanita Asia (dan Malaysia) yang pergi ke selatan bersama Bas pada ketika itu.

"Ia benar-benar satu pengalaman yang mengubah hidup saya," katanya yang mengakui cabaran terbesar bukan fizikal semata-mata, tetapi bagaimana berhadapan pelbagai personaliti dalam pasukan.

Menurut Nur Alia lagi, mereka perlu menyesuaikan diri untuk hidup di pangkalan selain turut dan dalam kerja manual seperti mengecat dan membaiki struktur serta memasak untuk satu sama lain.

Sebelum ekspedisi, Nur Alia menghabiskan masa seminggu di pinggir bandar Cambridge iaitu di ibu pejabat Bas UK bagi mendapatkan sijil dalam teknik kelangsungan hidup peribadi.

"Mereka mempunyai kemudahan mensimulasi ombak dan hujan serta mengajar cara terjun meninggalkan kapal dari platform setinggi tiga meter dan bagaimana untuk membalikkan rakit penyelamat dalam air.

"Selain itu, kami juga diajar kelangsungan hidup dan kemahiran mendaki gunung seperti berlatih berjalan atas ais dan glasier menggunakan 'crampons' (alat cengkaman yang dipasang pada kasut) serta kapak ais sambil membawa peralatan penuh seberat 20 hingga 25 kilogram," katanya yang mengakui semua latihan itu menjadikan badan lebih berstamina dan cergas.

Sementara itu, ketika Nur Alia berlepas ke Kutub Selatan pada November 2019, virus COVID-19 belum merebak ke seluruh dunia.

Selepas lima bulan mengharungi cuaca sejuk melampau, beliau kembali ke Malaysia tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun, tanpa berehat panjang, Dr Nur Alia turut mendaftar sebagai sebahagian daripada pasukan ujian COVID IMU ketika dalam perjalanan pulang iaitu ketika belayar atas kapal selama dua minggu.

Kata beliau, ketika itu makmal kesihatan awam negara tidak mampu menampung jumlah sampel yang semakin meningkat, lalu mereka meminta bantuan institusi lain.

"Kami adalah institusi swasta pertama yang tampil secara sukarela untuk membantu membuat ujian saringan.

"Keadaannya agak menakutkan kerana pemahaman terhadap virus itu masih terhad.

"Bermakna kami perlu lebih berhati-hati dan semua orang terpaksa memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dengan begitu rapi," katanya yang menganggap ia adalah kenangan berharga dan tidak mudah dilupakan.

Beliau juga mengakui wanita hari ini bukan asing lagi dalam bidang sains dan teknologi kerana menjadi penyumbang utama yang sama penting seperti lelaki.

Katanya, saintis dan penyelidik tanpa mengira jantina, masing-masing dengan kekuatan serta kemahiran tersendiri dapat menyumbang kepada kemajuan sains.

"Peluang dalam bidang ini sebenarnya sangat luas dan tidak terbatas, lebih-lebih lagi dengan kemajuan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan penggunaan data besar.

"Menceburi bidang sains dan mencari cabang yang sesuai dengan minat mungkin memerlukan masa kerana anda perlu meneroka setiap aspek bagi memahami kesesuaiannya.

"Namun, apabila sudah menemui bidang yang diminati, terus terjun ke dalamnya dengan sepenuh hati dan jadikan idea serta pemikiran anda sebagai satu realiti," katanya.

No comments:

Post a Comment