Tentang Diri Saya: Korban doktor demi lilin

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Sunday, February 9

Korban doktor demi lilin

 


DR Nad bersama lilin wangian yang dikomersialkan.


SELEPAS lima tahun bergelar doktor veterinar, wanita 35 tahun ini mengambil keputusan 'keluar' dari status yang dipandang tinggi dalam masyarakat.

Segala-galanya untuk mencipta kehidupan lebih baik dalam kerjaya iaitu bergelar usahawan.

Meskipun ada yang menentang langkahnya bergelar usahawan kerana melihat status doktor itu lebih menarik, tetapi Nurul Nadia Rashid terus berjalan tanpa menoleh ke belakang.

Sebenarnya dia yang lebih mesra disapa Dr Nad meskipun tidak lagi mempraktikkan bidang kedoktoran haiwan, mula terbabit dalam bidang keusahawan secara tidak sengaja.

Ketika dia masih bergelar doktor veterinar, sebaik sahaja pulang ke rumah dia mahukan bau wangi dan menenangkan.

Kemudian dia mula mempelajari untuk membuat lilin wangi menerusi laman sosial untuk kegunaan peribadi.

Dr Nad berkata, ketika itu dia masih berkhidmat sebagai doktor veterinar dan membawa hasil lilin yang dibuatnya ke klinik untuk mencipta wangian di ruang kerja.

"Kemudian, rakan-rakan sekerja mula bertanya untuk membelinya dan ada juga pelanggan yang bertanya. Bertitik tolak dari situ, permintaan dari semasa ke semasa bertambah. Saya masih ingat jualan bulan pertama sekitar RM1,600.

"Sehinggakan pendapatan sampingan daripada hobi itu sahaja melebihi gaji bulanan yang saya terima. Saya boleh membayar komitmen bulanan dengan hanya menjual lilin wangian ini. Selepas itu, saya mengambil keputusan berhenti dan ingin fokus perniagaan lilin ini," katanya.

Namun, keputusan yang dibuat itu dilihat tidak tepat kerana masih bertatih dalam mengurus perniagaan dan memohon semula kerja dalam bidang sama.

"Akhirnya pada 2019, saya nekad berhenti kerja kali kedua, mempelajari teknik perniagaan dengan betul dan fokus kepada perniagaan lilin wangian. Ketika itu, saya mempunyai 30 pekerja, dari hanya beroperasi di rumah saya mempunyai kilang sendiri di Batu Pahat, Johor," katanya.

Katanya, dia sendiri tidak menyangka hanya menjual lilin wangian mampu mencipta perolehan sehingga lapan angka setahun dan permintaan dari masa ke masa sentiasa ada.

"Saya gemarkan wangian daripada lilin, ketika itu lilin yang benar-benar wangi dijual pada harga mahal di Malaysia dan saya melihat, membuatnya sendiri lebih berbaloi.

"Jadi, saya ingin memberi pengalaman kepada peminat wangian daripada lilin di Malaysia mendapatkan lilin yang setanding jenama premium, tetapi mampu milik. Mungkin disebabkan itu, lilin saya mendapat perhatian daripada pembeli tempatan," katanya.

Jelasnya, sebagai pemilik perniagaan pasang dan surut dalam bidang itu sentiasa ada dan dia perlu bijak dalam menguruskan cabaran dalam kerjaya berkenaan.

"Pada awal saya hanya fikirkan untuk mengembangkan tanpa mempunyai ilmu untuk mempertahankannya. Sebab itu, orang selalu kata untuk mulakan mudah, tetapi untuk pertahankan sukar.


DR Nad hanya berguru menerusi media sosial untuk menghasilkan lilin wangian.

"Jadi, saya sering mendapatkan nasihat daripada rakan usahawan supaya dapat mempertahankan perniagaan ini termasuk langkah yang perlu diambil jika perniagaan mengalami cabaran supaya saya dapat mempertahankannya," katanya.

Katanya, perkara paling penting ialah jangan mengubah gaya hidup supaya kelihatan mewah ketika perniagaan dalam keadaan baik kerana ia adalah 'musuh' yang boleh meranapkan perniagaan dalam senyap.

"Saya hingga hari ini tidak pernah menukar kereta baharu walaupun jualan saya mencecah lapan angka dan tidak pernah untuk rasa bermewah-mewah kerana sentiasa fikirkan perlu ada simpanan sekiranya berlaku sesuatu dalam perniagaan.

"Kini kilang milik saya bukan sahaja mengeluarkan lilin wangian, tetapi juga produk wangian lain seperti wangian untuk kenderaan," katanya.

Kembali bercerita mengenai kisahnya meninggalkan kerjaya sebagai doktor veterinar katanya, ketika dia berhenti kerja hanya suami yang tahu mengenainya.

"Keluarga saya dapat tahu melalui satu temu bual pihak media dan mereka agak terkejut dengan jawapan saya. Jadi, pada awalnya mereka tidak dapat menerima keputusan saya berhenti kerja.

"Melihat menjual lilin ini tidak setanding dengan status kerjaya sebagai doktor. Saya jujurnya juga kadangkala terikut-ikut dengan persepsi masyarakat yang meletakkan 'kasta' dalam pilihan kerjaya, dengan merasakan status doktor itu amat penting. Meskipun dari segi pendapatan menjadi usahawan menjual lilin wangian ini lebih baik," katanya.

Jelasnya, perkara lebih penting adalah sentiasa percaya kepada keputusan yang diambil dan ia akan membantu untuk menjadikan seseorang itu terus maju dalam kerjaya baharu yang dipilih.

"Saya rasa menjadi usahawan ini mempunyai banyak cabaran walaupun dari segi mencipta pendapatan lebih baik dan ada masa yang lebih fleksibel untuk anak-anak.

"Lebih penting ialah jangan menukar gaya hidup supaya nampak lebih mewah untuk menunjukkan kejayaan kita kepada orang lain. Perkara ini penting untuk masa depan perniagaan," katanya.

No comments:

Post a Comment