“TIDAK timbul isu monopoli siaran langsung Piala Dunia. Saluran TV percuma (FTA) juga akan tayangkan perlawanan di Brazil cuma ia hanya melibatkan perlawanan tertentu sahaja," demikian penjelasan Pengarah Urusan Espirit Media Sdn Bhd (pemegang hak siaran eksklusif Piala Dunia 2014), Datuk Ahmad Zaharul Annuar mengenai monopoli stesen TV berbayar Astro yang kini menjadi saluran TV tunggal yang berjaya mendapat hak penyiaran secara langsung kesemua 64 perlawanan Piala Dunia 2014 di Brazil, Jun ini.
Menurut Ahmad, peminat tidak perlu bimbang kerana stesen TV percuma akan menyiarkan siaran langsung Piala Dunia termasuk perlawanan pembukaan.
Malah katanya, bagi perlawanan tumpuan yang tidak disiarkan secara langsung, peminat masih boleh menyaksikannya menerusi siaran ulangan.
"Ini (monopoli) tidak benar. Saya bagi contoh, pada 2010 RTM diberi hak sebagai penyiar berlesen bagi Piala Dunia Afrika Selatan.
"Ketika itu, RTM menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.
"Cuma kali ini, kita belum lagi mengumumkan saluran TV percuma yang diberi hak sebagai penyiar berlesen," katanya.
Pada masa sama, Ahmad menjelaskan Astro diberi hak penyiaran secara langsung kesemua 64 perlawanan Piala Dunia kerana tidak berdepan masalah dari segi pertindihan program TV.
“Peminat perlu faham, saluran TV berbayar seperti Astro memiliki keupayaan untuk menyediakan saluran tambahan. Berbeza FTA yang ada kekangan dari segi jumlah saluran.
"Itulah sebabnya hanya beberapa perlawanan siaran langsung sahaja ditayangkan di saluran TV percuma. Faktor masa siaran dan jadual program TV di saluran TV percuma perlu diambil kira.
"Tapi secara dasarnya, mereka yang tidak memiliki Astro masih boleh mengikuti Piala Dunia 2014 di saluran TV percuma," katanya.
No comments:
Post a Comment