Tentang Diri Saya: December 2013

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Tuesday, December 31

Selamat tinggal 2013!

Hari ini adalah hari terakhir warga bumi berada di tahun 2013! Alhamdulillah.... Sudah empat tahun azam saya untuk berhenti mengundi peserta rancangan realiti hiburan tercapai sejak 2010 lagi kerana ia tidak mendatangkan faedah satu kali pun. Azam saya pada 2014 nanti adalah untuk tidak lagi mengikuti pelbagai rancangan hiburan yang berasaskan nyanyian, tarian dan juga gossip-gossip hangat. Berikut adalah senarai portal hiburan yang boleh dilayari setiap hari tanpa perlu menunggu program-program hiburan berkenaan: -

1) Sensasi Selebriti
2) Oh Bulan!
3) Izyan.com
4) Beautiful Nara
5) Oh Artis!
6) My Artis
7) Rotikaya
8) Buahmulut.com
9) Tupai.com.my
10) Murai.com.my
11) Gua.com.my

Monday, December 16

Bhg II: Memori televisyen era 80-an & 90-an



Suatu masa dahulu, di era 80-an dan 80-an, sebelum TV disiarkan 24 jam, sebelum wujudnya ASTRO, sebelum adanya Internet, Facebook, YouTube dan permainan video yang canggih, zaman kanak-kanak anda tetap menghiburkan, tetap nostalgik dan tetap zaman yang paling bermakna dalam hidup anda.

Selain daripada Mighty Mouse, Full House, Saved by the Bell, X-Men dan Captain Planet seperti yang dinyatakan dalam Bahagian I, tentu semua orang juga pernah menonton program-program di bawah:

Smurfs



Sekumpulan makhluk biru yang tinggal di dalam rumah cendawan, dimusuhi seorang ahli sihir dan kucingnya. Bunyinya seperti imaginasi seorang pelukis yang khayal ganja, bukan? Tapi kartun terbitan Hanna-Barbera yang diilhamkan oleh pelukis Belgium, Peyo ini tetap menjadi kartun kegemaran ramai.

Dengan nama-nama watak seperti Papa Smurf, Barber Smurf, Hefty Smurf, Brainy Smurf dan Smurfette, tiada siapa yang mengingati setiap satunya tetapi ramai yang mengumpul koleksinya. Dan lagu tema yang mudah dinyanyikan itu sentiasa menjadi sebahagian daripada nostalgia zaman kanak-kanak anda.

Moero Attack



Siapa sangka bahawa satu masa dahulu permainan bola tampar akan menjadi kegilaan ramai? Tapi itulah yang berlaku apabila J-dorama ciptaan Shotaro Ishinomori ini berjaya membuatkan semua orang terpaku di depan kaca televisyen, malah cuba meniru teknik tamparan watak utama siri ini sambil melaungkan "Joon, somersault!"

Kisah seorang gadis bernama Kojika Jun yang ingin menjadi pemain bola tampar kebangsaan ini juga bukan hanya popular di Jepun dan Malaysia, malah menjadi inspirasi kepada pasukan bola tampar China untuk memenangi Piala Dunia Bola Tampar pada tahun 1981.

G.I. Joe



Angkat tangan jika anda menonton kartun ini tanpa benar-benar memahami ceritanya tentang apa. Suatu masa dahulu, ketika tiada banyak saluran pilihan dan tidak banyak pilihan yang ada untuk budak lelaki, kanak-kanak seluruh Malaysia menonton G.I. Joe tanpa benar-benar memahami siapakah G.I Joe ini.

Mengikut sejarahnya, kartun G.I. Joe tidak bermula sebagai idea sebuah animasi, tetapi merupakan siri patung permainan keluaran Hasbro pada tahun 1964. Ketika itu, Hasbro ingin menghasilkan sesuatu buat budak lelaki selepas mendapat ilham daripada populariti patung Barbie untuk budak perempuan.

Disebabkan pihak Hasbro merasakan perkataan 'anak patung' itu tidak sesuai dengan budak lelaki, maka ia diberi gelaran 'figura aksi' atau 'action figure'. Pada tahun 1985, barulah kartun pertamanya dikeluarkan, sebelum wujudnya komik dan filemnya.

Duck Tales



Adakah kita terlalu kekurangan kartun sehinggakan kisah pengembaraan bapa saudara Donald Duck, Uncle Scrooge dan tiga orang cucu saudaranya pun boleh menjadi hiburan?

Duck Tales merupakan kisah pengembaraan si jutawan Scrooge McDuck, bersama tiga cucu saudaranya yang nakal - Huey, Dewey dan Louie. Donald Duck sendiri mungkin muncul sekali-sekala, dengan watak-watak sekunder lain seperti juruterbang khas Scrooge Launchpad McQuack, butlernya Duckworth, si pencipta Gyro Gearloose, dan musuhnya Beagle Boys.

Tapi tak kisahlah apa pun pengembaraan Scrooge yang seterusnya, apa yang bermain di kepala setiap kanak-kanak setiap kali mendengar lagu tema dan montaj pembukaan kartun ini adalah "Seronoknya dapat lompat dalam kolam syiling emas!"

The Fresh Prince of Bel-Air



Will Smith macam tak berubah, kan? Dari era Will sebagai penyanyi hip-hop Fresh Prince, ke zaman sitkom dan komedi, sehinggalah dia mula serius dalam bidang lakonan, Will Smith masih kelihatan seperti si budak nakal dari West Philly yang dihantar ke rumah ibu dan bapa saudaranya di rumah agam Bel-Air, Los Angeles untuk pendidikan yang lebih baik.

Dari tiga orang sepupunya Carlton si ulat buku, Hillary yang dungu dan manja, serta si bongsu Ashley yang ingin bebas seperti Will, bapa saudaranya Phillip yang tegas lagi kedekut, dan ibu saudaranya Vivian yang penyayang, sehinggalah si butler Geoffrey yang sarkastik, dunia anda diwarnai kegilaan rumah agam keluarga Banks yang berpunca dari kehadiran Will.

Oh, dan jangan lupa lagu temanya, 1...2...3...! "Now this is the story all about how, my life got flipped turned upside down, and I’d like to take a minute just sit right there, I’ll tell you how I became the prince of Bel-Air!"

Mighty Morphin Power Rangers



Suatu masa dahulu, siri wira berlima kesayangan ramai ini pernah mencetus kontroversi kerana penggunaan perkataan ‘morphin’. Malah di sekolah ramai yang cuba untuk tidak menyebut perkataan 'morphin' kerana 'Emak kata morfin tu dadah, tak boleh sebut!' (sedangkan sudah jelas ejaannya berbeza), malah RTM juga memadamkan perkataan tersebut setiap kali lagu temanya dimainkan.

Tak kira apa pun isunya, anda dan adik-beradik anda pasti bergaduh ingin menjadi watak apa. Si abang mungkin mahu jadi Jason si Power Ranger merah, dan kakak anda pula mahu menjadi Kimberly si Power Ranger merah jambu. Adik-adik anda mungkin bergaduh berebutkan watak Tommy si Power Ranger hijau yang pandai seni bela diri. Tiada siapa mahu jadi Power Ranger Biru atau Hitam kerana merasakan mereka tidak cukup hebat.

Tiada siapa juga peduli dengan pertarungan antara Power Rangers dengan pengikut-pengikut Rita Repulsa atau Lord Zedd kerana anda cuma mahu mereka semua memanggil kuasa mereka untuk bertukar menjadi robot hebat pada klimaks cerita!

Go go, Power Rangers!

Ultraman Ace



"Hokuto!"
"Minami!"
Lalu lagu Ultraman Ace pun berkumandang, sebelum kedua-dua watak ini mencantumkan cincin mereka dan menyeru kehadiran si wira gagah Jepun tersebut.

Tiada siapa peduli sama ada raksasa yang ditentang Ultraman Ace nampak agak plastik dan tiada siapa peduli persekitaran di mana Ultraman dan si raksasa bertarung itu nampak tidak realistik langsung. Yang penting Ultraman ada untuk menyelamatkan dunia. Kalau francais Ultraman tidak hebat, tidak mungkin ia masih bertahan sehingga kini!

Mengikut ceritanya, makhluk interdimensi bernama Yapool telah menyerang bumi dengan senjatanya, Verokron dan menyebabkan kematian dua orang mangsa, Seiji Hokuto dan Yuko Minami. Sebelum mereka mati, lima Ultra Bersaudara - Ultraman, Zoffy, Ultra Seven, Ultraman Jack, and Ultraman Ace telah memutuskan untuk menghidupkan semula kedua-dua insan tersebut kerana usaha mereka menyelamatkan kanak-kanak dari serangan Yapool sebelum kematian mereka, sekaligus menjadikan mereka wakil yang akan menyeru kehadiran Ultraman Ace.

Ya, itu plotnya.

Doraemon



Doraemon bagaikan wira semua kanak-kanak di seluruh dunia. Malah kucing robot dari masa hadapan ciptaan pelukis komik Fujio Fujiko ini juga menjadi simbol harapan buat orang ramai. Membesar dengan Doraemon merupakan satu nostalgia paling manis.

Siapa yang tidak teringin untuk memiliki Doraemon mereka sendiri, kembali ke masa lalu melalui mesin masa yang tersembunyi di dalam laci meja Nobita, melihat pemandangan dari langit dengan helikopter kepala, ke mana saja dengan pintu suka hati dan menyimpan apa saja dalam poket serbaguna Doraemon?

Malah ramai yang boleh memahami perasaan seorang budak bernama Nobita yang seringkali bernasib malang, tidak pandai dalam pelajaran, dibuli oleh Giant dan Suneo, dan dalam diam menyukai kawan baiknya, Shizuka.Sememangnya benar, “Totte mo daisuki, Dorae-monnn!”

Rainbow Brite



Selain daripada My Little Pony, Care Bears dan Moondreamers, animasi ini juga sangat berwarna-warni, seolah-olah pelukisnya tahu setiap perkara tipikal yang disukai budak perempuan, dari kostum yang berwarna-warni (namanya pun Rainbow Brite!), watak-watak yang comel seperti Wisp, Twink dan The Color Kids, pemandangan latar sehinggalah ke lagu temanya yang sungguh manis.

Ia bermula dengan kisah seorang gadis yang bernama Wisp yang telah dibawa masuk ke sebuah daerah yang tidak berwarna dan diberi misi untuk mencari Sfera Cahaya. Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan seekor sprite bernama Twink dan seekor kuda bernama Starlite, menyelamatkan tujuh Color Kids, menemui tali pinggang hikmat yang boleh menewaskan Raja Kegelapan sekaligus dinaikkan sebagai Rainbow Brite.

Ya, masa anda masih kecil, anda tidak peduli dengan semua cerita itu. Anda cuma mabuk pelangi.

Thundercats



Lagu tema apakah yang boleh menandingi kehebatan lagu tema "X-Men"? Tentu sekali lagu Tema "Thundercats". Malah sebaik sahaja anda mendengar lirik "Thundercats are on the move, Thundercats are loose!", anda rasa bersemangat untuk menonton kisah sekumpulan wira felin yang dianggotai Lion-O, Tygra, Panthro, Cheetara, Willykit dan Willykat yang menentang kejahatan Mumm-Ra.

Semuanya hebat, dari animasi "Thundercats" itu sendiri, pengkarakteran setiap watak dari si semangat suci Jaga ke kejahatan Mumm-ra, lagu temanya, sehinggalah ke lakon suara yang menarik. Jadi, tidakkah anda tertanya-tanya mengapa masih belum ada filem aksi langsung siri ini?

Oh, dan jangan lupa lirik yang sering dinyanyikan rakan-rakan anda di sekolah; "Cheetara lari laju, terbukak baju!"

Saturday, December 14

Bhg I: Memori televisyen era 80-an & 90-an



 Suatu masa dahulu, di era 80-an dan 80-an, sebelum TV disiarkan 24 jam, sebelum wujudnya ASTRO, sebelum adanya internet, Facebook, YouTube dan permainan video yang canggih, zaman kanak-kanak anda tetap menarik pada pandangan mata anda.

Anda menunggu di depan televisyen sebaik sahaja jam menunjukkan pukul lima petang setiap Isnin hingga Jumaat untuk kartun kegemaran anda, dan bangkit awal untuk menyaksikan sitkom keluarga kesukaan semua.

Ingatkah anda saat hiburan kanak-kanak anda dihiasi dengan:

The New Adventures of Mighty Mouse and Heckle & Jeckle



Siapa yang tak ingat pada Mighty Mouse? Biasanya selepas ibu anda menonton siri "Akantare", "Oshin" atau "Oyuki", "Mighty Mouse" pula akan disiarkan, sebuah parodi Superman tentang seekor tikus adiwira yang akan menyelamatkan mangsa dari kejahatan Oil Can Harrry (biasanya si mangsa adalah gadis kecintaannya, seekor tikus yang bernama Pearl Pureheart).

Selepas satu episod Mighty Mouse, selebih waktunya, anda dihiburkan pula dengan kartun "Heckle & Jeckle" tentang dua ekor burung murai yang nakal. Kisah kenakalan dan keriuhan Heckle & Jeckle ini bagaikan gabungan Chip & Dale, Woody Woodpecker dan Bugs Bunny. Anda tidak semestinya menyukai kartun ini, malah adakalanya anda tidak memahami di mana lucunya. Tapi anda tetap menontonnya kerana itu sahaja pilihan yang ada.

X-Men



Tiada apa yang lebih mengujakan berbanding mendengar lagu tema "X-Men" sebaik sahaja anda pulang dari sekolah. Adakalanya sukar untuk bapa anda mengajak anda solat berjemaah di masjid, bila kartun ini ditayangkan pada waktu yang sama.

Malah hampir semua kanak-kanak memikirkan perkara yang sama. Mereka mahu jadi 'cool' macam ketua pasukan X-Men, Cyclops, semua orang tidak faham kenapa Wolverine selalu marah-marah, semua orang akan berangan jadi Gambit setiap kali jumpa daun terup, semua budak lelaki merahsiakan minat mendalam mereka terhadap Rogue, semua orang tahu bukan Magneto sahaja antagonis utama yang ada dan semua orang rasa Jubilee watak yang menjengkelkan!

Tidak kisahlah ada berapa banyak filem X-Men pun ditayangkan di pawagam, tiada satu pun yang dapat menandingi kartun lamanya.

Jem



Untuk budak perempuan pula, tidak banyak pilihan yang ada. Selain "Care Bears", "My Little Pony" dan "Moondreamers" yang kebanyakannya merupakan kisah haiwan dan makhluk alam fantasi, hanya "Jem" sahaja yang rasa dekat di hati.

Bila difikirkan kembali, premis "Jem" sendiri agak mengarut. Kisah Jerrica, yang mewarisi harta kekayaan bapanya, Starlight Music dan sebuah mesin Synergy (ya, di sinilah anda belajar perkataan tersebut) yang boleh memaparkan hologram Jem (ya, perkataan itu juga anda belajar dari kartun ini) melalui projektor mikro di telinganya dan menjadikan dirinya Jem, si vokalis wanita terunggul dalam kumpulan "The Holograms".

Saingan hebat mereka? Kumpulan "The Misfits", dan "The Stingers" (yang muncul di musim ketiga). Tiada siapa tahu tentang identiti rahsia Jerrica, termasuk teman lelakinya Rio dan musuh ketatnya, Eric Raymond.

Bunyinya macam kisah "Hannah Montana" yang lebih terperinci, kan? Yang penting, semua budak perempuan akan membeli stiker berbentuk bintang supaya boleh dilekatkan di telinga dan berangan jadi Jem.

Saved by the Bell



Semua orang sukakan Sabtu dan Ahad kerana itu bermakna anda tidak perlu ke sekolah. Tapi apa yang lebih menarik tentang hujung minggu adalah sitkom remaja "Saved by the Bell" yang ditayangkan pada jam 10 pagi setiap hari Sabtu.

Ya, anda mungkin perlu berebut dengan ibu anda yang ingin menonton siaran "Selamat Pagi Malaysia" atau "Malaysia Hari Ini", tapi demi Zack Morris, A.C. Slater, Kelly Kapowski, Jessica Spano, Lisa Turtle dan Screech Powers, anda sanggup lakukan apa saja.

"Saved by the Bell" bagaikan satu kumpulan remaja idaman anda, di mana si pemuda nakal memenangi hati gadis paling popular, si feminist dan ratu fesyen berkawan baik, dan si ahli sukan duduk semeja dengan si ulat buku!

Teenage Mutant Ninja Turtles



"Cowabunga!", "Gnarly!", "Radical!" merupakan antara perkataan-perkataan yang paling selalu digunakan oleh empat ekor adiwira penyu ini. Hasil ciptaan Kevin Eastman dan Peter Laird ini sebenarnya bermula hanya sebagai satu gurauan dan lakaran lucu kedua-dua sahabat itu.

Jika difikirkan semula konsepnya juga agak aneh dan tidak serius. Adiwira penyu ninja? Yang memiliki nama pelukis dan pereka terkemuka dunia? Yang pandai seni beladiri? Yang bercakap gaya pemain sukan luncur air? Bergurukan seekor tikus? Tinggal dalam pembetung? Suka makan piza? Bermusuhkan otak dalam sut robot?

The Transformers



Suatu masa dahulu, inilah kartun yang dirasakan paling hebat di dunia. Rata-rata yang menontonnya akan menyanyikan lagu popular tersebut, "Transformers, robot in disguise" (yang disalah erti sebagai "Transformers, robot in the sky!" atau "Transformers, adebi dulaiii...").

Anda terpaku di depan televisyen tatkala Optimus Prime berubah bentuk menjadi sebuah lori dan Megatron memiliki bazuka di tangan kanannya!

Mungkin ia tidak secanggih filemnya atau kartun versi baharu, tapi yang nyata, "The Transformers" menyebabkan ibu bapa seluruh negara pening kepala bila anak-anak mereka mahukan permainan lori atau kapal terbang yang boleh berubah menjadi robot, atau bila terpaksa membantu si anak memotong lubang di kotak televisyen supaya anak-anak mereka boleh berpura-pura menjadi sebahagian daripada Autobots.

Full House



Bukan. Bukan drama Korea lakonan Rain dan Song Hye-gyo itu, tapi sebuah sitkom yang diminati ramai pada era 80-an dan 90-an. Bila diingat kembali, "Full House" bukanlah sebuah sitkom yang sangat melucukan, malah adakalanya jenakanya bersifat keanak-anakan. Namun ia tetap menjadi pilihan utama kerana genre kekeluargaan yang dipersembahkannya.

Kisah tentang seorang bapa tunggal bernama Danny Tenner dengan tiga orang anak perempuan, DJ, Stephanie dan Michelle ini bisa membuat anda ketawa dan tersentuh pada masa yang sama. Masuk pula dua 'bapa angkat' kepada tiga beradik ini, adik ipar Danny yang bernama Jesse (yang digilai setiap penonton wanita) dan kawan karibnya Joey (yang gila-gila), sitkom ini terus mewarnai zaman kanak-kanak anda.

Malah kerana "Full House" juga, dunia kanak-kanak anda diwarnai dengan filem-filem straight-to-video Mary-Kate dan Ashley Olsen seperti "The Adventures of Mary-Kate and Ashley", "It Takes Two" dan "Two of a Kind".

Captain Planet and the Planeteers



Entah apa yang menyeronokkan tentang adiwira yang menyelamatkan alam sekitar ini, penulis juga tidak mengerti. Namun begitu, dalam era di mana anda cuma ada tiga stesen televisyen, dan dua daripadanya dimiliki kerajaan, anda tidak punya pilihan selain menonton apa saja yang disiarkan. Jika itu bermakna animasi adiwira yang mengingatkan anda agar tidak membuang sisa toksik di tengah laut atau mengajar anda bahawa banyak perusahaan jahat yang hanya mahu memusnahkan alam semulajadi, maka tonton sahajalah.

Sebagai kanak-kanak, mungkin anda tidak sedar bahawa lima pembantu Captain Planet berasal dari negara dan benua berbeza. Kwame (elemen tanah atau "Earth") berasal dari Ghana, Afrika, Wheeler (yang memiliki elemen api atau "Fire") dari Brooklyn, New York, Linka yang memiliki elemen angin (Wind) pula dari Soviet Union (ya, Soviet Union masih wujud, menunjukkan betapa lamanya usia kartun ini), Gi yang memiliki elemen air (Water) pula dari Asia manakala Ma-Ti dari Amazon pula diberikan elemen Heart.

Sehingga kini, persoalan yang bermain dalam benak pastinya "Kenapakah ada elemen Heart yang tidak berapa nak berguna tu?".

Saturday, December 7

Senarai pasukan yang layak ke Piala Dunia 2014 mengikut kumpulan

Berikut adalah senarai pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2014 yang dipisahkan oleh kumpulan masing-masing: -


Kumpulan A
Brazil (tuan rumah)
Croatia
Mexico
Cameroon

Kumpulan B
Sepanyol
Belanda
Chile
Australia

Kumpulan C
Colombia
Greece
Ivory Coast
Jepun

Kumpulan D
Uruguay
Costa Rica
England
Itali

Kumpulan E
Switzerland
Ecuador
Perancis
Honduras

Kumpulan F
Argentina
Bosnia & Herzegovina
Iran
Nigeria

Kumpulan G
Jerman
Portugal
Ghana
Amerika Syarikat

Kumpulan H
Belgium
Algeria
Rusia
Korea Selatan


Kejohanan berkenaan akan bermula 12 Jun dan akan berakhir 14 Julai tahun hadapan.

Monday, December 2

Siaran langsung undian akhir Piala Dunia 2014 tiada di TV biasa?

Jumaat ini, majlis undian akhir Piala Dunia 2014 akan berlangsung. Sungguh sedih, siaran langsung acara tersebut tidak disiarkan oleh saluran televisyen percuma tetapi hanya tunjuk di Astro saja. Sebelum ini majlis undian akhir Piala Dunia boleh diikuti melalui saluran TV biasa dan ia memudahkan peminat untuk mengetahui pasukan mana yang akan menghuni kumpulan masing-masing. Apapun, yang hendak menontonnya, sediakan pen dan kertas untuk menyalin senarai empat pasukan yang dipisahkan oleh kumpulan masing-masing.