Tentang Diri Saya: Tragedi MH370 kini 8 tahun! (Bhg. 1)

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Tuesday, March 8

Tragedi MH370 kini 8 tahun! (Bhg. 1)

MH370: Mampukah penyiasat Australia merungkai misteri?



Hari ini, tanggal 8 Mac, genap lapan tahun tarikh keramat kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang terus menjadi misteri terbesar dalam sejarah penerbangan dunia. Walaupun kerajaan sudah mengisytiharkan MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu berakhir di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia namun kita tidak boleh berhenti daripada merungkai misteri kehilangan dan perlu terus berdoa supaya dapat menemui jawapan sekali gus memberi keadilan yang sewajarnya kepada waris penumpang pesawat malang ini.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777 hilang dari radar Malaysia pada pukul 1.30 pagi 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China. Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sepatutnya tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Sejak itu pelbagai usaha dilaksanakan untuk menjejaki pesawat ini, namun sehingga kini masih buntu walaupun terus diwarnai dengan pelbagai konspirasi dan teori. Apapun hakikatnya, sehingga kini pesawat atau kotak hitam tidak berjaya ditemui untuk menjawab segala persoalan yang timbul dan terus kekal misteri.

Antara teori awal yang mencetuskan pelbagai spekulasi ialah kononnya juruterbang MH370 melakukan misi bunuh diri ketika membawa pesawat berkenaan. Sebuah artikel yang diterbitkan BBC pada 16 April 2015, misalnya memetik kenyataan daripada seorang pakar penerbangan Kapten Simon Hardy yang yakin juruterbang sengaja menerbangkan pesawat itu tanpa dapat dikesan oleh radar beribu batu jauhnya sebelum menjunamkan ia ke dalam laut. Selain itu, terdapat laporan daripada Biro Siasatan Persekutuan yang mendapati bahawa juruterbang cuba memandu alat simulator ke arah tempat ia dipercayai jatuh iaitu di Lautan Hindi seminggu sebelum ia hilang. Namun, hakikatnya ia kekal sebagai teori liar dan tohmahan yang tidak dapat dibuktikan.

Satu lagi teori yang agak popular ialah pesawat dirampas oleh pengganas dan teori ini seolah-olah cukup munasabah pada ketika itu untuk dipercayai oleh masyarakat dunia. Antara kumpulan pengganas yang dikaitkan dalam teori ini atau dikatakan dalang di sebalik rampasan pesawat adalah Jemaah Islamiyah, Al-Qaeda dan juga kumpulan pengganas Uighur dari wilayah barat China. Malah, konglomerat gergasi media dunia, Rupert Murdoch turut pernah berkongsi tweet mengatakan bahawa pesawat itu dicuri dan disembunyikan di utara Pakistan. Namun sekali lagi sehingga kini teori ini juga tidak dapat dibuktikan, malah tiada kumpulan pengganas yang tampil mengaku terlibat atau merampas pesawat berkenaan.

Selain itu, satu laporan yang dikeluarkan oleh penyiasat nahas udara Australia mendedahkan bahawa pesawat itu mengalami gangguan kuasa misteri pada peringkat awal penerbangan yang membuatkan pakar percaya ia boleh menjadi sebahagian daripada usaha untuk mengelak daripada dikesan radar. Menurut laporan itu, unit data satelit pesawat melakukan permintaan 'log masuk' yang tidak dijangka kepada satelit dalam tempoh kurang daripada 90 minit semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. David Gleave, seorang pakar keselamatan penerbangan dari Loughborough University, berkata, gangguan bekalan kuasa muncul sebagai hasil apabila seseorang di kokpit cuba untuk mengurangkan penggunaan sistem pesawat.

Ada juga teori yang mengatakan pesawat dikawal alat kawalan jauh serta dirampas pihak tertentu untuk membunuh saintis yang dikatakan menjadi penumpang yang boleh memberikan ancaman kepada negara yang terlibat. Teori seperti ini juga masih tinggal teori semata-mata dan tidak dapat menjawab persoalan kehilangan pesawat itu secara konkrit.

Apa yang pasti, dalam dunia teknologi moden dan serba canggih ini adalah tidak mungkin, mustahil dan sukar diterima akal untuk mengatakan sebuah pesawat sebesar itu hilang atau 'ghaib' begitu saja. Tetapi, sedar atau tidak, sudah lapan tahun kita masih tiada jawapan muktamad berkaitan kehilangan pesawat ini. Persoalan utama, kalau betul terhempas mana serpihannya? Apa yang pasti serpihan pesawat itu masih gagal ditemui walaupun usaha antarabangsa untuk mengesannya giat dijalankan dengan kos AS$200 juta (RM837.47 juta) membabitkan 120,000 meter persegi, sekali gus mencetuskan misteri berterusan.

Terkini, selepas lapan tahun, dilaporkan pasukan penyiasat Australia memperbaharui misi pencarian kehilangan pesawat MH370 selepas seorang jurutera aeroangkasa, Richard Godfrey mendedahkan laporan yang mendakwa sudah mengenalpasti lokasi sebenar keberadaan pesawat itu.

Richard sebelum ini mendakwa teknologi radio yang digariskan dalam laporannya, iaitu Weak Signal Propagation Reporter (WSPR) boleh digunakan untuk mengesan dan menjejaki pesawat dengan tepat. Beliau percaya MH370 terhempas ke laut pada kedudukan sejauh 1,933 kilometer (km) dari barat Perth dan berada 4,000 meter (m) di bawah air. Sekali lagi diharap penyelidikan terperinci dilakukan Godfrey boleh dipercayai dengan matlamat utamanya adalah untuk mengakhiri penantian dan penderitaan ahli keluarga mangsa pesawat MH370.

Sudah tentu waris penumpang dan anak kapal yang paling terkesan kerana kehilangan ahli keluarga dalam suasana yang cukup misteri seperti ini sukar diterima. Justeru, diharap keluarga mangsa dan pihak berkuasa tidak akan berputus asa dalam mencari kebenaran di sebalik misteri yang menggoncang sejarah penerbangan dunia. Sama-sama kita berdoa agar ada sinar harapan di hujung terowong melalui inisiatif terkini pasukan penyiasat Australia sekali gus merungkai misteri kehilangan MH370.


No comments:

Post a Comment