Langkah pertama menyertai program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) berjaya memperkenal namanya buat seketika sebelum tersingkir pada minggu keempat.

Rentetan itu, anak kelahiran Cik Siti Wan Kembang tersebut perlahan-lahan hilang dari radar seni malah terpaksa akur apabila rezeki tidak menyebelahinya ketika itu.

Akan tetapi tembok penantian selama 13 tahun akhirnya dipecahkan apabila dirinya mula mendapat perhatian setelah pembabitannya dalam program realiti AF Megastar tahun lalu, sekali gus mengubati ‘kesakitan’ apabila bakatnya dijulang sebagai juara menewaskan bekas-bekas juara AF yang turut bersaing.

Keampuhan vokalnya yang bernada tinggi serta julat suara 4.6 oktaf serta sering disamakan dengan penyanyi antarabangsa, Mariah Carey berjaya membuka mata khalayak yang pernah terlepas pandang terhadap awal kemunculannya dulu.

Malah sepanjang sesi wawancara berlangsung, Idayu, 33, yang memiliki karakter ceria ini tidak pernah sesekali menampakkan riak kecewa saat diajukan soalan berhubung nasibnya yang sekali lagi dilihat seperti kurang sambutan apalagi menyengat sekalipun bergelar juara.

Cukup positif dan optimis dengan rezeki yang diperoleh, Idayu tidak menafikan yang dia sendiri menyedari untung nasibnya yang kurang menyerlah.

“Semua orang tahu saya boleh menyanyi. Dan walaupun pernah memenangi pertandingan sekalipun itu belum tentu mampu mengukur sejauh mana karier seseorang mampu pergi.

“Apa-apa pun, saya tetap masih ada (dalam industri) dan alhamdulillah program AF Megastar banyak membantu karier muzik saya untuk terus berkembang biarpun kelihatannya agak kurang muncul di kaca televisyen.

“Malah sebenarnya single kedua saya, Ganti Diriku juga sudah berada dalam carta Muzik-Muzik 33 dan sedang dalam rangka mempromosikan lagu tersebut,” katanya.

Akui Idayu, biarpun keberadaannya dianggap kurang memberansangkan pada arus perdana, namun sejak bergelar juara, dia menerima banyak undangan nyanyian.

“Banyak perbezaan dulu dan sekarang. Kalau dahulu saya kena menanti tawaran untuk mendapatkan undangan persembahan, tetapi kini permintaan semakin banyak.

“Bayangkanlah sampai saya terpaksa menolak dua atau tiga tawaran nyanyian kerana pertembungan jadual. Dari situ, saya tahu orang sudah mulai nampak penyanyi yang bernama Idayu ini.

“Justeru saya ingin guna peluang ini sebaik mungkin semasa orang masih mahukan saya,” ujarnya bercerita tentang perjalanan karier sepanjang setahun tamat AF Megastar.



Idam konsert solo

PERNAH menyuarakan hasrat untuk mengadakan sebuah konsert solo pada penghujung tahun ini, namun selepas proses timbang tara dan perbincangan dilakukan, keinginan itu terpaksa ditangguhkan.

Mengimpikan sebuah konsert seperti penyanyi Beyonce dan Mariah Carey, Idayu tidak mahu menghampakan peminatnya yang sekian lama menanti dan berharap hasratnya itu dapat ditunaikan pada awal tahun hadapan.

“Saya terima banyak mesej dalam laman sosial bertanyakan tentang konsert. Insya-Allah, impian itu akan terlaksana pada awal tahun depan.

“Saya sedang merangka projek untuk merealisasikan impian itu. Memang ikutkan perancangan, saya mahu adakan konsert pada hujung tahun ini, tetapi terpaksa dianjakkan pada Januari atau Februari tahun depan atas faktor lokasi.

“Saya mahukan konsert berkonsepkan dekat dengan peminat dan ada elemen ala-ala penyanyi Beyonce dan Mariah Carey,” kata Idayu yang turut mengajar kelas vokal pada waktu senggang.

Memahami bahawa untuk mengadakan sebuah konsert memerlukan peruntukkan yang besar dan sering kali isu itu menjadi masalah utama, kebanyakan penyanyi tempatan terpaksa melupakan hasrat tersebut buat sementara kerana kekurangan bajet.

Idayu berpendapat, sebagai seorang penghibur, dia tidak boleh duduk diam menanti rezeki hadir tanpa ada usaha yang dilakukan untuk merealisasikan impiannya itu.

Justeru Idayu mengakui, biar terdapat kekangan, namun dengan bantuan dan sokongan keluarga antara sebab utama dia mampu menjayakan konsert solonya itu.

“Sudah semestinya saya memerlukan pertolongan daripada banyak sumber termasuklah keluarga. Mereka (keluarga) membantu setakat yang termampu dan selebihnya atas usaha saya sendiri untuk mencari penajaan.

“Saya tidak boleh mengharapkan atau menunggu orang datang kepada saya untuk memberi bantuan. Saya sedar diri ini bukan diva jadi saya tak kisah untuk bersusah-susah dulu demi mencapai kesenangan,” katanya.


Pilih Nazim Othman

MUZIK video Timeless nyanyian asal Kelly Clarkson yang dinyanyikan semula oleh Idayu dan Nazim Othman menimbulkan perbualan hangat warganet sejak dimuat naik seminggu lalu dan mengumpul 8,000 tontonan.

Ada yang terkejut dengan kolaborasi itu, tak kurang yang mengagumi vokal kedua-dua penyanyi tersebut. Malah yang menjadi perhatian, gandingan mereka dikatakan tidak sesuai memandangkan vokal Idayu yang jauh lebih baik daripada Nazim.

Menjawab spekulasi itu, Idayu ada alasan kenapa dia tidak menunggu lama untuk memberi persetujuan bergabung dengan penyanyi yang juga pelakon tersebut.

“Kalau ikut keinginan, saya memang mahukan seorang penyanyi, tetapi kalau saya nak tunggu persetujuan seperti itu pastinya akan memakan masa.

“Saya tidak mahu membuang masa. Kalau boleh mahu sentiasa relevan dan ‘hadir’ sekerap yang mungkin dalam industri. Jadi saya akan gunakan setiap peluang yang ada.

“Nama pun nyanyian semula bukannya (untuk) serius sangat. Nazim sendiri yang datang kepada saya menawarkan diri. Takkan nak tolak permintaan orang yang mahu dapatkan ilmu.

“Dia dengan rendah diri datang meminta saya untuk mengajar vokal, jadi dalam berkongsi ilmu itu saya gunakan kesempatan ini.

“Dia juga mempunyai bilangan pengikut yang ramai dalam laman sosial.

“Walaupun pada awalnya saya fikir dia sombong sebab tak pernah kenal dirinya tetapi dia seorang yang sangat merendah diri.

“Jadi apa salahnya saya ajar perkara yang saya tahu dan kami berkongsi nyanyian dengan khalayak,” jelasnya yang memilih sendiri judul lagu terbabit untuk berduet dengan Nazim.