DUA beradik gemar pengembaraan berbeza dengan pacuan 4x4, sahut cabaran redah sungai dan belantara. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SUATU masa dahulu, minat aktiviti lasak meredah hutan, denai atau sungai menggunakan pacuan empat roda (4x4) lebih terarah pada kromosom XY.
Mereka yang mahu mengikuti kegiatan itu bukan hanya perlu mahir selok-belok pemanduan, tetapi membabitkan persediaan mental, fizikal kerana acap kali mengikuti ekspedisi di hutan belantara.
Lazimnya bagi penggiat sukan lasak ini bermalam berhari-hari malah berminggu-minggu berada di dalam hutan, terputus jaringan komunikasi adalah perkara biasa, berbeza dengan minat wanita yang sukakan percutian santai, tanpa menyusahkan diri.
Namun, bagi dua beradik, Nur Aina Madia dan Nurul Izzatie Md Adnan, mereka sanggup bermalam di hutan, tidur dalam khemah, bermandi peluh, mengharungi lumpur hingga disapa unggas hutan, demi minat terhadap 4x4 dan pertandingan bertaraf antarabangsa, seperti Rainforest Challenge (RFC) yang pernah di Negeri Sembilan, tiga tahun lalu.
Masing-masing berusia 23 dan 28 tahun, mengatakan semua itu alah bisa tegal biasa. Apabila beraksi, kudrat mereka setanding lelaki, meskipun dengan rambut panjang dan imej feminin sang gadis.
Koma 2 minggu
Disebabkan sering kali muncul sebagai satu-satunya pasukan wanita, keserasian mereka dilihat utuh hingga sukar meragui kemampuan gadis manis berhati waja ini terutama dalam sukan yang digiatkan kebanyakan lelaki.
Tidak hanya diulit keseronokan, pasukan duo ini hampir kehilangan nyawa, apabila salah seorang daripada mereka koma dua minggu, terbabit kemalangan ketika mereka dalam pertandingan di Kuantan, tahun lalu.
Kejadian yang hampir meragut nyawa, sedikit pun tidak mematikan semangat, namun bagi Nur Aina Madia khususnya, insiden tiga tahun berturut-turut ditimpa kemalangan, menjadikan beliau lebih berwaspada, taktikal dan mahu meraih sebanyak pengalaman, kerana itu adalah guru terbaik untuknya.
Insiden hingga mengakibatkan beliau koma kerana jentera dikemudi terbalik membuatkannya ‘panik’ lalu terjun dari kenderaan kerana menyangka ia akan terbakar.
Susulan tragedi itu beliau koma akibat pendarahan beku di kepala, sementara kakaknya yang menggalas tugas jurupandu arah cedera ringan.
Baginya, pembabitan dalam pemanduan lasak satu kepuasan yang tidak terhingga, biarpun tampak janggal kerana sering muncul penyertaan solo pasukan wanita.
“Keutamaan kami adalah berdaya saing menyahut cabaran ketika mengemudi pemanduan kenderaan 4X4 yang sinonim dengan kelompok lelaki.
“Meskipun kami kekal dengan gaya feminin, ketika mengharungi cabaran off road, kami seperti peserta lain, fokus seratus peratus, kerana sasaran kita adalah beroleh kemenangan atau sekurang-kurangnya menamatkan persaingan,” katanya yang juga kumpulan peserta solo wanita untuk kategori kabin terbuka.
NUR Aina Madia (kiri) bersama kakaknya, Nurul Izzatie sering jadi
perhatian setiap kali menyertai acara sukan lasak. - Foto Nur Adibah
Ahmad Izam
Dua beradik ini ditemubual penulis yang berpeluang menyertai misi tahun ketiga, Kemboree Sahabat 4x4, di tapak perkhemahan di Lubuk Gemerang, Terengganu, baru-baru ini.
Menempa nama pacuan empat roda dikenali Angels 4x4, bernasib baik kerana mempunyai sokongan padu keluarga yang berhabis lebih RM30,000 untuk mengubah suai kenderaan sebagai persediaan pertandingan.
Nur Aina Madia yang juga anak ketiga berkata, mempunyai rakan pasukan darah daging sendiri begitu menyenangkan terutama dalam memupuk keserasian berikutan pertandingan itu memerlukan kesefahaman, kerjasama dan cekap dalam memberi atau menerima arahan.
“Justeru, apabila kami mengambil keputusan menyertai pertandingan kira-kira tiga tahun lalu, kami sudah bersedia dengan risiko atau berdepan kemalangan, keluar masuk hutan atau sekurang-kurangnya bersedia selama dua minggu mengharungi cabaran RFC.
“Cabaran RFC ini paling ditunggu-tunggu bagi peminat 4x4 kerana membabitkan penyertaan dari negara luar iaitu Russia, China dan negara lain. Di sini, tiada kategori jantina, kerana ia formatnya terbuka.
“Kesempatan menyertai RFC membawa perkenalan dengan RFC International Sdn Bhd, Luis Wee yang tidak lokek memberikan tip berguna, berkongsi pengalaman untuk melengkapkan cabaran,” katanya yang berasal dari Puchong, Selangor.
Asah kemahiran
Justeru, bidang permotoran lasak membentuk kekuatan diri kerana bukan saja perlu tahu mengendalikan pacuan empat roda, pemandu perlu tahu penyelenggaraan, kesediaan bermalam di hutan dan menjalani hidup survival.
“Kurang tepat tanggapan kononnya sukan lasak seperti RFC tidak sesuai untuk gadis sunti. Kami seperti peserta lain perlu berada dua minggu di hutan, meredah hutan belantara, melalui kawasan denai sungai, mendaki bukit, menuruni cerun becak dan mengharungi air sungai.
Setiap pasukan RFC hanya diwakili dua peserta iaitu pemandu dan jurupandu arah serta mereka perlu merentasi lima peringkat halangan atau SS yang menanti, dengan menggunakan kenderaan 4X4 masing-masing,” katanya yang sering mengasah kemahiran di trek Tanjung Malim.
Medan menguji kemahiran
AINA Madia bersama kakaknya, Nurul Izzatie menyertai Kemboree Sahabat
4x4, di tapak perkhemahan di Lubuk Gemerang, Terengganu, baru-baru ini. -
Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Universiti
Multimedia (MMU) ini, berkata banyak perlumbaan mega termasuk peluang
beraksi di pentas antarabangsa terpaksa ditolak kerana komitmen terhadap
bidang pengajian.
“Rekod terpantas dalam puluhan
pertandingan ini seminit cabaran diselesaikan berbanding masa sebenarnya
15 minit. Bagi kami, pertandingan adalah medan pengujian kemahiran,
jika menang Alhamdulillah, jika tidak, teliti kesilapan, untuk
memperbaiki pencapaian.
“Alhamdulillah tidak kecederaan
serius kecuali tragedi koma, namun nasihat ibu sering menjadi sandaran,
apapun yang kami lakukan, keselamatan diri tidak boleh dikompromi,”
katanya anak kelahiran Puchong, Selangor.
INFO:
* Berjinak sukan 4x4 sejak 10 tahun lalu.
* Dikenali dengan pasukan gandingan wanita, Angels 4x4.
* Memerlukan keserasian antara pemandu dan jurupandu arah.
* Perlu stamina tinggi melengkapkan semua zon ditetapkan.
* Jentera 4x4 akan menghadapi semua zon antaranya prologe, predator dan twilight.
* Setiap zon mempunyai antara satu hingga 24 halangan dikenali sebagai ‘special stage’ (ss).
No comments:
Post a Comment