JURULATIH skuba bukan satu pilihan kerjaya yang mudah kerana memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
JURULATIH skuba bukan satu pilihan kerjaya yang mudah kerana memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi.
SEJAK pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lepas, banyak sektor
ekonomi termasuk perkilangan dan perhotelan ditutup selepas kerajaan
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
Ekoran itu, ramai yang hilang pekerjaan dan pendapatan disebabkan
sesetengah sektor terpaksa ‘gulung tikar’ selepas tidak dapat menjana
keuntungan selepas ditutup untuk tempoh tertentu.
Noor Azimah Zolkafli, 31, adalah antara salah seorang yang menjadi
‘mangsa keadaan’ itu selepas diberhentikan kerja pada tahun lalu.
Katanya, pada ketika itu, dia berasa tertekan dan hilang motivasi
apabila mengetahui menjadi salah seorang pekerja yang bakal
diberhentikan.
“Dengan komitmen bulanan yang tinggi, saya menjadi buntu seketika
memikirkan nasib diri selepas hilang punca pendapatan,” katanya yang
berasal dari Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Noor Azimah menjawat jawatan sebagai pembantu pengurus
pemasaran dan komunikasi di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Dia menjelaskan, beberapa bulan sebelum diberhentikan, gajinya
dipotong separuh, selain perlu melakukan kerja di luar bidang
sepatutnya.
Ujarnya lagi, ekoran pandemik Covid-19 semakin ‘mengganas’ memaksa pihak
pengurusan memberhentikan pekerja selepas hotel tidak boleh beroperasi
selepas kerajaan melaksanakan PKP 1.0 tahun lalu.
“Pada bulan Julai tahun lalu, saya menjadi salah seorang pekerja yang
diberhentikan,” jelasnya yang memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang
Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia.
Setelah diberhentikan, Noor Azimah mengambil keputusan untuk melakukan perniagaan secara online sebagai salah satu usaha untuk mencari pendapatan.
Dia mengerti bukan mudah untuk mencari kerja di saat pandemik
Covid-19, jadi perlu bertindak segera dan tidak boleh membiarkan dirinya
tidak melakukan sebarang pekerjaan.
Jelasnya, beberapa bulan sebelum diberhentikan, dia mengalami masalah
rambut gugur kerana tertekan memikirkan nasib yang akan dia lalui
selepas itu.
Pada waktu itu, dia mencuba satu produk penjagaan rambut.
“Produk itu sesuai dengan saya dan pada waktu itu timbul idea untuk menjadi ejen bagi menjual produk berkenaan.
“Pada bulan Mei tahun lalu, dua bulan sebelum diberhentikan, saya
mengambil keputusan untuk menjual produk ini secara online. Modal
pertama saya sebanyak RM600. Alhamdulillah, dalam masa tiga minggu
sahaja, saya dapat menjual semua produk itu,” terangnya.
Tambahnya, perkara itu memberikan keseronokan kepadanya dan
memutuskan untuk lebih serius dalam perniagaan online dengan menjual
produk penjagaan rambut itu.
Pada bulan kedua pula, Noor Azimah memberanikan diri untuk menambah
modal sebanyak RM2,000 bagi mendapatkan stok yang lebih banyak.
Pada bulan itu juga, dia berjaya membuat jualan melebihi RM6,000.
Sebaik diberhentikan kerja, dia terus menjual produk tersebut kerana telah menjadi sumber pendapatan buatnya.
Noor Azimah kemudian memberanikan diri untuk membuka kios di satu karnival dan berjaya membuat jualan melebihi RM12,000.
“Saya melihat perniagaan ini berkembang dengan baik sekali dan ia memberikan keyakinan kepada saya untuk meneruskan usaha ini.
“Jumlah jualan yang saya dapat hasilkan pada tahun 2020 adalah sebanyak RM61,000. Bagi tahun ini, saya menyasarkan untuk menghasilkan jualan sebanyak RM200,000,” katanya.
Kini dia boleh tersenyum lebar kerana pendapatan yang diperolehnya lebih banyak berbanding dengan bekerja makan gaji sebelum ini.
Dalam pada itu, Noor Azimah menjelaskan, apabila terlibat dalam bidang perniagaan, seseorang itu perlu kuat dari segi mental dan fizikal.
“Berniaga bukannya hari-hari ada jualan. Pernah tiga hari saya langsung tidak dapat membuat sebarang jualan. Ini sedikit sebanyak membuatkan saya berasa tertekan.
“Bagaimanapun, semua itu tidak melemahkan semangat saya untuk terus berusaha. Apa yang penting, kita harus mencari jalan untuk mencapai kejayaan dan kemudian bertawakal kepada Allah,” tegasnya.