Sekitar awal 1970-an, pengakhiran sistem studio dan kekurangan filem-filem Melayu telah menggesa syarikat-syarikat pengedaran filem untuk membeli dan mengedar filem-filem Indonesia yang dianggap substitute terbaik bagi filem-filem Melayu. Seperti dilaporkan, khalayak filem Melayu mula beralih arah kepada filem-filem Indonesia. Antara lain, elemen warna dan format widescreen yang menjadi tarikan utama. 

Justeru filem-filem Indonesia menawan bukan sahaja pawagam-pawagam milik Shaw Brothers dan Cathay Organisations tetapi juga pawagam-pawagam milik syarikat persendirian yang terdapat di bandar dan pekan tertentu. Contohnya, Panggung Ampang Park dan Pawagam P. Ramlee, KL. Manakala pawagam-pawagam yang khusus menayangkan filem Melayu (seperti Coliseum KL dan Dalit Komtar-Pulau Pinang) turut menayangkan filem Indonesia sewaktu ketiadaan filem Melayu di pasaran.

Penerbit filem Indonesia turut memainkan peranan dalam membantu menjayakan syarikat-syarikat filem bumiputera di Malaysia. Perfima (Perusahaan Filem Malaysia) yang ditubuhkan pada 1970 sebagai penerbit, pengedar dan pemamer filem dibantu suntikan modal daripada produser dan sutradara Indonesia, Turino Djunaidy. Antaranya persetujuan Perfima adalah untuk mengedarkan dua filem Indonesia, Kabut Bulan Madu (1972) dan Wajah Seorang Laki-Laki (1971) di Malaysia. Selepas Perfima, syarikat lain mula muncul untuk mengedarkan filem-filem Indonesia di Malaysia dan menayangkan filem-filem ini di rangkaian pawagam persendirian. 

Filem seperti Penangkal Ilmu Teluh (1979) dan Cubit-Cubitan (1979) menjadi fenomena budaya kerana ditayangkan berbulan lamanya di Kuala Lumpur. Dicky Zulkarnaen, Ratno Timoer, Farouk Afero, Sophian Sophaan, Roy Marten, Lenny Marlina, Widyawati, Jenny Rachman, Yati Octavia, kesemuanya tampil popular di Malaysia justeru menjadikan mereka bintang filem transnasional.
Kesempatan ini kemudian diambil oleh syarikat produksi tempatan membawa masuk bintang-bintang Indonesia membintangi filem-filem Melayu. Sabah Film Productions umpamanya, menggandingkan Broery Marantika bersama Sharifah Aini dalam Hapuslah Air Matamu (1976) dan mengundang Farouk Afero untuk filem Pendekar (1977). Majalah-majalah hiburan popular seperti Majalah Filem, Utusan Filem & Fesyen (UFF) dan URTV tidak pernah ketinggalan memberikan liputan kepada bintang Indonesia, selain mempromosikan filem Indonesia terkini. Malah, filem-filem Indonesia turut dijadikan objek penelitian atau ulasan para pengulas dan pengkritik filem di Malaysia. 

Filem-filem muzikal-melodrama ‘dangdut’, seperti Begadang (1978), Badai di Awal Bahagia (1981), Kerinduan (1979), Cubit-Cubitan, yang menampilkan Rhoma Irama dan Elvy Sukaesih merupakan genre yang digemari. Filem-filem ini turut mempopularkan lagu runut bunyi dan muzik dangdut. Jika Rhoma Irama sinonim dengan genre muzikal dangdut, bintang lain muncul popular menjadi ikon dan genre filem tertentu; Suzzanna (seram-mistik), Barry Prima (aksi-pertarungan) dan Benjamin S. (komedi). Ramai bintang terkenal era 1980-an dikaitkan dengan genre melodrama romantis atau ‘filem remaja’. Antaranya Rano Karno, Lydia Kandou, Herman Felani, Meriam Bellina, Marissa Haque, Rico Tampatty dan Ray Sahetapy. 

Filem-filem Indonesia ketika itu turut diraikan stesen televisyen seperti RTM (melalui saluran TV1) menerusi slot seperti Tayangan Gambar Indonesia (alternatif kepada filem-filem Melayu menerusi slot Tayangan Gambar Melayu). Ini juga kerana kekurangan filem Melayu untuk mengisi slot mingguan. Oleh itu RTM terpaksa menayangkan filem-filem Indonesia, yang hanya dibeli dengan harga RM3,000 ke RM5,000 daripada pengedar tempatan, bagi mengisi vakum yang ada. Tidak lama kemudian diwujudkan slot mingguan Tayangan Larut Malam (kadang-kadang menyiarkan filem Inggeris, masa itu slot Tayangan Gambar Inggeris masih bersiaran di TV1 sehingga awal 1990-an) yang khusus kepada filem Indonesia (usaha ini dilanjutkan pada era 1990-an dengan slot Dari Seberang setiap petang Sabtu). Saluran TV swasta, TV3 yang mula beroperasi pada 1984 turut menayangkan filem Indonesia secara alternatif (dengan filem Melayu) menerusi slot Teater Malindo (kemudiannya dijenamakan semula sebagai Teater Nusantara, Pesona 3 dan Wayang Di 3). Malah, pada musim perayaan (Aidilfitri dan Aidiladha), filem Indonesia turut ditayangkan di pawagam dan televisyen di samping filem Melayu.

Fasa terakhir budaya filem Indonesia ini menyaksikan penghasilan filem-filem usaha sama Malaysia-Indonesia yang bermula pertengahan 1980-an hinggalah ke awal 1990-an. Namun, usaha ini hanya menyaksikan segelintir sahaja filem yang mendapat perhatian khalayak tempatan seperti Gadis Hitam Putih (1986), Isabella (1990) dan Gelora Cinta (1992). Kebanyakan filem usaha sama ini kurang mendapat sambutan dan sebahagiannya tidak sempat ditayangkan di pawagam tempatan (ada yang hanya diedarkan menerusi VHS. Ketika ini juga kedai-kedai sewaan video VHS tumbuh seperti cendawan, kebanyakannya menghunikan segmen judul filem-filem Indonesia). Pertengahan era 1990-an hingga milenium baharu menyaksikan kemeruduman sinema Indonesia atas faktor politik dan perubahan corak konsumsi khalayak yang beralih kepada televisyen. Yakni, era yang turut menandakan pengakhiran populariti dan budaya filem Indonesia di Malaysia.