NUR HAYATI OMAR bergambar semasa menaiki kereta api di Sri Lanka.
Melihat sosok
tubuh dan raut wajah wanita ini, pasti kita dapat meneka kerjaya yang
diceburinya. Ditambah pula dengan penampilan yang anggun dengan
pemakaian formal, kelibat Nur Hayati Omar yang menggayakan blazer
ringkas pasti mencuri perhatian sekeliling. Lebih mesra disapa Cik Nur,
beliau mengakui tugas yang digalasnya sentiasa berhadapan dengan
pelbagai situasi yang mencabar dalam menyelesaikan setiap kes anak
guamnya.
Figura yang berasal dari Johor ini meletakkan
minat yang tinggi dalam bidang perundangan sekali gus mendorongnya gigih
berusaha untuk berjaya dalam pelajaran. Pemegang Ijazah Sarjana
Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu
kini meniti tangga kejayaan apabila muncul sebagai antara peguam yang
berjaya.
Menelusuri
kerjaya wanita ini, beliau merebut peluang menjadi Peguam Persekutuan
di bawah Jabatan Peguam Negara dalam Divisyen Perhubungan Antarabangsa
selama setahun lebih sebaik sahaja tamat pengajian di universiti.
Menyedari setiap kehidupan memerlukan sedikit
perubahan bagi memperoleh pelbagai pengalaman, Cik Nur nekad meneruskan
kerjaya sebagai penasihat undang-undang di Pusat Pemeriksaan Kenderaan
Berkomputer (Puspakom) yang kini dikenali sebagai Puspakom Sdn. Bhd. dan
latihan dalam kamar di salah sebuah agensi guaman di Kuala Lumpur.
‘‘Di agensi ini saya belajar meneroka sendiri
ilmu dalam mengendalikan setiap kes jenayah serta membuat banyak rujukan
dengan peguam senior,’’ ujar Cik Nur.
Menyelami cita-cita yang diimpikan oleh wanita
ini, Cik Nur sebenarnya menyimpan hasrat untuk menjadi seorang duta
sejak dari kecil.
‘‘Saya telah menjalani ujian temu duga untuk
menjadi seorang pegawai tadbir diplomatik. Namun, pada waktu itu, saya
dikehendaki menjalani kursus dan latihan selama enam bulan.
‘‘Atas sebab-sebab tertentu, saya mengambil
keputusan untuk melupakan cita-cita tersebut dan memberikan perhatian
terhadap bidang guaman,’’ katanya.
Hasil kesungguhannya, Cik Nur meneruskan lagi langkah bagi memantapkan kerjayanya sebagai seorang peguam jenayah dan sivil.
Menurutnya, untuk menjadi seorang peguam
jenayah, seseorang itu perlu ada minat, keberanian dan memiliki
pengetahuan yang mendalam dalam bidang tersebut selain sentiasa peka
dengan perkembangan isu semasa.
Ini kerana katanya, hampir setiap hari terdapat perkembangan terbaharu mengenai sesuatu kes yang diputuskan oleh mahkamah.
No comments:
Post a Comment