Tentang Diri Saya: January 2019

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Wednesday, January 30

Langkah optimis si jelita

SIKAP Eriyca yang sentiasa optimis dan berusaha keras membawanya ke mercu kejayaan.

DIKURNIAKAN pakej lengkap sebagai wanita, bertubuh langsing, kulit sempurna dengan gaya persis model ternama, ibu muda ini disifatkan sungguh bertuah apatah lagi apabila jenama produk yang diasaskannya semakin menunjukkan kejayaan.

Baru meniti usia 29 tahun, pemilik nama Eriyca Baiduri Abd Rashid begitu optimis terhadap cabang perniagaan baru diceburi bersama kakak dan adiknya.

Pernah bercita-cita menjadi pembaca berita selepas menamatkan pengajian ijazah dalam bidang komunikasi massa, Eriyca yang mesra disapa Madammu tidak pernah menyangka laluan kerjayanya jauh berbeza daripada diimpikan.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini, obsesinya pada kecantikan mendorong memulakan langkah berani dengan memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan dan mengasaskan jenama Noir Beauty & Health meskipun dia sedar bukan calang-calang persaingan yang perlu ditempuhinya.

Namun, dia tidak gentar malah memang sifat semula jadinya yang akan membuat sesuatu sampai jadi. Tidak menoleh ke belakang, wanita ini cekal berdepan jatuh bangun dalam perniagaan.

Baginya, mungkin kekuatan diri dan dua adik-beradiknya itu mengalir daripada kecekalan ibu mereka sendiri, Normah Dollah, 48, yang terlebih dulu melalui onak serta ranjau kehidupan tanpa mengenal putus asa.

“Melihat ibu membesarkan kami ketika usia­nya terlalu muda seorang diri cukup membuatkan kami kagum dan mahu jadi usahawan kental sepertinya.

PRODUK setaraf antarabangsa menjadi kebanggaan syarikat.

“Ibu seorang wanita yang kuat. Selepas bergelar ibu tunggal ketika umurnya baru awal 20-an, ibu nekad meninggalkan kampung halaman dan membawa kami tiga beradik perempuan memulakan hidup baru di Kuala Lumpur.

“Perceraian tidak melemahkan ibu, sebaliknya dia berusaha menjadi wanita berjaya. Enggan menangisi nasib sendiri, ketika itu, ibu sambung belajar dan berniaga kecil-kecilan hingga akhirnya membuka syarikat sendiri. Kami memang memandang tinggi ibu dan percaya mampu berjaya sepertinya.

“Sekali lagi ibu diuji apabila dia disahkan menghidap kanser limfoma 15 tahun lalu. Tapi ibu memang wanita yang tidak pernah kenal erti mengalah. Rawatan demi rawatan dijalani dan alhamdulillah ibu cukup kuat sepanjang perjuangan melawan kanser,” katanya.

Menurutnya, sebelum pembabitannya dalam bidang kecantikan dua tahun lalu, dia terlebih dulu menggalas pengalaman dalam bidang perdagangan dan membuka restoran di ibu kota.

Minatnya pada kecantikan awalnya secara suka-suka dengan hanya berkongsi petua kecantikan menerusi platform video langsung di Facebook.

Katanya, dari situ pengikutnya semakin bertambah dan dia yakin perniagaan berasaskan kecantikan mempunyai potensi luas
untuk berkembang.

“Produk pelindung tabir suria dan serum yang diasaskan kami antara produk awal yang mendapat tempat dalam kalangan pengguna yang sudah merasai keberkesanannya.

SENTIASA memberi ruang kepada kakitangan untuk berkongsi buah fikiran.

“Kami memulakan semuanya dari bawah, tanpa modal besar, sayalah posmen dan saya juga uruskan pembungkusan dengan operasi semuanya di rumah. Kemudian, apabila permintaan bertambah, kami buka ruang untuk stokis dan ejen.

“Sebagai pengasas produk, saya tahu peranan mereka sangat penting dalam meningkatkan perniagaan. Saya tidak akan menjadi seperti sekarang tanpa sokongan dan kerja keras mereka.

“Sebab itulah syarikat sentiasa memberi ganjaran bagi yang mencapai sasaran jualan sebagai motivasi selain membantu mereka menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Menurutnya, jenama itu kini meluaskan rangkaian produk dengan mengeluarkan beberapa produk kecantikan antaranya produk penjagaan wajah berasaskan pitera selain suplemen untuk kulit dan produk kosmetik.

Katanya, kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha gigih dan tidak kenal jemu. Baginya, keyakinan diri, tidak malu dan berdisiplin tinggi adalah kunci utama dalam menjayakan sesuatu.

BERWAJAH jelita dan mempesonakan menjadi batu loncatan dalam perniagaan kecantikan.

Selain itu katanya, cabaran dalam perniagaan membabitkan percaturan besar apatah lagi bidang itu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Jadi, dia bersama kakak, Datin Dahlia Baiduri Abd Rashid, 31, dan adik, Dayana Baiduri Abd Rashid, 27, perlu memastikan penghasilan produk terbaik dan tidak sesekali berkompromi dengan kualiti produk dikeluarkan. Oleh itu, kajian dan pembangunan produk sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

“Saya anggap persaingan ini suatu yang sihat dan setiap pengeluar produk mahu menjadi yang terbaik. Keadaan ini sebenarnya menguntungkan pengguna kerana mendapat manfaat terbaik dalam setiap produk.

“Sebab itu, saya berusaha keras memastikan produk Noir kekal relevan dan memuaskan hati pelanggan dengan menampilkan inovasi dan teknologi terbaru dalam pembuatan produk,” katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana selain ibu, suaminya juga memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadap apa yang diusahakannya kini malah dia yakin restu suaminya itu juga mendorong impiannya.

Meskipun sibuk menguruskan perniagaan, dia sentiasa meletakkan keluarga di tempat utama. Pada hujung minggu, dia akan meluangkan masa bersama suami dan tiga anaknya dengan pelbagai aktiviti.

Pembuat kek termahal

ANNE ingin menjadi pembuat kek terkenal dunia

SENTUHAN magis wanita ini setiap kali menghasilkan kek tempahan pelanggan pasti menarik perhatian ramai. Mana tidaknya jika diikutkan tidak terbayang dek akal apabila dia mampu menjual sekotak kek pada harga puluhan ribu ringgit dan kek termahal pernah dihasilkan mencecah ratusan ribu ringgit. Apakah bahan digunakan sehingga pelanggan sanggup membayar pada harga yang tidak masuk akal?

Terbaru pemilik nama sebenar Siti Saleha Idris atau lebih dikenali sebagai Anne Idris berjaya menyiapkan kek harimau seberat 18 kilogram menggunakan teknik semburan warna atau air brush pada harga RM15,000.

Menurut Anne, itu kali pertama dia menerima tempahan kek berbentuk haiwan dan perlu menyiapkannya dalam masa ditetapkan. Berpandukan lakaran di kertas, Anne menghasilkan bentuk haiwan menggunakan fondant sebelum membuat salutan coklat di luarnya.

“Saya mengambil masa empat jam membuat lakaran bentuk harimau dan disimpan di dalam peti sejuk terlebih dulu. Selepas empat jam, saya melakukan teknik semburan warna menggunakan warna jingga dan hitam seakan-akan warna bulu harimau sebenar,” katanya.

Mengakui penghasilan kek harimau itu sangat mencabar kerana haiwan ini berada dalam posisi duduk, dia perlu berhati-hati dan teliti agar ia tidak ‘lari’ daripada kedudukan asal.

Untuk mendapatkan hasil yang tepat, Anne mencari gambar menerusi Google sebelum menjadikan gambar itu sebagai rujukan. “Mulanya saya meletakkan harga RM3,800 sahaja, tetapi pemilik kek sanggup membayar RM15,000 selepas melihat hasilnya yang sangat menyentuh hati. Ia bukan kek biasa-biasa sebaliknya dihasilkan menerusi kemahiran, kecekapan dan pengalaman.

Berdasarkan keupayaan saya menghasilkan kek dengan sepenuh jiwa, pemilik kek sanggup membayar melebihi harga yang sudah ditetapkan,” katanya gembira.

 Menerima jolokan sebagai pembuat kek viral dan kek termahal di Malaysia, Anne mengakui untuk mencapai tahap sekarang dia bergelumang pelbagai cabaran sebelum melayakkannya menerima pelbagai anugerah.

Mula menjalankan perniagaan sejak 13 tahun lalu, wanita kelahiran Taiping, Perak ini mengakui ketika membuka My Mum’s Bakery, dia langsung tiada ilmu dalam bidang mencabar ini. Ketika itu minat berniaga memang sudah ada namun dia tidak tahu cabang perniagaan yang perlu diceburinya.

BERSAMA kek harimau berharga RM15,000.

“Dulu saya pernah menceburi bidang peragaan. Berbekalkan sedikit modal, saya mula membuka kedai kek hanya bersandarkan resipi ibu tercinta. Mula-mula saya menghasilkan kek krim mentega dan menjual di kedai saja.

“Oleh kerana tiada ilmu dalam perniagaan, saya langsung tidak mengambil tahu mengenai pemasaran dan hubungan dengan pelanggan. Akibatnya, perniagaan jatuh merudum hingga terpaksa menjual kereta. Kedai pula terpaksa ditutup dan berhutang ceti untuk melangsaikan hutang lama,” katanya.

Melihat ibu yang terpaksa berjalan tanpa kenderaan ke kedai kek, Anne sangat sedih. Dia bertekad membangunkan kembali perniagaan kek sehingga berjaya menjadi pembuat kek paling terkenal di Malaysia.

“Dalam kesedihan saya merenung kembali kekurangan dan mula muhasabah diri. Saya mula membuat perancangan dan tidak mahu menyerah kalah kerana sudah pun bermula, rugi sekiranya membiarkan perniagaan ini berkubur begitu saja,” katanya yang mula bangkit mengatur strategi bagi membangunkan semula My Mum’s Bakery.

Daripada usahawan yang mempunyai kedai, Anne mengambil langkah lebih drastik dengan menjual kek di pasar tani menerusi bantuan FAMA. Dia juga mempromosikan kek buatan tangannya dari satu pejabat ke pejabat lain. Hasilnya Anne mampu mengumpul modal untuk membina perniagaannya semula.

Berbekalkan modal Tekun Nasional sebanyak RM50,000, dia mula membina jenamanya sendiri dengan menjual menerusi dalam talian. Sedikit demi sedikit pelanggan mempercayai kek dihasilkan.


Sambung pelajaran tambah ilmu

Meminati seni hiasan kek berbentuk figura, dengan hanya berbekalkan pengalaman dan minat Anne berasakan apa yang diperoleh sepanjang lima tahun belum cukup bagi mengembangkan perniagaannya.

Berbekalkan minat, Anne kemudian menyambung pengajian dalam bidang Diploma Antarabangsa Sugarcraft dan Dekorasi Kek di Square Kitchen yang menggunakan tenaga pengajar dari United Kingdom sepenuhnya.

“Sepanjang menuntut ilmu di situ, banyak yang dipelajari terutama dalam kelas membuat kek dan hiasan. Ia bukan sekadar latihan amali tetapi cara menghasilkan sesuatu figura itu sangat penting agar ia nampak 100 peratus asli. Saya belajar bersungguh-sungguh sesuatu teknik supaya apabila menerima tempahan pelanggan saya mampu menghasilkan kek dengan lebih baik,” katanya.

Kejayaan pertama dalam bidang seni hiasan kek apabila menghasilkan kek perkahwinan selebriti Anzalna dan Amyra Rosli yang mendapat perhatian ramai. Kemudian bakatnya digilap apabila dia berjaya menyiapkan kek bawal eksklusif bernilai RM15,900 diikuti kek perkahwinan Swarovski pertama di Malaysia berharga RM47,000.

Pengalaman dan juga kebolehannya tidak hanya di situ apabila Anne turut diberi peluang menghasilkan rekaan kek untuk Raja Arab Saudi, Raja Salman, Abdul Aziz Al Saud yang dipersembahkan di Seri Perdana Putrajaya pada 2017.

“Saya tidak sangka mampu berada sehingga ke tahap ini. Kepercayaan dan keyakinan orang ramai menjadi pembakar semangat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang saya ada. Setiap kali menerima tempahan pelanggan, saya akan cuba lakukan yang terbaik. Alhamdulillah apa juga yang diminta saya berjaya menghasilkannya,” katanya.

Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Tekun Nasional 2017 ini percaya usaha gigih dan tidak menyerah kalah membuatkan dia mampu membina nama sebaris pembuat kek terkenal yang lain.

MENGHASILKAN kek untuk Raja Salman Abdul Aziz Al Saud.

Walaupun sudah 13 tahun menceburi bidang pembuatan kek, Anne tetap menganggap pembabitannya masih baru dalam bidang perniagaan. Jadi dalam setiap cabaran diberikan, dia suka mencabar diri untuk menjadi perintis dan bukannya pengikut. Hasilnya sepanjang 10 tahun lalu, banyak figura kek menjadi ikutan pengusaha kek yang lain.

“Saya gembira apabila mampu mencetus trend dalam penghasilan figura. Bermula dengan karakter patung Muslimah dan kini barang peribadi seperti kasut, beg tangan, kereta, bola serta rumah, kini berjaya menghasilkan figura yang lebih sulit seperti Minion Rush, Clash of Clans, kek Swarovski dan terbaru harimau yang dijual pada harga puluhan ribu ringgit. Menghasilkan figura sebegini memerlukan kesabaran tinggi selain imaginasi bagi mendapatkan bentuk seakan-akan sama,” jelasnya.

Jelas Anne, bakat dan juga pengalaman yang diperoleh sebelum ini digunakan sepenuhnya bagi menyiapkan setiap watak dalam kek yang dihasilkan.

Untuk setiap dekorasi biasanya dihasilkan di atas permintaan pelanggan dan ada juga gabungan idea sekiranya dia berasa kurang sesuai. Dia juga menghasilkan kek mengikut bajet masing-masing dan tidak tertumpu kepada kek mahal sahaja.

Anne juga turut menjadi pilihan pasangan mempelai yang ingin mendapatkan kek perkahwinan mewah pada harga puluhan ribu ringgit. Selain kek hari jadi, bakerinya juga menyediakan tempahan cenderamata seperti mufin dan kek cawan dalam kuantiti yang banyak. Kek red velvet, pavlova dan pai whoopie antara yang menjadi kesukaan pelanggan.

Menurut Anne, walaupun berjaya menghasilkan apa juga kek permintaan pelanggan, dia sentiasa meningkatkan kemahiran dalam penghasilan figura sesuai dengan permintaan semasa. Dia juga ingin mencabar diri menghasilkan rekaan kek berbentuk seni bina bangunan atau rumah.

Mempunyai hampir 175,000 pengikut di Instagram, impian Anne adalah ingin menjadi pembuat kek terkenal di seluruh dunia. Pada masa sama dia turut mengadakan kelas membuat kek dan dekorasi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta menjadi penceramah motivasi bagi mendedahkan pelajar dalam dunia perniagaan.

KEK bawal eksklusif berharga RM15,900.

Peguam jenayah perlu berani

NUR HAYATI OMAR bergambar semasa menaiki kereta api di Sri Lanka.

Melihat sosok tubuh dan raut wajah wanita ini, pasti kita dapat meneka kerjaya yang diceburinya. Ditambah pula dengan penampilan yang anggun dengan pemakaian formal, kelibat Nur Hayati Omar yang menggayakan blazer ringkas pasti mencuri perhatian sekeliling. Lebih mesra disapa Cik Nur, beliau mengakui tugas yang digalasnya sentiasa berhadapan dengan pelbagai situasi yang mencabar dalam menyelesaikan setiap kes anak guamnya.
 
Figura yang berasal dari Johor ini meletakkan minat yang tinggi dalam bidang perundangan sekali gus mendorongnya gigih berusaha untuk berjaya dalam pelajaran. Pemegang Ijazah Sarjana Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kini meniti tangga kejayaan apabila muncul sebagai antara peguam yang berjaya.

Menelusuri kerjaya wanita ini, beliau merebut peluang menjadi Peguam Persekutuan di bawah Jabatan Peguam Negara dalam Divisyen Perhubungan Antarabangsa selama setahun lebih sebaik sahaja tamat pengajian di universiti.

Menyedari setiap kehidupan memerlukan sedikit perubahan bagi memperoleh pelbagai pengalaman, Cik Nur nekad meneruskan kerjaya sebagai penasihat undang-undang di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang kini dikenali sebagai Puspakom Sdn. Bhd. dan latihan dalam kamar di salah sebuah agensi guaman di Kuala Lumpur.


  ‘‘Di agensi ini saya belajar meneroka sendiri ilmu dalam mengendalikan setiap kes jenayah serta membuat banyak rujukan dengan peguam senior,’’ ujar Cik Nur.

Menyelami cita-cita yang diimpikan oleh wanita ini, Cik Nur sebenarnya menyimpan hasrat untuk menjadi seorang duta sejak dari kecil. 

‘‘Saya telah menjalani ujian temu duga untuk menjadi seorang pegawai tadbir diplomatik. Namun, pada waktu itu, saya dikehendaki menjalani kursus dan latihan selama enam bulan.


‘‘Atas sebab-sebab tertentu, saya mengambil keputusan untuk melupakan cita-cita tersebut dan memberikan perhatian terhadap bidang guaman,’’ katanya. 

Hasil kesungguhannya, Cik Nur meneruskan lagi langkah bagi memantapkan kerjayanya sebagai seorang peguam jenayah dan sivil.

Menurutnya, untuk menjadi seorang peguam jenayah, seseorang itu perlu ada minat, keberanian dan memiliki pengetahuan yang mendalam dalam bidang tersebut selain sentiasa peka dengan perkembangan isu semasa.

Ini kerana katanya, hampir setiap hari terdapat perkembangan terbaharu mengenai sesuatu kes yang diputuskan oleh mahkamah.