Tentang Diri Saya: July 2018

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Thursday, July 19

Bak anak dara

Nurzarina Zakaria


Mengimbau zaman remaja ibu kepada dua anak ini, Nurzarina Zakaria, 34, memang seorang yang mempunyai disiplin tinggi dalam menjaga kecantikan dan kesihatan diri. Bayangkan, ketika pada usia sekolah menengah, wanita ini sudah memiliki rutin penjagaan wajah yang diamalkan setiap hari. Sedangkan zaman itu, kebanyakan gadis remaja masih ‘buta’ berkenaan rutin kecantikan, apatah lagi memiliki disiplin untuk tampil bersih dan menawan.

Bertemu kembali baru-baru ini, Nurzarina masih kekal awet muda bak anak dara. Kerap tampil berkebaya manis di televisyen, pengasas jenama kosmetik ini tidak pernah lokek melontar senyum biarpun saat rancak bercerita.

Selain cerita berkenaan empayar perniagaan dimiliki, Hati turut mengajak Nurzarina berkongsi petua cantik yang diamalkan dari dulu sampai kini. Sudah pasti, ramai wanita mahu mencedok sedikit sebanyak amalan yang dilakukan untuk tampil cantik persis wanita 20-an bukan?

Kata Nurzarina, sejak dulu lagi dia memang sukakan amalan penjagaan wajah secara tradisional kerana bahannya senang diperoleh dan harganya lebih murah. Bahkan, dia juga menanam sendiri tumbuh-tumbuhan seperti kunyit, kencur, lengkuas, lidah buaya dan pelbagai jenis herba kecantikan.

“Bagaimanapun, kecenderungan itu juga berubah seiring peredaran zaman. Kebelakangan ini saya lebih suka menggunakan ramuan tradisional yang ditanam secara organik kerana selamat dan tiada bahan kimia berbahaya.

“Corak pemakanan saya juga sudah bertukar kepada 100 peratus organik. Saya akan pastikan semua barang dapur adalah organik tidak kira sama ada garam, gula, mee, kicap dan sos. Semua barang ini saya beli dari kedai yang menawarkan produk organik dan memasak sendiri di rumah.

“Jadi, kalau ditanya kepada saya sama ada cara moden atau tradisional, saya percaya bahan organik lebih dekat dengan ciri tradisional. Harga memang sedikit mahal, tetapi segar, organik dan berkhasiat,” katanya.

Rawat diri di rumah

Bercerita lanjut, kata Nurzarina, dia mula mengamalkan rutin penjagaan wajah seawal usia 12 tahun. Ketika itu, dia menggunakan set penjagaan lengkap termasuk pencuci muka, penyegar dan pelembap.

“Sejak umur 12 tahun juga saya sudah mula menjaga diet. Saya tidak suka makanan berminyak dan hanya makan dalam kuantiti sangat sedikit. Mungkin kerana terikut-ikut cara mama menjaga pemakanan di rumah, memang tiada makanan segera langsung di dalam peti ais. Lucunya saya mula makan makanan segera ketika umur 18 tahun. Itu pun ketika rakan mempelawa ke restoran makanan segera untuk meraikan hari lahir,” katanya ketawa.

Menurutnya, sepanjang tempoh membesar, dia lebih percayakan bahan semula jadi berbanding produk penjagaan diri di pasaran. Jika kulit ditumbuhi jerawat umpamanya, Nurzarina akan memetik pucuk jambu, digumpal dan disapu pada jerawat.


 NURZARINA Zakaria amal petua tradisional.

 “Kalau ada ruam, saya hanya menggunakan daun sirih yang diletakkan sedikit garam. Daun ini saya gumpal hingga mengeluarkan air sebelum disapu pada ruam wajah. Ajaibnya, ruam akan sembuh tidak sampai tiga hari.

“Untuk rutin setiap pagi, saya akan minum air halia yang dimasak bersama serai, asam keping, lada hitam dan sedikit gula melaka. Air rebusan ini bagus sangat untuk membuang angin dalam badan dan membantu melancarkan peredaran darah. Kemudian, sebelum dan selepas bangun tidur, saya biasanya minum segelas air kosong untuk menyegarkan tubuh,” katanya.

Siapa sangka masih ada pengasas kosmetik pada zaman serba moden ini rajin membancuh pelbagai ramuan tradisional untuk merawat serta mencantikkan setiap inci tubuh di rumah.

“Seperti kebanyakan orang, saya juga berusaha mencukupkan waktu tidur, bersenam dan menjaga pemakanan. Tetapi ramai yang tidak tahu saya sangat sukakan rawatan spa di rumah. Seminggu sekali, saya akan buat skrub muka sendiri menggunakan nanas dan madu.

“Untuk rambut, saya hanya gunakan kuning telur, pucuk manis bersama santan. Kalau tak ada pucuk manis, saya gantikan dengan daun bunga raya. Hasilnya, rambut memang berkilat dan lebat!

“Sesekali, saya juga senang memanjakan diri dengan mandi susu di rumah. Buat sendiri di rumah tentu sekali lebih murah dan jimat berbanding ke spa. Saya hanya gunakan dua kotak susu segar yang kosnya sekitar RM10.

“Paling penting, seminggu sekali juga saya akan minum sup ayam kampung yang direneh selama dua jam menggunakan herba Cina seperti Goji Berry, ginseng, kurma merah dan halia kering. Andai diamalkan selalu, badan akan berasa ringan dan kulit jadi lebih halus kemerahan,” katanya.

Jelas Nurzarina, dia juga tidak ke salun untuk mencantikkan kuku, sebaliknya merendam hujung jari dalam sir suam bersama cuka epal. Dengan cara itu, kuku akan bersih berkilat. Menguatkan kuku supaya tidak patah, dia menggunakan seulas bawang putih dan menekan kuku ke bahagian dalam bawang sebelum dibilas bersih.

“Ramai orang tahu perlunya minum air yang cukup, tapi gagal berbuat demikian. Saya sendiri akan membawa bekal dua liter air setiap hari sebelum keluar rumah dan pastikan ia habis sebelum pulang pada sebelah petang. Apabila air dalam badan mencukupi, kulit kekal sihat dan badan akan bertenaga sepanjang hari.

“Sebagai usahawan kosmetik, saya cukup mementingkan asas dalam solekan. Setiap kali sebelum bersolek, saya akan oleskan pelindung matahari terlebih dahulu. Saya juga akan pastikan alat solek seperti berus dan span muka dalam keadaan bersih serta kering. Semua peralatan ini perlu dicuci dua kali seminggu untuk mengelakkan risiko pembiakan bakteria yang akhirnya mengakibatkan jerawat,” katanya.


Tip Mudah
1. Rebus kurma merah dan minum airnya setiap malam untuk mendapatkan kulit halus kemerahan.
2. Elakkan makan ubat ketika sakit kepala. Kisar timun dan minum airnya untuk menghilangkan rasa sakit kepala.
3. Untuk membuang toksin dalam badan, rendam tiga keping asam gelugor dalam air panas dan minum perlahan-lahan.
4. Rawat bibir kering dan menggelupas dengan skrub bibir. Campurkan gula bersama madu dan sental sekali seminggu.
5. Makan buah sebelum makanan berat.
6. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
7. Banyakkan sayur dalam hidangan.
8. Amalkan mandi dengan memulakan siraman di kaki dahulu.

Monday, July 16

Perancis juara Piala Dunia ke-21!

Akhirnya Perancis memenangi Piala Dunia buat kali kedua selepas menewaskan Croatia dengan jaringan 4-2 sebentar tadi. Kejuaraan tersebut mengulangi kejayaan Piala Dunia ke-16 pada 1998 ketika menjadi tuan rumah untuk kali kedua selepas Piala Dunia ke-3 Perancis 1938.

Impian Croatia untuk merangkul kejuaraan sulung akhirnya lebur selepas tumbang di tangan Perancis dan akhirnya negara Balkan itu muncul naib juara buat kali pertama dalam rekod Piala Dunia sejak 1998 di mana sebelum ini Craotia memenangi tempat ketiga selepas tersungkur di tangan tuan rumah Perancis yang akhirnya memenangi Piala Dunia 1998 di halaman sendiri.

Tahniah buat kedua-dua pasukan ini. Jumpa lagi di Piala Dunia ke-22 Qatar 2022!

Sunday, July 15

Piala Dunia ke-21 dah nak habis!

Tinggal beberapa jam sahaja lagi temasya bola sepak terpenting di dunia iaitu Piala Dunia ke-21 Rusia 2018 akan melabuhkan tirainya malam ini! Pasukan manakah yang akan menjulang trofi Piala Dunia edisi ke-21 kali ini? Adakah Perancis selaku juara dunia 1998 (Piala Dunia ke-16) semasa menjadi tuan rumah ataupun Croatia yang akan merangkul kejuaraan sulung? Sama-sama kita saksikannya di TV1 dan Astro (bagi pelanggan saluran Piala Dunia) pada jam 11.00 malam ini! Sediakan dulu kopi untuk merasai suasana Piala Dunia buat hari yang terakhir ini!

Setelah dua bulan berjaga malam bermula dengan sahur sepanjang Ramadan baru-baru ini maka peminat setia bola sepak tidak kira tegar ataupun bermusim akan berjaga malam buat hari yang terakhir untuk mengikuti perlawanan akhir berkenaan antara Perancis dan Croatia yang akan merebut trofi Piala Dunia buat edisi ke-21. Tempat ketiga dimenangi Belgium setelah menumbangkan bekas juara dunia 1966 (Piala Dunia ke-8) iaitu England dengan jaringan 2-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat malam semalam.

Selamat menikmati Piala Dunia ke-21 buat hari yang terakhir!

Thursday, July 12

Perancis lwn Croatia - Penutup tirai Piala Dunia ke-21

Untuk makluman peminat bola sepak, pasukan Croatia mencatat rekod Piala Dunia apabila layak ke perlawanan akhir buat kali pertama setelah menumbangkan bekas juara dunia 1966 iaitu England dengan jaringan 2-1 dan akan bertemu dengan juara dunia 1998 iaitu Perancis pada 15 Julai ini jam 11.00 malam (siaran langsung di TV1). Tahniah diucapkan buat calon juara dunia, Croatia!

Belgium akan bertemu dengan England untuk merebut tempat ketiga pada 14 Julai ini jam 10.00 malam (siaran langsung di TV1).

Perancis bakal merangkul gelaran dunia kedua sementara Croatia adalah calon juara dunia, iaitu bakal juara Piala Dunia edisi ke-21 kali ini. Selamat berjuang untuk kedua-dua pasukan tersebut!

15 Julai ini merupakan penutup tirai Piala Dunia ke-21 dan demam kejohanan tersebut akan hilang dengan sendirinya sebaik sahaja ia berakhir.