Tentang Diri Saya: Bina jenama di usia muda

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Friday, April 5

Bina jenama di usia muda

Oleh Siti Zarinah Sahib

Matanya redup bercahaya. Berkulit cerah dengan rambut panjang beralun cantik membuatkan sesiapa saja tidak jemu memandang wajahnya. Walau hanya secalit celak bersama gincu nipis merah jambu, penampilan pemilik nama sebenar Vivy Sofinas Yusof, 25, sudah cukup menyerlah. Tambahan pula ketika itu dia sedang hamil enam bulan menampakkan seri seorang ibu.

Akuinya, dia memang gemar bergaya dan bijak memadankan pakaian dengan perhiasan. Sifat ini terbawa-bawa ketika menuntut di United Kingdom (UK) apabila sering melaram dengan jenama luar negara dan sanggup berhabis duit untuk membeli-belah.

“Ketika di UK saya sanggup berhabis duit menggunakan wang belanja dikirim bapa untuk membeli-belah. Ada ketika sehingga sanggup berlapar atau hanya makan mi segera. Ini disebabkan membeli-belah begitu mudah hanya di hujung jari. Pilih saja mana yang berkenan di hati,” ujar anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada London School of Economic di UK namun Vivy tidak bekerja dalam bidang guaman sebaliknya memilih membuka perniagaan sendiri dengan menubuhkan laman membeli-belah FashionValet.net (FV).


FotoFoto


Semuanya bermula kerana rasa teruja melihat perkembangan fesyen di UK yang begitu pantas. Malah rata-rata penduduknya membeli-belah menerusi dalam talian berbanding Malaysia yang ketika itu masih belum menggunakan Internet sepenuhnya dalam menyelesaikan urusan perbankan.


Selepas menamatkan pengajian dan pulang ke Malaysia, Vivy membantu bapa menjalankan perniagaan hartanah. Namun minat dalam bidang fesyen begitu menebal dan dia kembali merindui untuk membeli-belah menerusi dalam talian. Ditambah pula kesibukan setiap hari dengan tugasan di pejabat menyebabkan dia tiada masa ke pusat beli-belah.

Menyedari perkembangan teknologi maklumat yang semakin pesat, selepas mendapatkan pandangan bapa Vivy nekad melancarkan pusat beli-belah dalam talian FashionValet.net pada 2009 dengan mengumpulkan seramai 15 pereka tempatan seperti Inai, Mimpikita, Sister Margaritta, PU3 dan Datuk Radzuan Radziwil yang cukup kreatif.

Jadi dengan mengajak mereka menyertai FV, sekurang-kurangnya ia dapat memartabatkan industri fesyen negara serta menyokong jenama tempatan.

“Sebagai ahli perniagaan sudah semestinya saya mahu tampil berbeza dengan mengetengahkan produk tempatan. Selama ini wanita mendapatkan jenama luar negara kerana kurang promosi mengenainya. Jadi dengan menghimpunkan pereka kreatif ini, selain memberi peluang pelanggan mendapatkannya sekali gus memperkenalkan produk tempatan di mata dunia,” jelasnya tegas.


Hargai pengalaman

Vivy yang juga seorang penulis blog menerusi blog Proudduck.com juga memiliki ribuan peminat terdiri daripada pelajar sehingga golongan ibu. Walaupun dia tidak pernah mengiklankannya, hari demi hari pembaca blog semakin bertambah.

Malah dengan adanya FV dia lebih mudah mempromosikan produk terbaru kepada mereka.

“Sebenarnya saya menghasilkan blog semata-mata kerana minat menulis. Saya menulis apa yang saya lakukan setiap hari terutama yang memberikan inspirasi dan semangat. Proudduck.com ditujukan kepada mereka yang menghargai kehidupan, pelajaran, kasih sayang, suka makan dan berfesyen. Ia juga untuk wanita yang berfikiran positif dan mementingkan penampilan, “katanya jujur.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Sri Cempaka, Vivy mempunyai pengalaman persekolahan yang amat berlainan kerana dia sering bertukar sekolah.

“Memang kemahuan saya sendiri kerana ingin merasai pengalaman berbeza serta mendapatkan sesuatu yang baru di sekolah. Selain itu saya juga inginkan cabaran dan akan lebih melipatgandakan usaha untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya yang dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan pendidikan.

Dia mengakui ayahnya seorang usahawan berjaya dan sangat tegas mendidik anak-anak. Tidak hairan walaupun sering bertukar sekolah, Vivy mencipta rekod apabila sentiasa mendapat markah penuh dan mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama.

Mewarisi sifat bapa yang tidak pernah berputus asa memajukan diri, Vivy mengakui setiap kali cuti sekolah dia menghabiskan masa di pejabat bapa bagi mempelajari asas perniagaan malah sehingga kini dia tidak pernah jemu mendapatkan nasihat berguna daripada bapa serta ibu yang menekankan soal agama.

“Saya bersyukur ayah dan ibu sangat mementingkan pendidikan. Mereka mengasuh saya supaya menghargai pelajaran dan menjadikan buku sebagai teman setia. Saya juga manja dengan ayah dan sering berkongsi masalah dengannya. Saya selalu bertanya strategi perniagaan dan melihat ciri kepimpinannya. Dia tidak lokek ilmu dan sentiasa memberi sokongan kepada saya. Malah saya tidak segan silu memperkenalkan teman lelaki kepadanya untuk mendapatkan reaksi pertama.

“Ibu pula yang bertugas sebagai guru sangat mementingkan disiplin dan hal agama. Sejak kecil saya dididik menjaga akhlak dan perilaku serta tidak meninggalkan solat,” katanya.


Jenama sendiri

Bercerita mengenai masa depan, anak bongsu dua beradik ini mengakui mempunyai pelbagai perancangan bagi memastikan FV terus kukuh dan menjadi pilihan utama sebagai pusat beli-belah dalam talian. Dalam masa terdekat FV akan mengeluarkan jenama sedia dipakai, Designer Love FV yang hanya menyediakan pakaian eksklusif daripada pereka tertentu saja.

Dia juga bercadang ingin memperkenalkan pakaian kanak-kanak, ibu hamil serta mengetengahkan jenama FV sedikit masa lagi.

“Selepas dua tahun beroperasi, kini tibalah masanya FV mengeluarkan jenama sendiri. Itu pun selepas menerima maklum balas positif peminat yang meminta saya menyediakan pakaian untuk mereka. Lebih penting saya ingin mengembangkan perniagaan di luar negara dengan membuka syarikat di rantau Asia seperti Indonesia, Singapura dan Brunei,” jelasnya yang kini memperkenalkan rekaan dari Indonesia dan Thailand serta mempunyai pelanggan dari seluruh dunia termasuk Singapura, Brunei, Indonesia, Australia dan UK.

Selain bapa sebagai idola, dia yang melangsungkan perkahwinan dengan rakan kongsi perniagaan Fadzarudin Anuar pada Julai 2012 mengakui suami banyak memberikan semangat serta nadi utama dalam perniagaan. Dia juga banyak memberikan idea untuk mewujudkan laman sesawang yang bagus, bertindak sebagai pegawai operasi, menjaga kewangan dan berurusan dengan pereka fesyen.

“Paling terharu apabila dia sanggup melepaskan jawatan untuk bersama-sama saya memajukan perniagaan FV yang kami anggap sebagai permata utama. Tanpanya tidak mungkin saya berada seperti sekarang,” ujarnya.


Tiada rahsia cantik

Lama bercerita tidak lengkap sekiranya tidak mencungkil rahsia wanita ini menjaga kecantikan. Katanya dia tidak mempunyai rahsia khusus cukup dengan minum banyak air kosong serta memastikan tidur lapan jam sehari. Dia juga adalah penggemar buah-buahan dan makan dengan banyak sebelum waktu makan.

Memiliki kulit agak sensitif, Vivy sangat memilih produk penjagaan wajah dan memastikan pembersih, penyegar dan pelembap sesuai dengan jenis kulitnya.

Melihat solekannya yang ringkas namun bertenaga, dia mengakui penggemar celak dan maskara yang mesti dipakai tatkala keluar rumah selain mengenakan solekan tipis tanpa gincu.

“Saya jarang tinggalkan celak dan maskara kerana kedua-duanya membuatkan wajah kembali segar dan menawan. Tetapi, saya tidak boros membeli alat solek dan hanya mendapatkannya ketika perlu saja,” katanya yang menggemari maskara berjenama Dior.

Walaupun suka berfesyen, Vivy masih mengekalkan penampilan sederhana dan feminin serta mempunyai peraturan dalam berpakaian iaitu tidak memakai baju tanpa lengan atau skirt pendek.

“Saya sukakan gaya ringkas,namun sopan. Paling saya gemari adalah pakaian berpotongan kaftan kerana nampak feminin, lembut dan sopan serta boleh digayakan ke majlis rasmi atau kasual,” katanya yang tampil bergaya mengenakan blaus kaftan biru serta jaket bercorak untuk sesi penggambaran M.

No comments:

Post a Comment