Tentang Diri Saya: November 2021

Mesti klik!

Klik dan daftar! Percuma aje!


Klik dan daftar! Percuma aje!


Jangan tak daftar! Klik di sini dan daftar! Percuma aje!

Wednesday, November 10

Roh intelek UKMS terus hidup

 

GAMBAR HIASAN


Seandainya pada 30 September 2021, Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Sabah (UKMS) masih wujud, bermakna kita sudah meraikan ulang tahun kewujudannya ke-47.

Namun, dengan pertimbangan kepemimpinan sekitar 1994, UKMS diarahkan tutup pada 1996. Pada saat kita meraikan Hari Malaysia ke-58, sekitar 25 tahun lalu, kita kehilangan satu mercu tanda gagasan Malaysia, sedangkan gagasan itu lahir daripada kebijaksanaan Bapa Malaysia sejak 1960-an.

Beberapa minggu lalu, sahabat saya Matusup Rasid mengirim gambar kampus UKMS di tapak sementaranya di Limauan Kinarut, Bukit Padang Kota Kinabalu dan Menggatal, Jalan Tuaran.

Turut dikirim gambar kediaman Tun Datu Mustapha Datu Harun, mantan Ketua Menteri dan Menteri Kabinet.

Amat menyedihkan sebahagian gambar itu adalah kemusnahan dan keusangan kampus Menggatal dan kediaman Tun Mustapha di Tanjung Aru.

Sebagai bekas warga kerja, saya ingin merakamkan bahawa UKM pernah wujud lebih dua dekad di Sabah, tetapi institusi itu lenyap pada 1996 ekoran penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 1994. Generasi baru harus mengetahui UKM pernah menggilap kegemilangan di Borneo dan tokoh penubuhannya ialah Tun Mustapha.

Beliau pada satu majlis di Sipitang pada November 1965 menzahirkan iltizam untuk mendirikan sebuah universiti di Sabah. Baginya universiti amat perlu untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi memajukan Sabah. Bahkan pemikiran ini terangkum dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 bersama gagasan pembentukan Malaysia.

Apabila UKM ditubuhkan pada Mei 1970, Tun Mustapha segera mengutarakan kepada Tun Razak, Perdana Menteri yang juga Canselor UKM, agar mengembangkan sayapnya ke Sabah. Hujahnya, penubuhan cawangan di Sabah dapat memperkukuh konsep Malaysia yang baru ditubuhkan itu.

Dengan pemahaman sedemikian, maka kerajaan meluluskan penubuhan UKM Kampus Sabah pada 30 September 1974 dengan penawaran program matrikulasi di kampus pertamanya di Kebun Kawang, Kinarut. Kegembiraan Tun Mustapha jelas terlihat apabila beliau menukar nama lokasi kampus dengan nama Limauan, mengambil sempena kampung halamannya di Kudat, Limau-Limauan.

Pembukaan kampus itu adalah era baharu dalam pendidikan, yang menguak ruang luas kepada anak Sabah memperoleh pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Ruang itu semakin terbentang dengan program pengajian peringkat ijazah pada 1976, khususnya pada 1979 menerusi pembukaan Fakulti Sains dan Sumber Alam yang menawarkan program Biologi, Kimia, Sains Bumi dan Sains Laut.

Pada masa sama, kampus UKMS dipindahkan ke Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Iltizam kerajaan Sabah terhadap kepentingan kewujudan UKMS dibuktikan dengan penyerahan tanah seluas 909 ekar di Teluk Likas oleh Ketua Menteri, Datuk Harris Mohd Salleh pada 1978. Namun, disebabkan faktor kewangan, tanah itu belum dapat dibangunkan untuk dijadikan kampus tetap dan komprehensif.

Saya pernah ditugaskan di UKMS Bukit Padang Kota Kinabalu bermula Oktober 1986. Menerusi pergaulan dengan ilmuwan dan pembabitan dengan masyarakat di Sabah, saya meyakini, sebuah universiti tidak harus diukur dengan gedung fizikal yang gah tetapi budaya keuniversitiannya yang sentiasa menyantuni denyut nadi dan aspirasi rakyat dan masyarakat.

Bagi memenuhi keperluan logistik berikutan perpindahan Fakulti Sains Pembangunan, pada pertengahan 1990, kampus UKMS berpindah pula ke Pusat Latihan Telekom Menggatal, Jalan Tuaran. Kampus Menggatal di kaki bukit menghijau cukup indah dan lengkap keperluan prasarananya.

Gabungan dua fakulti dan kepakaran dalam sains dan teknologi serta sains sosial dan kemanusiaan, UKMS meneruskan kesepaduan ampuh dalam pendidikan dan penyelidikan.

Ditambah dengan aktiviti kemahasiswaan yang berpijak kepada realiti kemasyarakatan, semuanya dilaksana untuk menangani permasalahan rakyat khususnya bidang pendidikan.

Saya dapat merasakan betapa masyarakat Sabah sangat menyanjung kehadiran mahasiswa dan ilmuwan UKMS. Apa juga isu yang menggusarkan masyarakat, pastinya tokoh ilmuwan UKMS muncul membicarakannya.

Sepanjang bertugas di UKMS, saya mendapati jaringan dan jangkauan intelektualnya menjejaki hampir seluruh dimensi kehidupan masyarakat. Kerjasama dengan pelbagai agensi utama di peringkat negeri, terus diperkukuhkan. Sabah dan Borneo yang begitu kaya dengan khazanah alam, sosio budaya dan kemasyarakatan terus diteroka menerusi ekspedisi saintifik.

Di tengah kerancakan UKMS menyemarakkan aktiviti keilmuan, kerajaan menubuhkan UMS pada 1994 sebagai memenuhi janji pilihan raya. Warga UKMS dikejutkan dengan berita bahawa dalam tempoh dua tahun, UKMS ditutup, mereka diberi pilihan sama ada diserapkan ke UMS atau berpindah ke Bangi dan tanah kampus tetap UKMS seluas 909 ekar di Teluk Likas dijadikan kampus tetap UMS.

Walaupun pada tahun berkenaan saya tidak lagi bertugas di UKMS, berita itu benar-benar menikam kalbu saya.

Saya menyuarakan pandangan kepada pihak berwewenang bahawa UKMS tidak harus ditutup kerana ia memiliki sejarah istimewa dalam konteks pembinaan negara bangsa. Saya mempersoalkan barangkali kita terlupa persefahaman yang lahir daripada jiwa besar pelopor khususnya Tun Razak dan Tun Mustapha yang menganggap UKMS bukan sekadar universiti tetapi jiwa Malaysia.

Saya juga menyebutkan betapa UKMS adalah pengayaan keilmuan dan pengalaman intelektual masyarakat, seharusnya dijadikan asas untuk mempertahankan kewujudannya.

Namun, suara saya suara kecil. Akhirnya, pada 30 Jun 1996, pintu pagar Kampus UKMS ditutup buat kali terakhir oleh Ketua Keselamatan, Kusmin Haji Imam ditemani isterinya Dzalehar Mat dengan linangan air mata sebelum balik ke Semenanjung.

Selepas 25 tahun sirna, saya percaya roh dan semangat keintelektualannya terus membekas dalam sanubari alumni, warga kerja dan rakyat Sabah. Atau apakah kini sudah timbul kesedaran yang UKMS harus dihidupkan kembali?

Penulis Bekas Pendaftar UKM