Rakam pemandu Grab wanita, Tan Siew Ghim mahu buktikan pada anak, usia bukan penghalang untuk bekerja. FOTO: Aswadi Alias
RANCAK sungguh dua wanita ini bersembang. Masing-masing nampak teruja
berkongsi pengalaman sebagai pemandu. Ada yang manis, tidak kurang juga
pengalaman menakutkan. Namun, kedua-duanya punya cara tersendiri untuk
menangani situasi buruk dihadapi.
Dalam nada ceria dan
bersemangat, Tang Siew Ghim, 62, dan Dayang Nor Hafiza Ahmad, 31,
bertukar cerita dan idea. Bagi mereka, wanita tidak seharusnya mudah
tunduk kepada situasi, sebaliknya perlu sentiasa bersedia.
Sekalipun banyak cerita tidak enak berkait nasib pemandu kereta sewa,
teksi mahupun Grab sendiri, Dayang dan Siew Ghim nekad meneruskan
kerjaya, sekali gus membantu lebih ramai penumpang wanita.
Kata
Dayang, soal keselamatan dan risiko memang tiada kompromi. Bahkan
sebelum mendaftar sebagai rakan pemandu, dia sudah menimbangkan perkara
itu semasak-masaknya.
“Saya
adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebelum jadi pemandu,
saya melakukan pelbagai pekerjaan dalam bidang jualan dan pemasaran.
Tawarkan kad kredit, pinjaman peribadi, kumpul dana kebajikan, edar
sampel makanan, jual perisian dan perkakasan komputer serta banyak lagi.
“Semua ini biasa kalau kita hanya ada SPM. Kebanyakan peluang kerja
memang dalam bidang jualan. Gaji pula bergantung kepada prestasi diri,
manakala cuti amat sukar diperoleh.
“Tetapi, perkara paling
penting yang menjadi titik tolak perubahan dalam hidup saya adalah
simpanan. Sepanjang menjadi jurujual, saya langsung tidak berkesempatan
membuat tabungan untuk kecemasan.
“Hendak dijadikan cerita, ibu
saya di Sarawak jatuh sakit ketika saya bekerja di Kuala Lumpur.
Sedihnya hanya tuhan yang tahu apabila saya tiada duit hendak membeli
tiket penerbangan pulang, menjenguk ibu di kampung,” katanya.
DAYANG Norhafizah berkata dia mampu menabung sejak menjadi pemandu Grab.
Berikutan itu, Dayang membuat keputusan mendaftar sebagai pemandu
pada 2016. Walaupun masih samar dengan tindakan yang dibuat, wanita ini
nekad mencari ruang untuk memajukan dirinya.
“Saya hanya terbaca
mengenai perkhidmatan ini di Internet. Ketika itu, ramai rakan bersetuju
kerjaya pemandu boleh membantu sesiapa saja untuk ‘buat duit’. Dalam
keadaan terdesak, saya terus mendaftar. Prosesnya mudah dan saya
bersyukur diterima.
“Sejak itu, saya mula mengutip pengalaman
baru, pelbagai ragam dan rencam manusia. Mujur juga pengalaman kerja
lalu banyak membantu. Tambahan saya seronok memandu.
“Daripada
sekadar suka-suka, saya akhirnya memilih untuk serius. Saya tetapkan
disiplin dalam kerja dan pengurusan kewangan. Kalau dulu langsung tiada
simpanan, kini saya punya tabungan sendiri. Dulu bujang kerap tidak
berduit, beberapa bulan selepas menjadi pemandu, saya berjaya mengumpul
wang untuk menampung perbelanjaan perkahwinan. Paling utama, saya boleh
cuti bila-bila masa,” katanya.
Dalam pada itu, Siew Ghim turut
berkongsi cerita, mengapa dia sanggup menjadi pemandu pada usia emas.
Ketika wanita seusianya memilih untuk berehat, Siew Ghim mengejar
peluang kerja demi menyara kehidupan anak angkatnya yang kini berusia
sembilan tahun.
“Ramai tanya kenapa saya masih bekerja. Kenapa
tidak? Saya mahu buktikan kepada anak umur tidak mempengaruhi kehendak
seseorang itu untuk terus berusaha.
“Saya mahu anak lihat dan
menjadikan diri saya sebagai contoh. Biar dia bandingkan kemampuan
wanita berusia 62 tahun ini dengan dirinya. Kalau saya boleh rajin dan
tidak jemu berusaha, mengapa dia perlu berputus asa?
“Lagipun,
untuk mendapatkan pekerjaan pada usia sekarang bukanlah mudah. Disiplin
harus ada. Kalau mahu pendapatan lumayan, kita perlu bekerja
bersungguh-sungguh.
“Saya sendiri ada waktunya bekerja tujuh hari
seminggu. Musim raya, saya akan curi peluang ‘menggantikan’ ramai
pemandu yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing. Selain itu,
saya juga tidak pernah memilih pelanggan. Siapa saja yang masuk
(permintaan), saya akan terima walaupun jauh,” katanya.
Jelas
Siew Ghim, dia gembira bergelar pemandu wanita kerana dapat menawarkan
perkhidmatan menghantar dan menjemput dengan selamat, khususnya untuk
golongan wanita dan pelajar.
“Ada ramai wanita yang keluar
bekerja awal pagi dan pulang apabila hari gelap. Begitu juga pelajar
sekolah dan remaja. Mereka ini kadang-kadang sengaja saya tegur dan
nasihat supaya pulang lebih awal.
“Kebanyakan yang ditegur
menerima secara baik. Ada ramai juga budak remaja yang turun kereta dan
bersalam sebelum mereka pergi. Pernah juga ada yang tertinggal barang
berharga dalam kereta saya. Mereka ini memang saya ‘sekolahkan’
betul-betul.
“Saya percaya, sikap terbuka amat perlu. Dalam usia
ini, pendapat dan nasihat saya lebih mudah diterima golongan muda.
Walaupun ada yang masih bersikap biadab, ramai lagi yang tahu bersopan
santun,” katanya.
PEMANDU wanita yang diraikan sempena Hari Wanita Antarabangsa, baru-baru ini.