Wanita muda ini bukan saja bersemangat kental, malah cukup optimis dalam melalui liku hidupnya sebagai ibu. Asal usul dirinya bukan dari kalangan orang berada, malah tidak juga datang daripada keluarga miskin.
Namun, dugaan dalam hidup kedua-dua ibu bapanya empat tahun lalu membawa Ereena Elyza Samsu, 31, ke suatu daerah baru. Wanita ini mula mengenal erti kesempitan hidup dan belajar menggalas tanggungjawab berat sebagai anak, demi menyenangkan ibu ayah tercinta.
Anak tunggalnya menjadi sumber kekuatan, manakala suami tidak jemu memberi dorongan.
Bermodalkan duit simpanan RM300, Ereena menyusun langkah dan mula berjinak-jinak dengan perniagaan dalam talian.
Bersandarkan pengalaman sebagai ibu yang pernah berdepan tekanan besar selepas gagal menyusukan bayi sendiri, Ereena nekad menghasilkan biskut penggalak susu. Mana tahu, rupanya usaha dan niat murni untuk menyenangkan keluarganya membuka pintu rezeki maha luas.
Biskut penggalak susu Twelve Ounces.
DEMI IBU
Menurut Ereena, dia dibesarkan di Shah Alam dan melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dalam jurusan perniagaan.
“Saya dari keluarga sederhana. Ibu bekerja di syarikat perkapalan, sementara ayah kakitangan bank. Sepanjang membesar, saya banyak melihat kesusahan ibu ayah yang terpaksa bekerja dan mengetepikan kepentingan diri demi membesarkan saya dan adik.
“Mereka keluar awal pagi dan pulang ketika kami sudah tidur. Tidak banyak masa dihabiskan bersama kecuali hari minggu. Ayah pula kerap sakit dan dimasukkan ke hospital kerana tekanan kerja serta keletihan. Dari situ, saya mula bertekad untuk bekerja sendiri,” katanya.
Ujian demi ujian datang menduga. Sehingga ibunya kehilangan wang pencen akibat ditipu. Kata Ereena, masa depan kedua-dua ibu bapanya seakan-akan gelap tiba-tiba. Masalah kewangan pula meruncing dari hari ke hari.
“Ketika itu saya hanya berniaga biskut secara kecil-kecilan. Tempahan juga tidak banyak. Suatu hari, ibu menelefon mengajak saya keluar membeli beras dan kami ke pasar raya berdekatan. Saya sangka ibu membawa wang. Tetapi sebaik ditanya, baru ibu beritahu dia tidak mempunyai duit.
“Sebagai anak, saya tidak sanggup menghampakan ibu, apatah lagi membiarkan kedua-duanya berlapar di rumah. Berbekalkan duit tempahan awal pelanggan sebanyak RM100, saya belikan ibu beras dan serahkan baki wang kepadanya untuk dibuat belanja.
“Pada sebelah malamnya, saya ke pasar raya sama sekali lagi. Duit memang tidak ada, tetapi saya pergi juga dengan anak, membawa kad kredit milik suami. Saya begitu yakin bahawa kad berkenaan masih berbaki. Namun rupanya transaksi gagal,” katanya.
Jelas Ereena, dia buntu namun masih meyakinkan diri mempunyai baki simpanan wang dalam akaun miliknya. Tetapi selepas semakan dibuat, dia sekali lagi kecewa.
“Saya pergi semula ke kaunter, memberitahu tidak mempunyai wang dan mahu memulangkan kembali semua barang. Tiba-tiba penggera di kaunter berbunyi dan saya bersama anak terus dibawa pengawal keselamatan turun ke tingkat bawah.
“Malu bukan kepalang. Semua mata di situ seolah-oleh melihat diri saya sebagai pencuri. Hari itu juga saya menangis semahu-mahunya. Saya tidak bekerja. Malah, membeli mainan berharga RM2 untuk anak pun saya tidak mampu.
“Dalam sedih itu saya mengumpul kekuatan diri. Saya jadikan apa yang berlaku sepanjang hari itu sebagai titik perubahan untuk diri. Saya katakan pada diri bahawa cukuplah pengalaman pahit semalam.
“Saya mahu pastikan anak dan ibu bapa merasai kesenangan hidup. Biar mereka minta apa pun, saya mampu tunaikan. Waima rumah dan melancong ke luar negara sekali pun, saya mahu pastikan ia tertunai,” katanya.
Berhari raya di Bukit Fraser bersama keluarga.
MEMBINA KESENANGAN
Sedikit demi sedikit wang lebihan pemberian suami disimpan untuk dijadikan modal permulaan. Pada masa sama, Ereena mencuri masa menaik taraf resipi biskut dan mempelajari selok-belok berniaga di Facebook dan Instagram.
“Pelbagai ilmu digali untuk memastikan resipi biskut ini menjadi. Kalau boleh, saya mahu pastikan biskut ini bukan sekadar membawa rezeki untuk keluarga kami, malah membantu lebih ramai ibu di luar sana menyusukan bayi mereka.
“Jadi, berbekalkan simpanan RM300, saya mula menempah pelekat, membeli balang kuih dan bahan diperlukan. Saya namakan biskut penggalak susu ini sebagai Twelve Ounces Milk Booster. Dari jualan tidak sampai RM2,000 sebulan, saya akhirnya berjaya keluar dari kesukaran hidup dengan pendapatan berganda.
“Alhamdulillah, hasil kajian tiga tahun ini, jenama ini menempa kejayaan dan memenangi hati ramai ibu seluruh negara, Singapura, Brunei dan Filipina. Ternyata saya bukan setakat membantu ibu menyusu, malah mampu menyenangkan ibu sendiri. Kalau dulu, hendak balik kampung sekali-sekala pun tidak cukup wang, hari ini saya boleh bawa ibu dan ayah melancong ke tempat yang jauh.
“Andai dulu saya berkira untuk menghantar anak ke tadika, kini saya dikurniakan rezeki melimpah ruah untuk memantapkan pendidikannya,” katanya yang terpaksa menyewa premis baru tahun lalu untuk dijadikan kilang pembuatan biskut dan ruang pejabat.
Paling utama katanya, dia berupaya membantu lebih ramai wanita untuk menjana pendapatan sampingan dari rumah.
“Kerana saya percaya, mesti ada wanita yang mempunyai cerita sama seperti saya ataupun lagi berat dugaannya berbanding hidup saya. Saya kerap mengingatkan mereka yang mahu menjadi ejen supaya jangan risau jika tidak ada ilmu berniaga atau memiliki modal terhad.
“Saya juga pernah dalam situasi itu dan tiada istilah manusia luar biasa. Asalkan ada kesungguhan dan niat yang betul, semua impian boleh terlaksana,” katanya.